Perkataan 'HALAL' membawa maksud yang luas mengenai tatacara hidup orang Islam yang menitikberatkan aspek halalan thoyyiba iaitu kesucian, amalan kebersihan dan kehidupan yang sihat serta halal. Dari sudut pandangan Islam, makanan yang baik lagi halal mampu membentuk ketrampilan peribadi seseorang yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan ummah. Sebagai umat Islam kita wajib memastikan sumber makanan dan minuman adalah halal dan memenuhi panduan pemakanan syariat Islam. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 168:
Bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”.
Ibn kathir di dalam kitabnya Tafsir Ibn Kathir menyatakan bahawa: perkataan toyyiba itu membawa maksud baik, bermanfaat dan elok dari segi tabiat dan syarak . Thoyyiba merangkumi dua perkara iaitu soal fizikal dan kerohanian. Ia mestilah selari dengan syariat, tidak bercanggah dan disertai dengan keikhlasan kepada Allah SWT. Makanan yang halal di sisi syara’ adalah makanan yang bersih zatnya, suci kaedah perolehannya serta bebas dari sebarang kemudharatan, sebaliknya sesuatu makanan yang haram sekalipun lazat rasanya, harum baunya tetap keji di sisi Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, makanlah barang yang bersih daripada apa yang kami kurniakan kepada kamu (Hadith Riwayat Muslim). Oleh yang demikian sebagai seorang Islam samada pengusaha makanan halal dan individu hendaklah mengambil kira setiap perkara samada dari segi modal perniagaan, pelaburan, hasil pendapatan dan hendaklah dijauhi dari unsur-unsur yang haram seperti judi, riba, rasuah dan sebagainya.
Ajaran Islam amat menitikberatkan persoalan makanan yang halal dan bersih kepada umatnya. sesuatu makanan yang haram dimasukkan ke dalam tubuh seseorang akan membawa kepada kesan yang mendalam kepada tingkah laku, budi pekerti, kejernihan hati nurani dan penerimaan doa yang dipanjatkan kehadrat Allah SWT. Panduan pemakanan di dalam Islam adalah berlandaskan konsep “memberi kemudahan, menjaga nyawa, menjamin kesihatan tubuh badan dan akal ”. Kerana itu setiap makanan yang memberi manfaat kepada tubuh badan dan akal fikiran adalah dibenarkan oleh syarak, manakala yang haram dan memudharatkan fikiran serta badan diharamkan dan ditegah. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 114-115:
Bermaksud: “Oleh itu, makanlah dari apa yang dikurniakan Allah kepadamu dari yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu menyembah-NYA Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa sedang ia tidak dianiaya dan tidak melampaui batas; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani ”.
Oleh kerana itu, agama Islam telah meletakkan garis panduan dalam pemakanan. Makanan yang hendak dimakan, dipilih atau diproses mestilah berasaskan halalan toyyiba. Kita wajib memilih makanan yang halal, yang mempunyai unsur baik samada dari sudut kesihatan dan keselamatan serta menjauhi makanan yang haram, kerana di sebalik perkara yang haram itu terdapatnya bahaya dan kemudharatan. Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, Syed Qutb menyatakan: Sama ada ilmu manusia dapat mengetahui hikmah pengharaman sesuatu perkara atau tidak, namun yang pasti, Allah Maha Mengetahui dan amat mengatasi keupayaan kita untuk mengetahui sesuatu perkara. Allah tidak mengharamkan sesuatu, kecuali pasti perkara tersebut mempunyai bahaya dan kemudaratannya. Seorang ulama terkenal Abdullah Sahl al-Tusturi berkata: “Sesiapa yang makan makanan haram, maka akan bermaksiatlah anggota tubuhnya sama ada atas kehendaknya atau tidak, sama ada dia tahu atau tidak dan sesiapa yang makan makanan yang halal, maka seluruh anggota tubuhnya akan tunduk taat dan mudah melaksanakan kebajikan. Berdasarkan kepada pandangan ini menunjukkan bahawa pemakanan halal mempunyai kedudukan yang penting dalam kehidupan di dunia ini dan berkait rapat dengan balasan hari akhirat. Sabda Rasulullah SAW:
Mafhumnya: “ Mana-mana hamba, dagingnya itu tumbuh dari perkara yang haram dan amalan riba, api nerakalah yang patut(untuk membakar dan menghilangkan) daging tersebut”. (Hadith Riwayat Ibn Marduiah)
Di dalam mengharungi perkembangan semasa di era global dunia hari ini, banyak makanan dan minuman yang ditawarkan kepada kita perlu diperiksa dan diteliti dengan sebaiknya. Dalam hal ini perkara yang halal lagi baik hendaklah menjadi keutamaan kita, manakala yang haram dan tidak baik semestinya dihindari. Kita juga dituntut agar menjauhi barang-barang syubhah yang mengelirukan dan tidak jelas hukumnya, kita sepatutnya berwaspada supaya tidak mengambil atau mencubanya melainkan setelah dipastikan kehalalannya dan kebaikannya. Ini kerana pengambilan makanan dan minuman yang syubhah boleh mengheret kepada penggunaan barangan yang haram secara tidak disangka-sangka.
