Kita
bersyukur kepada Allah SWT kerana masyarakat dan rakyat jelata dapat hidup
dengan sejahtera dan harmoni di negara ini. Salah satu aspek terpenting yang
menyumbang keadaan ini adalah wujudnya perpaduan di kalangan rakyat berbilang
kaum dan agama. Perpaduan merupakan satu kunci kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat
bersatu tenaga dan fikiran bagi melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama.
Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi berbagai
tugas hidup. Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan
kejayaan yang luar biasa. Sebab itu apabila terdapat umat yang bersatu padu,
maka kejayaan yang cemerlang akan dicapai. Sebaliknya apabila perpecahan
berlaku di kalangan umat, maka buruklah akibatnya. Firman Allah SWT dalam surah
al-Hasyr ayat 14:
Maksudnya: “Mereka tidak
akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu-padu, melainkan dikampung-kampung
yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. Permusuhan di antara mereka
amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu-padu, sedang hati mereka
berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak
memahami.”
Perpecahan
dan permusuhan di kalangan rakyat akan membawa kesengsaraan hidup, kemusnahan
harta benda, kemunduran ekonomi dan merosakkan sistem pengurusan negara,
keluarga dan masyarakat. Para jemaah dan umat Islam sekalian dapat menyaksikan
sendiri di televisyen, akhbar dan majalah tentang kesan rapuhnya perpaduan dan
perpecahan yang berlaku. Malah apa yang paling malang sekali sekiranya
perpecahan dan perbalahan ini terjadi di kalangan sesama umat Islam sebagaimana
yang berlaku di beberapa buah negara Islam di Asia barat. Negara yang kaya-raya
dan aman suatu ketika dulu tapi akibat daripada perpecahan dan perbalahan
dikalangan rakyat menyebabkan kuasa luar mengambil kesempatan dan akhirnya
negara itu runtuh serta ekonominya hancur. Mimbar ingin menarik perhatian
jemaah dan umat Islam sekalian, sedarlah kita bahawa untuk membangunkan semula
hubungan antara kaum yang berpecah belah dan membangunkan ekonomi atau negara
mungkin akan memakan masa berpuluh-puluh tahun pula lamanya.
Kita
semua maklum bahawa, di antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi
Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan mewujudkan perpaduan di kalangan
penganut-penganut Islam. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid,
kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun dalam pada itu, Baginda
dan para sahabat juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam
yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan ikatan
persaudaraan Islam. Pihak musuh menggunakan pelbagai pendekatan dan helah, diantaranya
menggunakan agama sebagai alat perpecahan seperti menghasut supaya dibina masjid bagi
menyaingi masjid Kuba’ yang sangat berjaya diimarahkan. Musuh Islam juga
menggunakan taktik menunjuk perasaan sebagaimana yang berlaku dalam peperangaan
Uhud. Mereka membantah melalui penarikan diri kira-kira 300 orang tentera
daripada menyertai angkatan bersenjata Islam. Namun Rasulullah SAW dan para Sahabat
dapat menangani dan mengekalkan semangat perpaduan kerana mereka mengetahui
siapakah sebenarnya yang menjadi dalang kepada kekacauan ini.
Hari ini sekali lagi pihak-pihak tertentu cuba
meruntuhkan perpaduan yang terbina selama ini. Mereka cuba dengan pelbagai
helah dan cara. Persoalan besar timbul di sini, siapakah sebenarnya golongan
yang menjadi pengkhianat pada agama, bangsa dan negara ini? Mimbar ingin
menyatakan bahawa mereka ini sebenarnya pernah menimbulkan kemarahan umat
Islam. Mempertikaikan hak-hak orang Islam serta memperalatkan sebahagian
daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk
mendapatkan kuasa. Mereka menghasut dengan menyemai perasaan tidak puas hati
dan benci kepada pemerintah. Berbagai pendekatan mereka lakukan termasuklah
melalui undang-undang dan mahkamah. Tidak cukup dengan itu, mereka mempengaruhi
rakyat melahirkan perasaan benci dengan melaungkan slogan tertentu dengan
berbagai cara. Inilah mereka yang sebenarnya, bertopengkan atas dasar menuntut
keadilan dan ketulusan, menjadikan rakyat sebagai perisai tetapi hakikatnya
mempunyai agenda tersendiri untuk menghuru-harakan negara, melemahkan
pemerintah dan perpaduan rakyat yang akhirnya membawa tanggapan di mata dunia
bahawa negara ini tidak lagi berada dalam keamanan.
Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah dan umat Islam
sekalian bahawa sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan golongan ini
sebenarnya telah mengkhianati agama Allah SWT, terpesong daripada ajaran
Rasulullah SAW, melakukan dosa yang besar dan menzalimi umat Islam serta
keharmonian negara. Justeru itu, sebagai umat Islam yang mempunyai jati diri, cintakan agama, bangsa dan negara, diseru agar
tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan
tipu daya mereka. Marilah sama-sama kita mempertahankan setiap inci tanah air
kita ini dari dicerobohi oleh musuh-musuh Islam, marilah sama-sama kita berganding
bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan dikalangan kita agar
apa jua usaha pihak musuh untuk menggugat keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan. Sesungguhnya
kekuasaan dan pertolongan Allah SWT
sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar. Firman Allah dalam Surah Ali-
Imran ayat 160:
Maksudnya: “Jika Allah menolong kamu maka
tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia
mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah
(menetapkan yang demikian)? Dan
(ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri. ”
Perpaduan dan
keharmonian hidup di negara ini dikagumi banyak pihak. Apa yang pasti dan
menjadi satu hakikat perpaduan yang kita nikmati hari ini tidak datang
bergolek. Ia adalah hasil daripada kebijaksanaan pasukan kepimpinan negara dan
kesetiaan rakyat kepada pemerintah. Berdasarkan maqasid syariyah maka menjadi
tanggungjawab pemerintah kepada rakyat untuk menjaga lima perkara iaitu agama,
nyawa, akal, keturunan dan harta. Ternyata pemerintah berjaya memastikan
kemaslahatan untuk rakyat dari mara bahaya dan kebinasaan. Pemerintah adalah
pelindung Allah SWT di muka bumi ini, barangsiapa memuliakan pemerintah maka
Allah SWT akan memuliakannya. Mimbar ingin mengingatkan bahawa teraturnya urusan agama dan dunia tidak akan
berlaku tanpa kewujudan pemerintah dan kesetian rakyat, malah keadaan masyarakat akan menjadi kacau bilau
dan saling berbalahan antara satu sama lain. Justeru Islam telah menetapkan
hukuman yang berat kepada sesiapa sahaja yang cuba memporak-perandakan pemerintah,
kehidupan umat dan kesejahteraan negara.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Akan wujud
keadaan kacau bilau di kalangan umat, maka barang siapa yang ingin
memecahbelahkan perpaduan umat ini, hendaklah ia dipancung dengan pedang tanpa
mengira siapakah orangnya”. ( Hadith Riwayat Muslim)
Mengakhiri khutbah pada
minggu ini, mimbar menyeru seluruh umat Islam sekalian agar jangan sekali-kali
kita terpedaya dengan godaan musuh Islam ini, jangan kita terlibat dengan
agenda untuk merosakkan perpaduan ummah. Marilah sama-sama kita menjunjung
Titah Khas Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong
al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin agar rakyat tidak boleh terlalu
terikut-ikut dengan amalan negara luar kerana keharmonian dan kestabilan negara
adalah asas penting yang perlu semua pihak pertahankan. Marilah kita bersatu
padu dengan mewujudkan keharmonian dikalangan kita. Melakukan tindakan
berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam
dan bertimbang rasa dengan pihak lain. Janganlah pula kita terhasut dengan
pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan. Ingatlah bahawa perpecahan dan perbalahan yang berlaku menyebabkan
maruah kita tergadai dan menjadi hina serta memberi peluang kepada musuh-musuh Islam
untuk menjatuhkan serta menghancurkan pembangunan negara dan rakyat. Marilah
kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT agar dikekalkan kesinambungan nikmat
perpaduan dikalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan
usaha membangunkan agama,bangsa dan negara.
Maksudnya: “Dan
jika dua puak dari orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara
keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah
puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia
kembali patuh maka damaikanlah keduanya dengan adil, dan berlaku adillah kamu;
sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.”
(Surah al-Hujuraat:9)