Sama ada mitos atau hakikatnya, bangsa Yahudi zaman moden ini
ternyata cerdik. Banyak pemenang Hadiah Nobel adalah dari kalangan
mereka.
Betapa bangsa yang bilangannya kecil tetapi meraih pencapaian tinggi
sememangnya suatu fenomena yang menarik untuk dikaji dan difahami.
Tetapi tidaklah pula boleh dikaitkan kecerdikan seseorang itu pada
bangsa atau kaumnya. Atau agamanya. Ini kerana takrif sesuatu bangsa,
kaum atau agama itu begitu pelbagai hingga ia tidak berkait pula dengan
kecerdikan seseorang.
Malah dalam diri seseorang pun, ada kalanya ia cerdik dalam sesuatu perkara, tetapi kurang cerdik dalam perkara lain.
Usaha untuk mengaitkan kecerdikan dengan bangsa menimbulkan fahaman perkauman dan diskriminasi.
Tetapi apakah yang hendak dikatakan terhadap sesuatu bangsa yang
majoritinya telah ditipu oleh sekumpulan pemimpinnya hingga membawa
dunia kepada kehancuran?
Bangsa yang dimaksudkan di sini ialah Jerman. Bangsa ini juga hebat.
Ia telah melahirkan banyak cendekiawan dan saintis yang mengubah dunia,
di samping turut memenangi banyak Hadiah Nobel.
Bangsa ini sememangnya cerdik. Sama ada kecerdikannya setara dengan Yahudi atau tidak, maka itu perlukan perbahasan lain.
Tetapi pada tahun 1930-an, ketika naiknya Adolf Hitler, bangsa ini
telah menganggap dirinya sebagai golongan unggul, iaitu paling cerdik.
Bagi mereka, Yahudi adalah musuh yang perlu dimusnahkan.
Tetapi ternyata dalam tahun 1930-an dan 1940-an, bangsa Jerman telah
ditipu oleh Hitler dan parti Nazi. Akibatnya Jerman menjadi bangsa hina
yang bukan saja musnah tetapi juga kerana mereka sebuah negara Yahudi
iaitu Israel ditubuhkan.
Melihat gelagat orang Jerman dan Yahudi ini kelihatan bahawa mereka
bertindak seperti bangsa yang tidak cerdik. Mereka tertipu dan tidak
mampu keluar daripada keadaan buruk yang menimpa mereka. Adakah mereka
ini bangsa cerdik atau kurang cerdik?
Dari segi pencapaian intelektual dan bidang sains, memang orang Melayu tidak secerdik bangsa Yahudi atau Jerman.
Tetapi melihat nasib yang menimpa orang Melayu pada zaman sewaktu
dengan mereka itu, bangsa ini tidaklah tertipu atau terpedaya seperti
apa yang dialami oleh orang Jerman dan Yahudi.
Namun begitu, pada zaman ini, setelah negara mencapai kemerdekaan dan
kini sedang pesat menuju kedudukan sebagai negara membangun, cuba lihat
di sekeliling dan buat pemerhatian sama ada orang Melayu bangsa yang
cerdik atau tidak?
Berapa banyak kisah yang dapat dikumpulkan tentang bagaimana orang Melayu ditipu, tertipu dan terpedaya.
Penipuan
Apabila ada segelintir orang Afrika yang datang ke sini melakukan
penipuan dalam pelbagai bentuk melalui atas talian, berapa banyak orang
Melayu sudah tertipu?
Sememangnya mereka yang menjadi mangsa penipuan ini tidak mengira
bangsa, kaum dan agama. Sama ada Merlayu, Cina dan India, banyak di
antara mereka juga menjadi mangsa penipuan.
Tentulah apabila ditipu, yang dipersalahkan adalah para pelaku
jenayah itu. Tetapi cuba kesalahan itu dialihkan pula kepada mangsa
penipuan? Mengapakah mereka tidak boleh cerdik sedikit dan mengelak
daripada ditipu?
Mangsa penipuan ini terdiri bukan saja di kalangan orang biasa, tetapi juga cerdik pandai dan profesional.
Malah dalam kerja mereka juga, ada kalanya mereka turut tertipu yang
mungkin melibatkan wang yang begitu banyak. Begitu juga apabila majikan
menipu pekerja, dan sebaliknya.
Tetapi menjadi mengsa penipuan bukan saja berlaku dalam pekerjaan
masing-masing. Dalam masyarakat, kisah pengguna ditipu oleh penjual dan
peniaga adalah suatu yang lumrah.
Banyak kejadian penipuan ini tidak pun disedari. Mereka ditipu
hidup-hidup. Antaranya ialah membeli barang yang tidak berguna, atau
kurang kualiti, atau terpedaya dengan iklan.
Malah dalam perubatan alternatif, terutama secara MLM, atau skim
cepat kaya tetapi disembunyikan secara perniagaan. Selama 10, 20 atau 30
tahun kejadian penipuan ini berlaku tanpa henti
Bukan itu saja, berapa banyak keluarga Melayu yang tertipu dengan
pembantu rumahnya sendiri. Belum dikira lagi bagaimana keluarga-keluarga
Melayu tertipu dengan pekerja-pekerja binaan ubah suai rumah.
Begitu juga keluarga-keluarga Melayu yang tertipu dengan para pemaju perumahan.
Tidakkah orang Melayu boleh cerdik sedikit dan celik terhadap hakikat penipuan ini?
Dalam hubungan peribadi, penipuan juga berlaku. Lelaki menipu
perempuan. Begitu juga sebaliknya. Kalaulah cerdik sedikit dan beri
prihatin kepada sesuatu perkara, mungkin penipuan ini dapat dikesan dan
seseorang itu dapat mengelak diri daripada ditipu.
Atau adakah sifat kebanyakan orang Melayu yang mudah bersangka baik
walaupun fakta di depan menunjukkan bahawa sesuatu penipuan sedang
berlaku?
Atau orang Melayu kurang memiliki kesedaran sains dan matematik
hingga mereka mudah ditipu? Umpamanya amalan khurafat dan ajaran sesat
adalah kesemuanya merupakan penipuan.
Cuba tingkatkan perasaan syak wasangka sedidit serta memiliki pemikiran kritis bagi mengelak ditipu?
Dari dahulu dan berterusan sekarang, ada saja orang yang hidup atas penipuan, atau con man.
Antaranya yang berlagak hartawan atau menjadi ahli perniagaan
memiliki modal yang banyak tetapi sebenarnya hanya berniaga atas angin.
Bagi mereka yang pernah ditipu dalam urusan perniagaan, terutama yang
mengalaminya beberapa kali, mereka akan dapat kesan ciri-ciri para
penipu.
Usahlah naif, cuba cuak sedikit dan elaklah daripada ditipu.
sumber: arkib utusan malaysia 22/04/2012
Khamis, 26 April 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan