Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Jumaat, 13 April 2012

Borak- Borak kopi O.........



 Belia Hari Ini, Pemimpin Di Hari Esok

Belia merupakan kelompok masyarakat yang penting. Ini kerana mereka adalah pencorak generasi dan masyarakat akan datang. Keadaan masyarakat akan datang bergantung pada keadaan dan pembinaan belia hari ini. Jika keadaan belia hari ini baik dan pembinaannya sempurna, maka besarlah kemungkinan masyarakat di masa akan datang akan juga menjadi baik dan begitulah sebaliknya.
Bahkan, sejarah menunjukkan bahawa belia bukan sahaja bermanfaat di hari muka tetapi juga berpotensi untuk memainkan peranan yang bermakna semasa umur belia dan muda.
Sejarah Islam banyak mengemukakan contoh-contoh belia yang memainkan peranan penting semasa umur belia lagi. Antara mereka ini ialah Ali b Abi Talib yang pada umur 10 tahun berani tidur di tempat tidur Rasulullah s.a.w untuk menipu orang kafir agar Rasulullah s.a.w dapat berhijrah, Usamah b Zaid yang pada umur 18 tahun dilantik untuk memimpin tentera Islam menentang tentera Rom, Abdullah b. Abbas yang menjadi tokoh dalam bidang tafsir pada usia muda, Imam Asy-Syafi`i yang menjadi tokoh Fiqh pada usia belia dan Muhammad Al-Fatih yang pada umur mudanya menawan Konstantinopel.
Al-Quran sendiri turut merakam kisah Ashabul Kahfi (Penghuni Gua), belia-belia yang dipuji oleh Allah taala dengan firmanNya
“Mereka itu adalah pemuda yang beriman pada Tuhan mereka dan Kami tambah pada mereka petunjuk.” (Al-Kahfi : 13)

Jadilah Belia Yang Mencipa Sejarah

Belia sejati ialah sebagaimana yang dinyatakan oleh serangkap sajak Arab yang bermaksud
“Bukan pemuda (sejati) mereka yang berkata dulu bapa ku (begitu dan begini), tetapi pemuda (sejati) ialah yang mengatakan inilah aku.”
Ertinya belia yang tulen ialah belia yang bukan hanya bernostalgia dengan kegemilangan datuk neneknya atau sejarah masa lalu tetapi belia yang tulen ialah belia yang ‘berbangga’ dengan sumbangannya yang bermakna atau belia yang mencipta sejarah tersendiri.
Apabila kita mengikuti kisah-kisah tokoh belia seperti Usamah b. Zaid, Imam Asy-Syafi’i, Abdullah b. Abbas, Muhammad Al-Fatih, kita harus merasa malu kerana ramai di antara kita pada usia muda tahun masih lagi dalam kejahilan, tidak usah memikir masalah umat, nasib diri sendiri pun tidak boleh ditangani. Belia hari ini, bukan hanya tidak berkeyakinan untuk memimpin masyarakat tetapi memimpin hidup sendiri pun tidak tahu.
Ramai di antara kita adalah pemuda. Bahkan ramai di antara kita yang beruntung kerana diberi nikmat pendidikan yang lebih tinggi dan nikmat harta yang lebih melimpah. Masih tidak terlambat untuk kita membina satu wawasan dan berusaha keras bagi mencipta sejarah yang tersendiri dan meninggalkan sesuatu bagi umat ini. Sesuatu yang bukan hanya dilihat sebagai legacy tetapi juga sebagai amal jariah yang akan menjadi saham yang berterusan hingga hari Kiamat untuk kita di Akhirat, sejajar dengan sabda Rasulullah s.a.w
"Jika mati anak Adam, maka terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)
Namun, kita tidak akan dapat mencipta sejarah dan meninggalkan legacy, sekiranya
1. Berjiwa kecil…. tiada keyakinan pada diri sendiri, tidak mampu mengurus diri sendiri, tiada semangat 'yakin boleh', tidak berani mencuba….
2. Berakal kecil…. sibuk dengan perkara remeh, sibuk dengan masalah dari melihat peluang, tidak mampu mengekalkan idealisme yang wajar, tiada wawasan dalam hidup, pesimis …..
3. Beramal kecil….. tiada kesungguhan dalam perjuangan, mudah putus asa, lokek dalam pengorbanan, berpuas hati dengan apa yang ada, mediocre dalam semua perkara…..

Kita tidak bernostalgia dengan pencapaian umat yang lalu, kecuali sebagai dorongan untuk kita berlumba mencipta sesuatu bagi umat hari ini dan akan datang. Agar kita terus dikenang… agar doa umat akan terus melimpahi kita, pada ketika kita bersemadi di liang lahad sendirian.
Perlulah kita ingat bahawa Allah taala tidak akan menyoal kita akan sumbangan mereka yang terdahulu, tetapi kita hanya akan ditanya mengenai sumbangan kita sendiri.
Allah taala berfirman yang bermaksud
"Mereka itu adalah umat yang telah lalu. Bagi mereka apa yang telah mereka lakukan dan bagi kamu apa yang kamu lakukan dan kamu tidak akan ditanya apa mereka (yang terdahulu) lakukan.” (Al-Baqarah : 141)

Membina Wawasan Sebelum Mencipta Sejarah

Selagi kita masih hidup, sejarah umat ini berada dalam diri kita dan di tangan kita.
Ini bermaksud nasib sesuatu bangsa akan bergantung pada apakah bentuk wawasan yang ada di minda belia mereka. Pencapaian wawasan berkenaan pula bergantung pada usaha keras mereka.

Oleh itu, adalah penting untuk para belia mempunyai wawasan. Wawasan ini haruslah sebuah wawasan yang besar bagi dirinya dan masyarakatnya. Islam menuntut setiap muslim untuk menjadi seorang yang soleh (baik) dan juga musleh (mampu membaiki orang lain). Maka belia Islam dituntut untuk berwawasan yang bukan hanya berkaitan bagi dirinya sendiri seperti keinginan untuk menjadi doktor atau ahli perniagaan tetapi juga mempunyai wawasan yang berkaitan bagi kesolehan, pembangunan dan kemajuan masyarakatnya. Mempunyai wawasan bagi hari muka adalah dianjurkan oleh Islam. Allah taala berfirman yang bermaksud
“Wahai orang-orang yang beriman bertakwalah pada Allah dan hendaklah setiap jiwa itu melihat apa yang akan ia kemukakan untuk hari esok, dan bertakwalah pada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan.” (Al-Hasyr :18)
Ayat ini menganjurkan umat Islam agar sentiasa melihat ke hadapan dan merancang untuk hari muka, ertinya membina wawasan untuk hari muka dan berusaha untuk mencapainya.
Belia yang tidak mempunyai wawasan ialah belia yang potensinya akan terbazir. Belia sedemikian akan terumbang-ambing hidupnya tanpa tujuan dan perancangan. Dalam banyak keadaan belia seperti ini hanya akan memenuhkan hidupnya dengan hiburan dan permainan semata-mata kerana dipengaruhi oleh hedonism Barat. Kegagalan akan bersama belia seperti ini sebagaimana ungkapan kata berikut
“One who fails to plan, plans to fail”
Masyarakat yang mempunyai belia seperti ini ialah masyarakat yang pasti akan menuju pada kehancuran.
Sedangkan belia yang hanya berwawasan bagi manfaat dirinya dan hidupnya hanya dipenuhi dengan sesuatu bagi memenuhi keinginan peribadi semata-mata ialah belia yang mementingkan dirinya sendiri.

Rangka Wawasan Kita

Maka jadilah belia yang berwawasan. Apa jua wawasan yang tinggi, besar dan bermanfaat adalah sesuatu yang digalakkan. Namun wawasan berkenaan mestilah dipandu oleh prinsip-prinsip berikut;
1. Ia adalah wawasan dalam rangka ibadah pada Allah taala sejajar dengan firmanNya yang bemaksud

“Dan Aku tidak jadikan Jin dan manusia kecuali untuk beribadah padaKu” (Az-Zariyat : 56)

Sesuatu itu hanya akan menjadi ibadah apabila dilakukan ikhlas kerana Allah taala dan mengikut hukum yang telah ditetapkan olehNya, iaitu sejajar dengan Islam. Ini sejajar dengan firman Allah taala
“Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam” (Ali-Imran : 19)
“Dan barangsiapa mencari Islam sebagai agama (cara hidup), maka tidak aklan diterima darinya dan dia di Akhirat dari golongan yang rugi.” (Ali-Imran : 85)
2. Ia adalah wawasan yang merealisasikan peranan sebagai khalifah di muka bumi.

Allah taala mencipta manusia sebagai khalifah. FirmanNya yang bermaksud
“Apabila Tuhan kau berkata pada malaikat, bahawa Aku akan mencipa di bumi ini seorang khalifah.” (Al-Baqarah : 30)
Peranan utama khalifah di muka bumi ialah untuk memakmurkan bumi ini dengan aturan yang telah ditetapkan oleh Allah taala yang terkandung dalam ajaran Islam.
Dalam kata-kata yang ringkas, wawasan seorang belia haruslah merangkumi dua aspek iaitu untuk menegakkan agama dan memakmurkan dunia. Bukan salah satu darinya.
Bagi belia Islam, wawasan sedemikian adalah satu kewajiban agama. Pengabaian terhadapnya merupakan pengabaian terhadap perintah Allah taala. Sesiapa yang melakukannya dicela dan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah taala.
Namun wawasan sahaja tidak mencukupi. Wawasan berkenaan haruslah didokong oleh keperibadian yang baik. Hanya belia yang berperibadi yang sesuai sahaja akan benar-benar mampu menjayakan wawasan yang berteraskan prinsip di atas.

Ciri Belia Pendokong Wawasan

Dalam mendokong satu wawasan yang murni, belia Islam haruslah memastikan bahawa ia memiliki ciri-ciri asas berikut:
1. Aqidah yang murni dari penyelewengan
2. Ibadah yang benar dan bersih khurafat
3. Akhlak yang mulia

Ciri-ciri asas ini, di dokong pula oleh ciri-ciri tambahan berikut:
Sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan diri dalam semua bidang dan berusaha mencapai kecemerlangan dalam bidang yang diceburi

Ciri ini diasaskan kepada sabda Rasulullah s.a.w:

“Manusia yang bijak ialah manusia yang sentiasa menghisab dirinya dan berusaha untuk hari matinya. Manusia yang lemah ialah manusia yang sentiasa mengikut nafsunya dan sentiasa berangan-angan terhadap Allah taala”
Komited pada usaha untuk membangun masyarakat

Ciri ini diasaskan kepada dalil berikut:
“Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah dari munkar dan merekalah orang-orang yang berjaya.” (Ali Imran : 104)
Mampu untuk bekerja secara kolektif dan berorganisasi

Ciri ini diasaskan kepada dalil berikut:
“Sesungguhnya Allah sukakan orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan seolah-olah satu binaan yang tersusun kukuh.” (As-Saf : 4)

Sedia memimpin

Ciri ini didasarkan dari dalil berikut:
“ Tuhan kami kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan zuriat-zuriat yang menjadi cahaya mata dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertakwa.” (al Furqan : 73)
Pengajaran dari ayat ini ialah Allah menggalakkan umat Islam membina sifat dan kemampuan kepimpinan yang dimanifestasikan dari amalan berdoa. Walaupun Islam tidak menggalakkan umat Islam menuntut jawatan kepimpinan tetapi ia tidak menghalang mereka dari membina kemampuan kepimpinan dalam diri mereka berdasarkan ayat ini.
Kompeten dengan keperluan semasa

Ciri ini didasarkan pada sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang pakar.” (Muslim)
Berminda luas dan berfikiran global dan universal

Ciri ini didasarkan pada dalil berikut:
“Dan tidak kami utus kamu (Muhammad) kecuali untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam.” (Al-Anbiya’ : 107)

Islam adalah agama yang universal, diturunkan untuk seluruh umat manusia bukan hanya kepada bangsa Arab, Melayu atau umat Islam sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan