Dalam semangat sesetengah pihak untuk menegakkan kedaulatan Melayu maka pelbagai slogan kemelayuan dikeluarkan. Ada yang kata kita berbangga menjadi Melayu sebab kaum asal di Nusantara ini. Ada yang kata kita berbangga menjadi Melayu kerana sejarah kesultanan dan kepahlawanan Melayu. Apatah lagi ketika dunia hanya tinggal beberapa belas raja, sembilan daripadanya dimiliki oleh orang Melayu. Ada yang kata orang Melayu itu istimewa disebabkan adat dan budaya. Namun bagi saya, kemuliaan orang Melayu yang sebenar dan kekal kerana mereka menganut Islam. Mereka tidak kekal mulia dengan adat atau kesultanan atau budaya atau apa saja, mereka akan kekal mulia kerana akidah Islam dan jika mereka berpegang kuat dengan Islam. Hari ini budaya dan bahasa Melayu sudah banyak yang dilupakan, sejarah kesultanan atau kepahlawanan Melayu pun banyak perkara yang wajar dinilai semula. Adapun Islam, ia agama Allah yang sejagat, bukan hanya khusus di alam Melayu atau hanya untuk orang Melayu. Keberkatan dan kemuliaan akan dikurniakan kepada sesiapa yang berpegang dengannya sekalipun tanpa sejarah bangsa dan raja. Firman Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan sesuatu menimpa mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (mereka itu) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa. Untuk mereka kegembiraan dalam kehidupan dunia dan akhirat; tidak ada sebarang perubahan pada kalimat-kalimat Allah (janji-janji-Nya), yang demikian itulah kejayaan yang besar. Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) didukacitakan oleh kata-kata mereka (yang menentang); kerana sesungguhnya segala kemuliaan bagi Allah; Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Yang Maha mengetahui. (Surah Yunus: 62-65).
Jikalah kepahlawanan Melayu hendak dijadikan teladan, saya fikir banyak perkara yang perlu ditapis. Hang Tuah yang kononnya hidup pada zaman kegemilangan Kesultanan Melaka tentu tidak relevan lagi di zaman kita untuk dianggap wira dan teladan. Wataknya itu mungkin sesuai untuk masyarakat yang berpegang kepada feudalisme yang taat patuh kepada golongan bangsawan secara membuta tuli.
Cerita tindakan Hang Tuah membawa lari Tun Teja dari Pahang untuk memenuhi selera Sultan Melaka ketika itu, bukanlah tindakan terpuji. Ia salah dari segi nilai kesopanan, apatah lagi dari sudut ajaran Islam. Namun, masyarakat Melayu ketika itu barangkali dapat menerimanya disebabkan kehendak sultan atau raja itu mengatasi segala-galanya. Bahkan sultan atau raja bagi mereka mengatasi undang-undang dan peraturan. Dalam sejarah, bahasa dan adat yang digunakan oleh orang Melayu di hadapan sultan atau raja menggambarkan sikap berlebih-lebihan dalam memuja raja serta menghina atau menghambakan rakyat. Ia sudah pasti tidak serasi dengan roh ajaran Islam yang membebaskan manusia dari perhambaan sesama manusia atau makhluk, kepada mengabdikan diri hanya kepada Allah. Dalam sejarah atau legenda kesultanan Melayu juga, bukan sedikit tindakan sultan atau raja Melayu yang amat menyanggah keadilan, tidak masuk akal, sekali gus bercanggah dengan Islam. Orang Melayu dalam banyak keadaan mendiamkan diri dan berkata: Kita rakyat, baginda raja. Falsafah raja adalah jelmaan tuhan yang dianuti oleh sesetengah agama, walaupun tidak disebut dalam masyarakat Melayu, namun ia menjelma dalam penghayatan. Sehingga perkataan daulat raja difahami sesetengah masyarakat bahawa tuhan menurunkan bencana kepada sesiapa yang tidak menghormati raja. Bahkan adat-istiadat istana itu sendiri seperti cara menghadap atau menyembah duli bukan berasal dari ajaran Islam. Walaupun Islam masuk ke dalam istana dan masyarakat Melayu, tetapi berhubung dengan adat keistanaan, banyak yang belum berjaya diislamisasikan.
Tidak dinafikan golongan agama, ada yang berjaya menasihati sesetengah raja Melayu. Terdapat juga sultan Melayu yang berpegang dengan Islam dan disanjungi kebaikan dan keadilan mereka. Namun, dalam banyak keadaan jiwa feudalistik Melayu menghalang atau melambatkan proses mengislamisasikan pemikiran Melayu berhubung dengan raja. Anasir itu ada yang berlarutan sehinggalah ke zaman moden ini. Tokoh-tokoh politik Melayu sama ada pro-Islam atau apa saja, bagaimana sakan pun mereka mengkritik kerajaan; dari segi belanjawan, pembaziran, tindak-tanduk, pembahagian projek, kepatuhan kepada undang-undang dan agama dan hal lain, apakah mereka sanggup bertanya hal yang sama jika dikaitkan dengan istana. Jawapan sudah pasti tidak atau amat sedikit, walaupun memang banyak bisikan dalam senyap. Sehingga saya berjumpa sesetengah orang yang mengharamkan yoga atas alasan kerana ada unsur agama lain antaranya merapatkan kedua belah tangan seperti menyembah berhala. Saya bertanya: Tidakkah perbuatan yang sama dilakukan dalam istiadat Melayu menghadap raja?. Dia menjawab: Oh itu lain, saya tidak mahu masuk campur.
Tulisan ini bukan menghina sejarah istana atau raja. Apa yang hendak ditegaskan kemuliaan kita apabila kita berpegang dengan Islam. Tiada masalah dengan istana atau kesultanan Melayu. Saya hanya menyebut latar masyarakat kita. Institusi ini boleh dikekalkan. Namun, proses pembaharuan minda berkaitan istana masih diperlukan. Apatah lagi istana dianggap memayungi Islam. Banyak institusi Islam di bawah istana. Tiada penguasa yang tidak boleh dinilai dan ditegur untuk kebaikan diri mereka dan rakyat. Seperti mana kerajaan ditegur dan dikritik, demikian juga raja dan sultan. Jika ia hal peribadi, ditegur secara tertutup dan peribadi. Jika ia hak atau isu awam, orang awam dan rakyat berhak menuntutnya. Saya menyebut hal ini demi kebaikan institusi kesultanan itu sendiri, agar berkesinambungannya secara mulia dan dihormati rakyat. Dalam rekod Melayu moden, orang Melayu banyak mempertahankan institusi kesultanan mereka, walaupun tidak banyak keadaan yang menunjukkan sebaliknya. Adapun saya, tidaklah bersetuju dengan kata-kata Hang Jebat: Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Saya tidak bersetuju dengan perkataan sembah yang disebut oleh Hang Jebat, sebab saya tidak menyembah raja. Saya kata: Raja adil raja ditaati, raja zalim raja dibantah atau dinasihati. Tiada beza antara rakyat dan raja atau menteri atau bangsawan mana sekalipun di hadapan keadilan dan hak. Islam tidak pernah mengajar jiwa feudalistik yang meletakkan bagi bangsawan hukuman berbeza dengan rakyat. Rasulullah SAW menyebut: Sesungguhnya binasa orang yang terdahulu daripada kamu kerana mereka itu apabila seorang bangsawan dalam kalangan mereka mencuri, dia dibiarkan. Apabila seorang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, dilaksanakan hukum ke atasnya. Demi Allah! Jika Fatimah anak Muhammad (puteri Rasulullah) itu mencuri, nescaya ku potong tangannya (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Saya seorang Muslim, saya juga seorang Melayu. Saya tidak nafikan orang Melayu dan kesultanan kita ada keistimewaan yang tersendiri. Namun, saya percaya jika kita berbicara soal sejarah bangsa, setiap bangsa ada sejarah mereka. Jika soal budaya dan adat, setiap bangsa memilikinya. Jika soal bahasa dan sastera, setiap bangsa ada latar mereka. Namun jika kita berbicara rahmat Allah yang menunjukkan Islam kepada orang Melayu, ia adalah sesuatu yang istimewa. Ia membolehkan Melayu itu bergabung dengan sejarah hidayah dan alam yang merentasi segala rupa bangsa dan budaya. Ia menjadikan kita bersaudara dengan pelbagai bangsa di dunia atas kalimah Allah dan menjadikan kita merasai sejarah kegemilangan Islam sebahagian dari sejarah kita bersama. Cuma yang tinggal, sejauh manakah kita berjaya melayari bahtera keagungan Islam pada zaman yang mencabar ini? Zaman sudah berubah. Minda dan cara fikir generasi baru juga sudah berbeza. Sejarah juga akan berubah. Sesiapa yang enggan berubah, mungkin dia diubah.
DR. Mohd Asri ZainUl Abidin ialah bekas mufti perlis dan kini pensyarah pengajian islam, universiti sains Malaysia (usm) yang sedang sabatikal di Britain. laman web: drmaza.com. E-mel:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan