Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Jumaat, 20 April 2012

Tazkirah Jumaat: FITNAH AKHIR ZAMAN

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bertaqwalah kepada Allah SWT dan ingatlah sekelian bahawa keselamatan dan kebahagiaan kita hanya bergantung kepada keimanan dan ketaqwaaan kita kepada Allah SWT semata-mata.
Dalam arus pembangunan dan kemajuan, yang pesat di jalankan dewasa ini, umat Islam perlu berhati-hati agar mereka tidak terjatuh ke dalam fitnah yang berlaku secara terang-terangan di hadapan mata mereka serta yang berlaku tanpa di sedari dan tanpa dilihat dengan mata kasar mereka. Islam tidak memusuhi kemajuan dan pembangunan yang dilakukan oleh manusia tetapi Islam menetapkan agar pembangunan dan kemajuan di asas dan dikawal oleh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Allah SWT telah menegaskan dalam surah al Anfal ayat 28, yang bermaksud:

"Dan ketahuilah kamu bahawa sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian). Dan sesungguhnya Allah di sisiNya balasan yang sangat besar."
 
Harta benda dan anak-anak adalah nikmat daripada Allah SWT sekiranya di urus dan dijaga  dengan baik dan mengikut dasar-dasar yang ditetapkan oleh Islam. Seandainya harta benda dan anak-anak tidak diurus dan dijaga dengan baik seperti yang dikehendaki Islam, ia boleh memudaratkan kehidupan seseorang muslim dari segi keimanan dan ubudiyah-nya kepada Allah SWT dan boleh berlaku kelalaian dalam melaksanakan tanggung-jawabnya sebagai Muslim.

Awaslah sentiasa dengan fitnah-fitnah yang berlaku melalui percakapan, fitnah pekerjaan, fitnah aqidah dan ideologi yang menyesatkan, fitnah menyaksikan kemung-
karan dan maksiat yang berlaku di hadapan mata kerana semua bentuk fitnah tersebut boleh menghalang  dan menyekat pembangunan dan perlaksanaan Islam sebagai ad-din (sistem hidup). Umat Islam sendiri boleh menghakis keimanan dan ketaqwaan kita dan sekaligus melemahkan ubudiyah kita kepada Allah SWT. Dalam usaha menyekat fitnah-fitnah ini kita perlu memahami dua perkara asas :
1.     Memahami Islam sebagai ad-din melalui sumber-sumber yang muktabar atau dalam pengertian lain yang lebih khusus, memahami Islam malalui al-Quran dan Sunnah ar-Rasul SAW. Mempelajari   Islam daripada ulamak-ulamak yang jelas kefahaman mereka mengenai Islam serta keiltizaman  mereka dengan ajaran Islam
dalam sebarang suasana. Dalam memahami Islam kita perlu belajar dan berakhlak Islam serta iltizam dengan ajarannya.
2.     Memahami keadaan yang ada sama ada Islamik atau tidak. Dalam perkataan lain memahami realiti dari segi aqidahnya, ibadahnya, syariatnya, akhlaknya dan nilai-nilai lain. Adakah ia berasaskan Islam atau pun tidak?


Rasulullah SAW mengingatkan kita agar mengelakkan diri daripada terjatuh dalam fitnah yang menimpa umatnya laksana malam yang gelap gelita dengan sabda baginda yang bermaksud:

"Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita. Pada sebelah pagi seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya ia menjadi kafir dan pada sebelah petangnya ia beriman dan pada sebelah paginya ia menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan harta benda dunia."
 
Sabda Rasul SAW lagi berhubung dengan fitnah yang bermaksud:

"Masa akan menjadi dekat (pendek), ilmu akan diangkat, fitnah akan lahir, dicampakkan akan sifat bakhil dan berlaku dengan banyaknya ‘harju’. Maka mereka bertanya: Wahai Rasul, apakah maksud harju. Baginda menjawab: harju adalah pembunuh."
 

Sebenarnya  apa yang dinyatakan oleh Rasul SAW di dalam hadis baginda, telahpun berlaku di dalam realiti kita hari ini. Ilmu telah diangkat atau ditarik balik. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu ad-din atau ilmu syarak yang boleh memandu orang Islam kepada kebenaran, ilmu yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab api neraka di akhirat kelak. Selain itu berlaku pembunuhan di sana sini.
Di dalam realiti sekarang, sungguh kurang ulamak-ulamak rabbaniyun (ulamak-ulamak yang takut kepada Allah SWT) yang memuliakan sifat-sifat zuhud, wara' dan sentiasa mengikut panduan Ilahi, menjadikan baginda SAW dan khulafa ar-Rasyidin sebagai panduan dan ikutan mereka, beramal dengan panduan al- Quran yang berbunyi: "Sesungguhnya  pada diri Rasul SAW itu ikutan yang baik bagi kamu" dan beramal dengan hadis yang bermaksud:

"Hendaklah kamu beramal dengan sunnahku dan sunnah khulafa ar-Rasyidin, Mahdiyin selepas aku dan gigitlah ia dengan geraham kamu (yakni peganglah kuat-kuat dan janganlah lepaskan dia."

Untuk menjaga diri daripada terjatuh ke dalam keadaan fitnah atau pengaruh kebatilan, Huzaifah pernah berkata kepada Rasul SAW dengan katanya: "Adakah selepas kebaikan ini akan datang pula kejahatan?" Baginda menjawab; ‘Ya’, ada tetapi bercampur dengan ‘dakhan’". Huzaifah bertanya, "Apakah ‘dakhan’ itu?".  Baginda menjawab, "Kaum atau golongan yang mengambil sunnah yang lain daripada sunnahku dan mengambil petunjuk lain daripada petunjukku. Kamu kenal mereka dan hendaklah kamu tentang mereka". Huzaifah bertanya lagi, "Apakah selepas ini ada keburukan lagi?" Baginda menjawab, ‘Ya’ ada iaitu pendakwah-pendakwah di tepi pintu meraka. Barangsiapa yang menyahut dakwah mereka, mereka akan menolaknya ke dalam neraka." Kata Huzaifah, "Bolehkah beri tahu sifat mereka, wahai Rasul SAW?" Baginda bersabda, "Mereka adalah sama warna kulitnya dengan kamu dan bercakap dengan bahasa kamu".
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,
Rasul SAW memberi tahu umatnya tentang fitnah kehilangan sifat amanah dan paling susah untuk mendapat seorang yang bermaksud beramanah. Sabda Rasul SAW bermaksud:

"Seorang manusia masing-masing membuat janji dan hampir tidak terdapat seorang pun yang menunaikan janjinya."
 
Seterusnya Rasul SAW menjelaskan bagaimanakah amanah Allah Subhanahu Wata’ala disia-siakan. Suatu hari seorang Arabi datang menemui Rasul SAW dan bertanya, "Bilakah akan berlaku kiamat?" Maka baginda menjawab, "Bila amanah di sia-siakan maka tunggulah kiamat (kehancuran)." Arabi itu bertanya lagi, "Bagaimanakah amanah disia-siakan?" Rasul SAW bersabda, "Sekiranya sesuatu urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat (yakni kehancuran)."
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,
Bagi menyekat fitnah yang menyerang umat Islam dari segenap penjuru, maka perlulah umat Islam hari ini memperkuat dan memeperkemaskan benteng pertahanan mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan segala macam fitnah yang disebutkan tadi. Firman Allah SWT dalam surah al-AnFal ayat 25 bermaksud:

"Jagalah olehmu akan fitnah yang tidak menimpa ke atas mereka yang zalim semata-mata dan ketahuilah bahawa Allah sangat dahsyat siksaan Nya."

1 ulasan:

  1. Terima Kasih, Ingin meminta penulis tazkirah ini kebenaran untuk digunakan sebagai tazkirah Jumaat di sekolah saya.

    BalasPadam