Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Jumaat, 11 Mei 2012

Tazkirah Jumaat......Perpaduan dalam Islam


Sesungguhnya Islam itu bersaudara dan dikehendaki mengeratkan perpaduan serta diharamkan memutuskannya. Bahkan setiap mukmin mestilah saling tolong-menolong sesama mereka dalam segala hal yang mendorong kebaikan umat, kemasalahatan dan kebahagiaan bersama.Memutuskan silatulrahim termasuk dalam perkara pembalasan dosa besar di sisi Allah S.W.T.

Mukmin yang bertamadun adalah mereka yang berjaya mentadbir, mengurus dan mengembangkan kehidupannya. Justeru keteguhan dan keutuhan masyarakat bergantung kepada pengurusan kemantapan ekonomi, kestabilan politik, kesejahteraan sosial dan yang terpenting ialah perpaduan di kalangan anggotanya, saling tolong-menolong dan berhubung rapat antara satu sama lain. Firman Allah S.W.T yang bermaksud:


"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah(agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai"

-(Al-Imran: 103)


Ingatlah, bahawa kejayaan dan kecemerlangan sesebuah Negara terletak kepada perpaduan di kalangan rakyatnya. Begitu juga sebaliknya, perpecahan adalah punca kejatuhan dan kemusnahan. Sehubungan dengan itu, asas-asas kepada perpaduan mestilah dijana dengan pelbagai gerakan ke arah perpaduan , perlu dirintis supaya hasrat untuk membentuk sebuah Negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat direalisasikan.


 Mengikut perspektif Islam perpaduan terjalin melaui dua ikatan iaitu:

Pertama: Perpaduan sesama anggota masyarakat
Kedua: Perpaduan antara kaum muslimin.

Perpaduan juga dapat dilihat daripada dua jurusan atau dimensi iaitu:

Pertama: Perpaduan luaran yang terjelas sebagai kerukunan muafakat bergotong-royong, memperteguh suasana sosio-politik negara demi kepentingan bersama.

Kedua: Perpaduan yang jauh lebih asasi iaitu kesatuan dalaman yang terzahir sebagai pautan kejiwaan dan kerohanian.

 Pengertian perpaduan mengikut dimensi atau jurusan pertama adalah merujuk kepada kerukunan politik kerana mereka mempunyai kepentingan umum seperti menetap di negara yang sama. Oleh kerana mereka lahir di tanah tumpah darah yang sama, maka mereka pun menjadi warganegara yang sama. Jika dibandingkan antara satu wilayah dengan wilayah yang lain, ia adalah perpaduan sosial sesebuah masyarakat yang serupa dari segi pembawaannya, warna kulitnya,budayanya (termasuk cara berpakaian ) dan bahasa pertuturannya.

 Bagi Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama, perpaduan menjadi keutamaan yang tinggi untuk membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni. Kepentingan ini semakin terjejas akhir-akhir ini kerana banyak isu perkauman yang diperkatakan secara meluas oleh pelbagai lapisan masyarakat.

 Perpaduan sesama masyarakat Islam dinyatakan secara jelas di dalam Al-Quran surah Al-Imran ayat 103 seperti yang disebut sebentar tadi. Sebenarnya keutuhan perpaduan sesama masyarakat Islam tidak akan tercapai, kecuali selepas terlaksana beberapa prinsip asas seperti tolong-menolong dalam menggalakkan kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Ia dimantapkan lagi melalui aspek moral yang baik, berakhlak mulia seperti sayang-menyayangi, bersikap toleransi dan lain-lain lagi. Apabila berlaku sesuatu perbalahan antara kaum, pihak bertanggungjawab terutamanya kerajaan mestilah mengambil langkah yang sewajarnya agar bibit-bibit persengketaan dapat dibendung dengan segera.


Dalam menjalinkan hubungan baik antara masyarakat Islam dengan masyarakat bukan Islam pula, model negara Islam Madinah pimpinan Rasulullah S.A.W. hendaklah dijadikan contoh. Sebagaimana pada awal-awal hijrah, orang-orang Islam merupakan golongan minoriti berbanding berbanding dengan penganut kristian dan yahudi yang mendominasi Madinah ketika itu.Namun melalui penonjolan akhlak dan moral yang terpancar dalam bentuk teori dan praktikal, ditambah dengan keadilan pemerintahan dan pengurusan Islam yang disesuaikan dengan masyarakat majmuk ketika itu , maka tertegak akhirnya sebuah negara yang kuat, aman dan damai, bersatu padu di bawah pimpinan Nabi Muhammad S.A.W

Pendekatan ini diperkukuhkan melalui tindakan, seperti pembinaan masjid sebagai institusi sosial. Masjid Nabawi dan Masjid Quba? adalah model institusi terawal Islam dalam menjana perpaduan. Masjid bukan setakat berfungsi sebagai tempat menunaikan solat semata-mata, malah berperanan sebagai lokasi strategik untuk baginda menyusun dan membentuk masyarakatnya, membangunkan akidah umat Islam, melaksanakan urusan syariah dan menjalinkan hubungan sesama rakyat melalui akhlak yang mulia.

Nabi Muhammad S.A.W juga mengambil langkah mempersaudarakan umat Islam menerusi ikatan ukhwah sesama Islam. Kaum Aus dan Khuzraj yang sekian lama bersengketa telah telah berjaya didamaikan.Persefahaman ini mampu dipatuhi oleh semua ahli masyarakat tanpa membezakan kaum, bangsa dan agama.Sama-sama berganding bahu mentaatainya sebagai langkah membentuk kesatuan ummah dan perpaduan kaum di Madinah.

Rasulullah S.A.W memperteguhkan kewajipan memelihara hubungan persaudaraan yang menjana kepada perpaduan dan kesatuan ummah, ini terbukti apabila Baginda ditanya oleh seorang sahabat, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Ayub Al-Ansari dalam hadisnya yang bermaksud:

Ya!, Rasulullah S.A.W bersabda kepadaku amal yang akan memasukkan aku ke dalam syurga. Maka sabda Rasulullah S.A.W : Engkau beribadah kepada Allah S.W.T dan tidak mensyrikkannya dengan sesuatu, mendirikan solat, membayar zakat dan menghubungkan persaudaraan.
Perpaduan dalam Islam bukan sekadar hubungan baik sesama orang Islam sahaja, malah merangkumi kepada kaum bukan Islam jua. Sejarah di zaman Rasulullah S.A.W mencatatkan bahawa masyarakat yahudi dan kristian ketika itu hidup aman dan damai di Madinatul Munawwarah, kerana hak mereka tidak dicerobohi oleh umat Islam.Kesan keadilan Islam inilah, kelompok Islam yang awalnya minoriti menjadi majoriti apabila kaum bukan Islam beramai-ramai menganuti Islam kerana tertarik hati dengan kebaikan yang ditonjolkan oleh umat Islam yang terserlah melalui akhlak dan perlakuan terpuji penganut-penganutnya.


Ya Allah kurniakan kerahmatan dan keselamatan, penjagaan dan perlindungan, kesuburan dan penghasilan, ke atas negeri kami, Negeri Selangor Darul Ehsan. Jadikan rakyatnya bersatu-padu, berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia, lindungi kami daripada persengketaan, perpecahan, fitnah-memfitnah dan bencana alam. Semoga dengan demikian, negeri Selangor dan rakyatnya bertambah makmur dan berkat.
(Al-Huzraj:10)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan