Tanggungjawab pemilik dan pengusaha
restoran untuk mendapatkan sijil halal dan mempamerkan logo halal di
premis masing-masing. - UTUSAN/IRWAN MAJID
SETIAP kali menjelang Ramadan persoalan makanan
halal dan haram menjadi isu yang menggamatkan umat Islam. Beberapa hari
lalu timbul perdebatan sajian makanan di hotel-hotel untuk 'buffet
Ramadan' kerana tidak semua hotel yang menyediakannya memperoleh sijil
halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau
Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).
Pihak hotel pula mendakwa, di samping memerlukan perbelanjaan besar
untuk melakukan pemisahan dapur dan peralatan memasak bagi memenuhi
piawaian halal, proses mendapatkan sijil juga memeritkan. Ia memerlukan
masa yang panjang setelah kebenaran yang diberikan kepada pihak swasta
sebelumnya ditarik balik.
Persoalan mendapatkan makanan halal sebenarnya sudah lama dikesali
pengguna kerana ada pengusaha tidak peka dengan keperluan khusus umat
Islam. Setelah mendapat pengiktirafan halal, ada pengusaha mula
mencampuradukkan bekas penyimpanan bahan mentah atas masalah menjimatkan
kos.
Persoalan ini sebenarnya tidak boleh diselesaikan sepenuhnya kerana
masing-masing mempunyai alasan. Pihak Jakim akan mendakwa, untuk
memenuhi piawaian halal mereka memerlukan semakan yang teliti dan ia
dilakukan dalam keadaan 'kain yang singkat'. Tidak mempunyai kakitangan
yang mencukupi manakala pengusaha pula tidak sanggup menunggu kerana
makin lama menunggu mengakibatkan kecairan tunai tersekat disebabkan
pelaburan besar tidak mendatangkan pulangan modal yang cepat.
Apa yang lebih penting adalah menanamkan kesedaran kepada pengguna.
Dalam falsafah kepenggunaan, kuasa yang ada padanya hendaklah digunakan
dengan baik, yakni memboikot premis yang tidak mematuhi piawaian halal.
Bagaimanapun, disebabkan corak penggunaan di Malaysia sudah banyak
berubah, daripada menyediakan sendiri bahan mentah kepada membelinya di
pasar raya disebabkan kesuntukan masa dengan kerjaya, maka boikot boleh
menjejaskan penyediaan makanan untuk keluarga.
Sebagai pengguna Islam, kita hendaklah memahami bahawa memperoleh
makanan halal adalah kewajipan yang tidak boleh dipandang ringan.
Sebelum membeli, kita diwajibkan memeriksa kandungan bahan yang dijual
itu mengandungi bahan halal ataupun tidak. Tetapi, pihak pengeluar lebih
bijak menjenamakan produk mereka, dengan nama baru yang kadangkala
mengelirukan. Perincian kandungan bahan sengaja disembunyikan. Mereka
lebih gemar menggunakan istilah saintifik, yang tidak semua orang
memahaminya.
Memilih makanan halal merupakan ketetapan yang mutlak dan muktamad
daripada Allah. Ketetapan itu tidak boleh dipinda oleh sesiapa pun. Ia
termasuk bahan-bahan asas yang dihasilkan daripada punca yang haram
misalnya khinzir dan arak. Manakala pihak pembekal pula merasakan inilah
peluang untuk mereka melonjakkan jualan kerana bahan-bahan itu
dikatakan mempunyai perisa yang lazat, lebih tahan lama dan lembut.
Masyarakat Islam mestilah memahami, bahan-bahan makanan yang
dihasilkan daripada khinzir misalnya diharamkan kerana kandungan virus
di dalamnya boleh mendatangkan kemudaratan besar. Suatu ketika dulu,
sebelum teknologi mengangkut sampah dipermodenkan, khinzir digunakan
untuk membersihkan sampah sarap di kawasan-kawasan yang tidak sanggup
dilakukan oleh manusia.
Khinzir akan dilepaskan pada waktu malam terutamanya di lorong-lorong
yang sempit. Oleh kerana kaedah pemakanan khinzir yang kotor, bahan
buangan seperti najis, ulat dan cacing menjadi bahan makanannya. Khinzir
kemudiannya menghadamkan sisa-sisa sampah manakala virus dan cacing
yang dimakannya tidak mati, ia terus membiak dalam tubuh badannya. Virus
dan cacing itu kemudian berpindah kepada manusia apabila menjadikan
daging khinzir sebagai bahan makanan.
Pengharaman arak berdasarkan proses pemeraman sekian lama. Proses
pemeraman itu memerlukan bahan pengawet tertentu bagi mengekalkan
kesegaran. Apabila sebatian bahan kimia itu bergabung dalam proses
pemeraman itu, ia akan menghadirkan sebatian baru yang boleh
memudaratkan manusia. Boleh mengakibatkan organ dalaman menjadi kacau
dan seterusnya membahayakan kehidupan.
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda:
Daripada Salman
al-Farisi semasa Rasulullah SAW ditanya tentang hukum lemak, keju dan
keldai hutan, Nabi Muhammad SAW menjelaskan bahawa apa yang dihalalkan
di dalam kitab Allah adalah halal dan apa yang diharamkan-Nya
adalah haram, manakala apa yang didiamkan, ada kemaafan bagi kamu. Allah
SWT memerintahkan agar manusia memakan makanan yang sifatnya halal dan
thayyib iaitu lazat, baik dan menyihatkan. Malah al-Quran menyenaraikan
pelbagai jenis makanan yang zat seperti ikan, madu, buah-buahan, lemak
dan minyak untuk dimakan.
Firman Allah dalam surah al-Mu'minun ayat 19 yang bermaksud:
Kemudian,
kami tumbuhkan kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan
anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (pelbagai jenis lagi)
buah-buahan yang banyak, dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki
penghidupan kamu.
Al-Quran sesungguhnya mengecam mereka yang mengharamkan rezeki halal
yang disediakan oleh Allah kepada manusia. Dalam hal ini, Allah SWT
berfirman dalam surah Yunus ayat 59 yang bermaksud:
Katakanlah
(kepada kaum yang mengada-adakan sesuatu hukum): Sudahkah kamu nampak
baik buruknya sesuatu yang diturunkan Allah untuk manfaat kamu itu
hingga dapat kamu jadikan sebahagian daripadanya haram dan sebahagiannya
lagi halal? Katakanlah (kepada mereka): Adakah Allah izinkan bagi kamu
berbuat demikian atau kamu hanya mengada-adakan secara dusta terhadap
Allah? Dia (Allah) menciptakan untuk kamu apa yang ada di bumi
seluruhnya. (Surah al-Baqarah ayat 29).
Makanan memberikan tenaga dan meninggalkan pengaruh kepada kehidupan.
Selain menjamin kelangsungan hidup, membantu proses pertumbuhan,
mengekalkan kesihatan, makanan membantu memperkembangkan kecerdasan
emosi dan psikologi. Jika mengambil makanan daripada sumber tidak halal,
ia turut menggugat kesihatan mental misalnya dengan meminum arak,
kandungan alkohol akan menyebabkan pemikiran tidak stabil.
Dalam dunia perisikan, banyak rahsia negara ikut terdedah. Seseorang
yang mabuk, khayal dan tidak stabil akan menghasilkan tindakan yang
negatif. Tindakan itu bukan sahaja merosakkan diri sendiri, bahkan
melibatkan orang lain. Seseorang yang mabuk, sanggup melakukan apa
sahaja termasuk membocorkan rahsia negara.
Seorang ulama besar, al-Harali berpendapat jenis makanan dan minuman
yang diambil boleh mempengaruhi jiwa dan sifat-sifat mental pemakannya.
Justeru alasan al-Quran cukup kuat apabila ia mengharamkan arak,
bangkai, darah dan daging khinzir kerana ia akan memberi kesan atau
mudarat ke atas jiwa manusia.
Sesuatu makanan yang dihalalkan oleh Islam sudah pasti akan memberi
kebaikan kepada manusia dan tidak akan membawa kemudaratan. Begitulah
sebaliknya sesuatu yang diharam itu sudah tentu akan memudaratkan
manusia.
Islam juga menetapkan sesuatu makanan yang dianggap halal tetapi cara
mendapatkannya tidak halal adalah haram untuk dimakan. Sebagai contoh
barang curi atau harta yang dirampas, makan harta anak yatim dan memakan
harta benda yang diperoleh secara riba. Rasulullah SAW juga mengaitkan
antara termakbulnya doa dengan makanan halal.
Beliau bersabda sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud:
Wahai
seluruh manusia. Sesungguhnya Allah Maha Baik. Dia tidak menerima
(sesuatu) kecuali yang baik. Dia memerintahkan kaum mukmin sebagaimana
memerintahkan para Rasul dengan firman-Nya, 'Wahai Rasul, makanlah
rezeki yang baik yang telah kami anugerahkan kepadamu' (kata perawi).
Rasul kemudian menjelaskan seorang pejalan kaki, comot dan kotor,
menadahkan kedua tangannya ke langit berdoa, 'Wahai Tuhan, wahai Tuhan',
(tetapi) makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, makan
daripada barang haram, maka bagaimana mungkin ia dimakbulkan.
DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)