Mesra dengan panggilan Pak Said, beliau gemar menjelaskan kepada pengunjung tentang alam semula jadi dan kehijauan di sekeliling taman rekreasi yang luas itu, terletak tidak jauh dari laluan keluar tol lebuh raya Utara-Selatan.
Tempat ini lebih dikenali sebagai Felda Residence Hot Springs. Algae yang kelihatan seperti lumut basah dan berwarna hijau pekat itu boleh didapati di dalam sungai air panas yang mengalir di situ.
“Ada air panas di sini kerana terdapat rekahan yang memancutkan air panas dari dalam bumi," jelas Pak Said.
Menurut kajian beberapa ahli sains, algae hidup secara produktif di dalam air yang 'ph’ kurang daripada 6, atau yang berasid.
PENAWAR KULIT
Penulis berada di situ baru-baru ini bersama beberapa rakan pertengahan umur yang mahu mencuba kolam air panas, yang dikatakan boleh membetulkan peredaran
darah dan menyegarkan tubuh badan. Semasa di situ, saya dapati ramai yang turut ke tapak rekreasi yang diselenggara Felda ini untuk mendapatkan algae berwarna hijau pekat itu. Penulis sendiri membawa bekas air panas untuk membawa bekal algae ini pulang ke Lembah Klang.
Ia tidak berbau. Ia perlu disimpan di dalam air panas sementara menunggu untuk digunakan dan hanya tahan disimpan lebih kurang sehari sahaja di dalam termos. Apabila disapukan ke atas kulit tangan, algae itu menjadi kering dan berketul-ketul.
“Sapu ke muka boleh, ke atas tubuh badan pun boleh dan sangat mujarab di tempat-tempat yang berparut, menghilangkan sel-sel kulit yang sudah mati, malah kulit yang disapu akan terasa licin,” jelas Pak Said sambil menunjukkan cara menyapu algae pada tangannya.
Selepas beberapa minit, kulit yang disapu rata dengan rumpai algae itu, dibersihkan dengan air panas semula jadi daripada kolam berdekatan.
“Semasa algae dibiarkan kering di atas kulit, kulit itu terasa tegang. Seolah-olah ia ada fungsi menegangkan kulit pula,” jelas pengunjung taman rekreasi ini, He Je Lai, seorang remaja yang turut mencuba sapuan terus algae dari dalam air panas ke atas kulitnya.
Semasa disapukan, algae itu masih terasa panas dan bila ia dibiarkan di atas kulit, kesannya pula sebaliknya, memang menyejukkan.
RUMPAI ALGAE
Rumpai algae ini merupakan sekumpulan organisma yang ‘taxonomic’ atau tidak mempunyai sebarang hubung kait secara semula jadi di antara organisma-organisma
itu. Ada bahagian rumpai ini yang berupa tumbuhan dan ada juga bahagiannya yang berkait rapat dengan spesies bakteria.
Ini bererti rumpai algae ini tidak mempunyai perkongsian latar belakang sejarah evolusi yang boleh dirujuk sebagai jaringan perkongsian yang besar. Walaupun begitu, kebanyakan algae ini mempunyai beberapa persamaan di dalam klasifikasi struktur yang ringkas, organ persenyawaan yang terdedah dan boleh menjalani proses fotosintesis dengan penggunaan pelbagai jenis klorofil. Sanggupkah anda membiarkan algae ini disapukan pada kulit muka anda?
“Saya sanggup, tapi saya akan cuba menyapunya ke atas kulit tangan dahulu. Algae itukan di dalam bentuknya yang semula jadi, tanpa bahan pengawet atau unsur kimia yang berbahaya. Apa salahnya kalau boleh merawat kulit secara semula jadi?” kata Rozaini Omar, bila ditanya kesanggupannya menguji kemujaraban algae yang masih belum 100 peratus dikaji secara saintifik ini.
Rumpai ini secara umumnya daripada jenis ‘eukaryotes’ di mana sel-sel algae mempunyai kedua-dua nukleus yang ada membran dan organelle. Menurut rekod kajian ke atas bahan fosil, algae mempunyai sejarah usia melebihi 3 bilion tahun dan algae yang berwarna biru-kehijauan atau nama saintifiknya Cyanobacteria, merupakan organisma hidup yang mengandungi klorofil paling tua.
Spesies organisma ini mengeluarkan paling banyak oksigen untuk bumi, tambahan pula rumpai biru-kehijauan ini mudah didapati di dalam tanah, air laut dan air tawar serta boleh hidup di dalam air yang berbeza-beza suhunya, termasuk di atas ais tebal dan kawasan air panas di Yellowstone, Amerika. Rumpai algae berwarna hijau mempunyai paling banyak spesies yang serupa, sehingga 7 ribu jenis yang boleh hidup di dalam habitat yang pelbagai.
KANDUNGAN ALGAE
Antara nama-nama algae yang terdapat di dalam alat solek atau kosmetik ialah Ulva Lactuca, Ascophyllum, Laminaria Longicruris dan AlarIa Esculenta, antaranya. Beberapa jenis algae turut pernah digunakan sebagai ubat-ubatan, antaranya sebagai antibiotik, ubat untuk mengurangkan kolestrol dalam darah dan untuk merawat penyakit hipertensi atau darah tinggi, antaranya.
Penulis mengambil algae untuk disapukan pada parut lama di tangan kanan dan setelah beberapa kali menyapu algae dalam urutan membulat atau rotasi, bekas lama pada kulit telah semakin menghilang atau menjadi lebih cerah. Adakah algae ini mempunyai agen pemutih kulit yang semakin menjadi kegilaan ramai wanita hari ini, kerana mereka mahukan penawar yang semula jadi untuk kesihatan kulit mereka? Walaupun khasiat dan kebalikan dipercayai banyak pada rumpai algae ini, namun ia masih belum dapat disahkan secara saintifik.
Beberapa ujian ke atas bahan ini pernah dijalankan dan hasilnya mendapati sesetengah algae mempunyai protein, vitamin A, gula, kanji, vitamin B1 dan zat besi, antara lain. Kebanyakan bahan-bahan ini boleh mendatangkan kebaikan kepada kulit sama ada sebagai emolien atau antioksidan. Manusia hari ini lebih mempercayai kemujaraban bahan asli tanpa olahan kimia, yang sudah semestinya diyakini keselamatannya. Kulit yang cantik mencerminkan keperibadian empunyanya, jadi penjagaan yang rapi untuk mengekalkannya terus menjadi tumpuan ramai. Bahan yang selamat akan menjadi pilihan.
Bagi penulis, pengalaman di kolam air panas itu telah merubah persepsinya terhadap rumpai hijau berlendir ini selamanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan