Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Jumaat, 7 Oktober 2011

Melakar Harapan Belanjawan 2012


Tanggal 7 Oktober 2011, seluruh mata dan telinga masyarakat baik pakar ekonomi, para pemimpin, pensyarah, para pelajar,pegawai kerajaan,pesara mahupun rakyat biasa tertumpu kepada pembentangan belanjawan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Masyarakat menantikan pengumuman- pengumuman penting yang akan di utarakan oleh YAB Perdana Menteri di Parlimen selepas jam 3 petang hari Jumaat nanti.

Pengumuman dan pembentangan Belanjawan 2012 yang bertemakan transformasi bersama rakyat Jumaat ini diharapkan turut menumpukan kepada isu berkaitan golongan anak muda Malaysia.

Dalam Konsultasi Bajet 2012 yang lepas, banyak pihak menyuarakan kepentingan peningkatan kualiti dan sistem pendidikan di peringkat sekolah hingga ke pengajian tinggi. Sistem pendidikan yang lebih result-oriented ditambah lagi dengan mentaliti masyarakat, menyumbang kepada suasana kurang sihat dalam proses pembelajaran.


Kecenderungan untuk memperoleh ilmu pengetahuan telah dialih kepada sikap ’kumpul A’ bagi membolosi ke tempat pengajian lebih baik, sedangkan proses pendidikan yang berteraskan moral dan ilmu telah diketepikan secara halus.

Maka pendekatan yang diambil juga perlu bermula dari peringkat awal pendidikan iaitu peringkat persekolahan rendah yang mungkin merupakan bermulanya budaya tersebut.  Oleh itu, profesyen dalam bidang pendidikan perlu diiktiraf dan diberi sokongan. Sokongan disini termasuklah segregasi beban kerja tenaga pengajar dengan mewujudkan jawatan khusus untuk tugas spesifik atau tugas aktiviti luar kelas. Kadar birokrasi dari jabatan berkaitan perlulah sejajar dengan tahap efisyen yang dicari.

Semestinya isu global seperti pengangguran dan ketakpadanan kepakaran yang berlaku di negara ini perlu diberi perhatian. Melalui bajet kali ini yang lebih menjurus kepentingan rakyat dan pendekatan dari dalam, diharapkan masalah pengangguran dapat diatasi dengan pengwujudan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor perkhidmatan, pengeluaran dan pertanian.

Peluang serta program sokongan yang merangkumi bentuk kewangan dan mentor dapat membuka ruang untuk golongan muda terutamanya mencipta peluang pekerjaan sendiri. Malah, graduan akademik dan kemahiran dapat mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran bidang masing-masing dalam sektor berkaitan.

Bagi mereka yang tercicir dalam akademik tetapi mempunyai peluang dalam bidang teknikal dan perkhidmatan perlu di beri ruang. Dana untuk bidang tersebut perlu dipertingkatkan, manakala kerenah birokrasi bagi memperolehi dana dan sumber kewangan hendaklah di kurangkan. Dan tempat latihan bagi mereka perlu di perbanyakkan. Melalui peningkatan dana dan perluasan latihan akan meningkatkan sumber daya mereka dan bakal melahirkan pekerja yang separuh mahir dan mahir dalam bidang tertentu. Justeru mereka boleh masuk dalam pasaran kerja yang ditawarkan dalam negara ini.

Inisiatif kerajaan untuk turut memberi fokus kepada proses inovasi, pembangunan dan penyelidikan seperti kenyataan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili Jun lepas juga, dapat menjurus kepada penciptaan bidang-bidang baru, yang juga merupakan permintaan tidak langsung masyarakat.

Seterusnya, ia dapat menawarkan peluang komersil kepada penubuhan syarikat dan secara tidak langsung wujudkan peluang pekerjaan. Maka peruntukan sokongan untuk tujuan itu adalah wajar untuk ditingkatkan. Salah satu punca ketirisan pakar adalah disebabkan ketakpadanan kepakaran dalam negara, yang mana graduan sarjana dan sijil perakuan khusus tidak disalurkan untuk berkhidmat dalam bidang masing-masing. Fenomena ini  dapat ditangani dengan menyuaipadan kepakaran sedia ada dengan keperluan negara dan bermakna ruang serta platfom diberikan kepada golongan ini untuk mengamalkan profesyen.

Isu kenaikan harga barang keperluan asas dan makanan yang menyebabkan peningkatan kos sara hidup juga wajar diberi perhatian. Begitu juga isu pemilikan perumahan bagi orang muda. Situasi ini akan membebankan lagi golongan berpendapatan rendah dan maenyebabkan ketisakstabilan agihan kekayaan kepada rakyat. Memetik kenyataan Perdana Menteri pada 3 Oktober 2011, inisiatif khusus untuk tangani kesulitan golongan berpendapatan rendah bagi Belanjawan 2012 ini adalah amat wajar bagi merapatkan jurang ekonomi Antara golongan masyarakat.

Pembahagian kekayaan secara wajar dapat memberi perlindungan dan kestabilan kepada rakyat dalam menempuh persekitaran ekonomi global yang mencabar kini. Namun begitu, persoalan pembahagian kekayaan melalui subsidi perlu dirancang rapi dan semestinya keberkesanan dalam pelaksanaan memainkan peranan vital. Dalam masa yang sama pendekatan yang dipilih turut dapat menaiktaraf nilai moral dan minda masyarakat.

Berkenaan dengan isu muflis dan penggunaan kredit berlebihan sebelum usia 40 tahun, pengurusan kewangan dan kredit untuk belia adalah perlu bagi mengurangkan kadar permasalahan tersebut. Agensi seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bertanggungjawab untuk memberi kesedaran dan menyediakan bahan pendidikan untuk  masalah kewangan dan muflis.  Insentif kecil mungkin dapat ditawarkan kepada badan bukan kerajaan yang mahu turut serta dalam usaha mendidik masyarakat mengenai kesihatan kewangan.

Peluang untuk masyarakat dan belia luar bandar untuk meningkatkan keadaan ekonomi mereka adalah penting. Sokongan bagi golongan yang berminat dalam bidang perlu dipertingkatkan lagi bukan sahaja dari aspek kewangan malah pendekatan untuk memastikan ada nilai usaha berterusan. Belanjawan 2012 ini memperlihatkan signifikasinya terhadap masyarakat desa dan luar bandar; digelar ’Bajet Desa’, yang mana dapat membuka peluang lebih besar untuk mereka yang di Desa dan juga generasi kedua FELDA yang mahukan transformasi sebenar. Cadangan bagi menyenaraikan  FELDA di papan pertama setanding dengan Sime Darby amatlah wajar dan bertepatan bagi menyerlahkan lagi keutuhan dan daya saing peneroka.

Peranan pertubuhan belia dan NGO dalam pembangunan negara perlu dipandang serius oleh pihak kerajaan. Mengambil contoh Majlis Belia Malaysia sebagai badan induk pertubuhan belia yang telah lebih 60 tahun berada dalam negara perlu diberi suntikan semangat supaya ianya terus mekar dan relevan dalam negara.

Relevannya pertubuhan ini bukan hanya diukur semata-mata kepada aktiviti, sumbangan dan keberkesanannya tetapi keutuhan pentadbiran termasuk gaji, pekerja belia atau penggeraknya, pejabat dan kecanggihan teknologi yang diguna pakai mestilah signifikan.

Justeru, adalah menjadi harapan besar Majlis Belia Malaysia dan warga gabungannya serta pertubuhan-pertubuhan yang lain untuk Kerajaan menyediakan insentif yang berterusan kepada pertubuhan belia dan NGO dengan meningkatkan peruntukan kepada bantuan pentadbiran  tahunan dan bantuan aktiviti sejajar dengan peningkatan kos masa kini.

Isu penggerak belia dan pekerja belia yang kompeten dan profesional juga memerlukan perhatian serius oleh kerajaan. Kalangan mereka  ini seringkali digelar ”No Gaji Officer” namun jauh disana, penggerak ini memerlukan pengiktirafan dan empowerment. Amatlah malang mereka yang berkhidmat berpuluh-puluh tahun dalam dunia NGO ini tetapi menghadapi masalah dalam pinjaman bank, pembelian rumah, kereta dan lain-lain kerana prasangka pihak-pihak tiadanya jaminan masa depan bagi mereka dalam pergerakan seumpama ini.

Pembangunan dan kepesatan negara dalam memacu ekonomi negara tidak harus melupakan kelestarian sistem alam yang memerlukan kepada pembangunan seimbang. Harapan yang tinggi kepada mereka yang  rakus supaya menilai perkara ini kerana bumi ini akan diwarisi selamanya oleh generasi yang mendatang. Amatlah tidak wajar mereka menanggung segumpal kerumitan dan permasalahan mendatang dek halobanya sesetengah pihak mencari keuntungan dan kemewahan. Keseimbangan dalam pembangunan amat perlu.

Adalah menjadi segunung harapan Pembentangan Belanjawan secara terperinci pada 7 Oktober ini diharapkan dapat memberi impak dalam pembangunan negara secara menyeluruh tanpa mengenepikan mana-mana golongan masyarakat. Namun begitu, ukuran pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut yang akan memperlihatkan keberkesanan peruntukan kewangan dan prioriti kerajaan dalam mencapai sasaran transformasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan