Kita berada pada hari
terakhir bulan Syaaban. Esok insyallah kita akan menyambut awal Ramadhan. Dalam
sedar ataupun tidak, kita semakin mendekati bulan yang penuh kebaikan,
keberkatan dan kerahmatan . Bulan yang mulia ini merupakan masa gembira kepada
orang yang beriman kerana pada setiap
saat dilimpahkan pahala yang berganda-ganda melebihi ganjaran yang biasa. Hari-hari dalam bulan
Ramadhan adalah hari penuh ganjaran, malam-malamnya adalah malam yang penuh
dengan keberkatan. Setiap saat adalah peluang-peluang yang paling utama untuk
menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT. Apabila datangnya bulan
yang mulia ini maka Rasulullah SAW berdoa sebagai tanda kegembiraannya untuk
menyambut Ramadhan . Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: “ Ya Allah, berkatilah kami pada
bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan. (Riwayat. Ahmad dan
Tabrani)
Diriwayatkan juga
dari Abu Hurairah RA: Bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW. pernah bersabda: Ketika
datang bulan Ramadhan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat,
diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu
neraka ditutup, Syaitan-Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada
suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan
kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak
mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini).
( Riwayat: Imam Ahmad )
Kelebihan
bulan Ramadhan daripada bulan- bulan yang lain kerana difardhu padanya ibadah
puasa. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183,
Maksudnya: “ Wahai
orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas
orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa”.
Sebenarnya terlalu
banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang Ramadhan. Antaranya ialah: Pertama: Persediaan ilmu
agama. Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada, di khuatiri ibadah yang
diharapkan mendapat pahala sebaliknya tidak diterima. Menjelang Ramadhan, kita
diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama. Sama ada dengan cara membaca buku,
menghadiri kuliah-kuliah agama atau media massa. Perkara yang perlu diberi
keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah,
perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa. Hal ini
begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.
Kedua: Persediaan kesihatan.
Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa.
Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan Ramadhanlah tubuh
badan dikerah bekerja kuat melaksanakan segala amalan seperti solat sunat
tarawih, qiamullail, membaca al-Quran, iktikaf dan sebagainya.Ketiga: Persediaan dari
sudut kewangan. Di antaranya ialah dengan bersedekah. Rasulullah SAW merupakan
seorang yang paling suka bersedekah dan dermawan serta Baginda lebih dermawan
di dalam bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas RA: “Rasulullah
SAW ialah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan
Ramadhan di saat beliau bertemu Jibril.
Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al- Quran. Dan kedermawanan
Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” (Riwayat al-Bukhari)
Keempat: Memperbanyakkan
menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadhan. Kita dituntut
memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadhan. Perkara ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat
kepada kita bagi membuat persediaan bertemu Ramadhan. Bukankah sesuatu acara
itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika senantiasa
diwar-warkan. Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak
disebut-sebut kemulian dan ganjarannya oleh media massa, media elektronik dan
seluruh umat Islam.
Kita adalah makhluk
ciptaan Allah yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa
besar atau kecil. Sebagai makluk ciptaan-Nya, maka Allah SWT Maha mengetahui
cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan iman
dan akhlak manusia. Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah
menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadhan dengan keampunan dan pahala yang
berganda serta mengembalikan fitrah akhlak manusia. Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan
mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang
terdahulu”(Riwayat Bukhari)
Oleh itu, menjelang Ramadhan ini, para jemaah sekalian
diseru memberi tumpuan kepada tawaran daripada Allah SWT, bukannya terpengaruh
dengan promosi-promosi produk dan barangan- barangan tertentu yang dikaitkan
dengan Ramadhan. Ibadah Puasa yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal
segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan
membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT. Ketika berpuasa kita bukan
sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malahan segala nafsu seluruh anggota badan kita seperti mulut,
mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa. Kita juga dituntut
memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat di atas dosa-dosa yang dilakukan dengan mengisi ruang-ruang yang ada bagi meningkatkan
keimanan kepada Allah SWT didalam usaha mencari keredhaannya. Firman Allah SWT
di dalam surah an-Nuur ayat 31:
Maksudnya: “ dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang
yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Mimbar menyeru, marilah kita sama-sama membuat persedian
dengan sebaiknya untuk bertemu dengan Ramadhan pada kali ini. Ambillah
kesempatan dengan apa yang telah dijanjikan oleh Allah SWT sepanjang bulan
Ramadhan dengan menjana kekuatan jati diri kita untuk beribadat kepada-Nya.
Bulan impian ini merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang hanya
datang setahun sekali. Penuhilah ruang dan masa dengan melakukan
perkara-perkara yang
membawa kebaikan kerana mungkin bagi tahun yang mendatang kita
tidak merasainya lagi. Mimbar juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan
terima kasih kepada pihak kepimpinan negara khususnya kepada YAB Perdana
Menteri di atas sumbangan kepada masjid dan surau di seluruh negara bersempena
dengan Majlis Perhimpunan Perdana Warga Iman dan Jawatankuasa Masjid Seluruh
Negara pada 19 Julai 2012. Semoga dengan sumbangan ini akan mengimarahkan lagi
masjid dan surau di dalam bulan Ramadhan ini. Mengakhiri khutbah marilah
sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 97:
Maksudnya:
“ Sesiapa
yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh
Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami
akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah
kerjakan”.
sumber: Jakim
Tiada ulasan:
Catat Ulasan