Dalam perkembangan semasa juga ada dari kalangan peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan memperdayakan pengguna seperti permalsuan logo halal, menggunakan logo halal pada produk yang haram. Walaupun matlamat perniagaan untuk mencari rezeki dan mendapat keuntungan namun soal keberkatan dan keikhlasan tidak boleh diketepikan atau dipandang remeh. Mimbar ingin menegaskan bahawa mereka yang melakukan penipuan ini sebenarnya telah mengkhanati masyarakat Islam dan telah melakukan amalan syaitan yang menyesatkan.
Berdasarkan kepada keperluan ini dan keperihatinan pemerintah maka dikuatkuasakan Akta Perihal Dagangan 2011. Melalui akta ini terdapat dua perintah yang menerangkan aspek halal iaitu Perintah Perihal Dagangan (Takrifan Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan Perakuan dan Penandaan Halal 2011 yang berkuatkuasa mulai 1 Januari 2012. Justeru mimbar menyeru kepada semua pihak agar bertanggungjawab dan mematuhi akta yang telah dikuatkuasakan ini.
Perlaksanaan Akta Perihal Dagangan 2011 ini adalah untuk membantu kelancaran perlaksanaan persijilan halal di negara kita, justeru kepada semua pihak yang terlibat hendaklah mengikuti segala prosedur, standard dan segala aspek yang ditetapkan dalam persijilan halal. Kewujudan akta ini antara lain ialah bagi memastikan jaminan tanda halal hanya dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti, bagi memastikan integriti halal terjamin sepanjang masa. Walaubagaimanapun perlu diingatkan dalam keghairahan kita membicarakan tentang halal samada dari segi akta, sistem kualiti dan pengurusannya, janganlah kita lupa bahawa rujukan sebenar halal dan persijilan halal hendaklah berdasarkan kepada syariah Islam sebagai ukuran yang mutlak.
Mimbar juga mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengingatkan kepada para jemaah dan umat Islam sekalian tentang bahayanya fitnah dan khabar angin yang melanda dalam masyarakat pada masa kini terutamanya melalui media massa seperti internet dan facebook. Fitnah adalah mengada-adakan sesuatu yang tidak ada atau mengaitkan diri seseorang dengan sesuatu yang tidak benar, ia adalah haram di dalam Islam. Ingatlah fitnah ini dapat memecah-belahkan dan menggugat keharmonian serta perpaduan masyarakat. Justeru mimbar menyeru agar kita menjauhi dan berhati-hati dengan khabar angin serta ancaman fitnah ini.
Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru sidang Jumaat sekalian supaya melaksanakan tanggungjawab yang telah diberikan sebagai seorang muslim yang prihatin dalam setiap perkara serta menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang menampakkan hasil dan kesan. Laporkanlah sebarang keraguan yang tidak munasabah kepada pihak yang berwajib. Marilah sama-sama kita meletakkan keutamaan untuk memilih hanya yang halal dalam setiap urusan kehidupan kita khususnya dalam aspek pemakanan. Sebagai umat Islam kita juga harus berwaspada produk-produk yang ada di pasaran. Pilihlah produk yang disahkan halal oleh badan-badan yang diiktiraf seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri. Marilah sama-sama kita bekerjasama dalam menjayakan program pemakan halal demi pembangunan dan kesejahteraan ummah. Marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 70:
Bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan kenderaan di darat dan di laut; dan Kami berikan rezeki kepada mereka dari yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”.
sumber: Masjid Negara