Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Isnin, 27 Ogos 2012

Borak Borak Kopi O......Berayalah mengikut kemampuan

TERTARIK dengan rencana Utusan Malaysia bertarikh 1 Ogos 2012 yang ditulis oleh saudari Fauziah Arof bertajuk 'Buat pinjaman bank, syarikat kewangan, ah long untuk beraya?', saya terpanggil untuk memberikan pandangan. Meminjam wang dari bank ataupun ah long bagi memenuhi keperluan Hari Raya sewajarnya bukanlah satu tindakan yang tepat dan bijak.
Ini kerana ia akan menambahkan beban dikemudian hari melainkan kita telah meneliti banyak aspek melibatkan pengurusan kewangan yang baik.
Sebaliknya, masyarakat di luar sana harus faham maksud dan matlamat sebenar sambutan Hari Raya Aidilfitri dari konteks agama Islam dan budaya orang Melayu itu sendiri. Menyambut Hari Raya sebenarnya lebih kepada meraikan kemenangan bagi orang yang berpuasa selama sebulan.
Ia ibarat sebuah perjuangan yang besar kerana dituntut untuk berlapar dan dahaga secara fizikalnya malah dari sudut spiritualnya dituntut mendidik diri dengan rasa keikhlasan, keinsafan, pemurah bersabar dan sebagainya.
Jadi meraikan hari kemenangan ini kita tidaklah dituntut untuk terlalu bermewah-mewahan sehingga berbelanja besar untuk membeli pakaian, menghias rumah dan sebagainya.
Selain itu, kita juga dituntut ziarah menziarahi bagi mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama kita hatta dengan bangsa yang lain juga. Ia akhirnya akan meningkatkan kekuatan ummah secara tidak langsung keharmonian dalam negara.
Maksud yang tersirat di sebalik meraikan Hari Raya ini lebih ampuh sekiranya kita mampu melihat dari perspektif yang lebih besar dan mendalam.
Justeru, ia sepatutnya dipasak dalam prinsip merayakan Aidilfitri daripada berbelanja besar semata-mata untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk kepada sahabat handai dan rakan taulan.
Strategi sesebuah bank mempromosikan tawaran yang menarik semasa musim perayaan bukanlah satu kesalahan yang besar atau dilihat sebagai suatu yang negatif. Ini kerana ia adalah satu langkah proaktif dan strategi dalam perniagaan bagi memasarkan sesuatu produk.
Mana-mana perniagaan sekalipun, strategi mengiklankan sesuatu produk adalah nadi kepada perniagaan bagi mencapai pelanggan sasaran. Ia bukan mudah dan melibatkan kos yang tinggi.
Bagaimanapun, kebijaksanaan sesuatu institusi kewangan atau organisasi bank khususnya mampu memastikan strategi pengiklanan itu berjaya mahupun tidak. Sayugia, pihak berwajib memainkan peranan penting dalam memastikan kandungan pengiklanan itu tidak tersasar, dan bercanggah dengan norma budaya di Malaysia serta memberikan impak negatif kepada masyarakat.
Peranan sesebuah institusi kewangan atau sebuah bank harus dilihat dari sudut yang positif dalam memainkan peranannya menyediakan kemudahan perbankan khususnya deposit wang tunai dan menyediakan kemudahan pembiayaan wang tunai.
Malah, dari sudut lain ia juga berperanan besar dalam meningkatkan ekonomi sesebuah negara dengan mengembangkan sektor keusahawanan, perniagaan, pertanian, perindustrian, koperasi dan sebagainya.
Apa yang penting di sini, bank tidak harus dipersalahkan hanya semata-mata kerana aspek promosi dan pengiklanan sahaja. Sikap masyarakat di luar sana yang tidak berhemah dalam berbelanja di musim perayaan harus di ambil berat banyak pihak terutamanya kerajaan bagi memastikan keamanan, keharmonian dan masa depan negara terpelihara.
Peranan Kementerian Pelajaran dalam mendidik pelajar di peringkat bangku sekolah berkaitan aspek pendidikan dan perancangan kewangan harus diteliti dan dijadikan silibus wajib alam persekolahan. Manakala Bank Negara Malaysia pula harus lebih giat dan agresif dalam menyusun strategi memberi kefahaman serta kesedaran yang tinggi kepada golongan remaja dan dewasa agar bijak mengatur perbelanjaan seharian serta pengurusan kewangan yang baik.
Kegiatan meminjam dari ah long pula harus dipantau dan dikekang secara agresif lantaran penganiayaan kepada peminjam yang membayar lewat atau tidak membayar semula pembiayaan dan dikenakan kadar bunga yang tinggi. Kelulusan berniaga di atas nama peminjam wang berlesen dan akta berkaitan harus dikaji semula kerana ia tampak goyah dari aspek undang-undang dan pelaksanaan jika dibandingkan dengan asas perniagaan, mandat, undang-undang dan akta yang harus dipatuhi oleh sesebuah organisasi bank.
Bagi masyarakat di luar sana, fikirkanlah alternatif terbaik apabila anda harus meminjam atau terpaksa meminjam. Pastikan ia adalah benar-benar diperlukan bagi tujuan tertentu, bermanfaat, menguntungkan, tidak membebankan serta yang paling penting ansuran bulanan mampu dibayar balik selain memastikan kedudukan kewangan kukuh dan aspek-aspek persediaan diwaktu kecemasan diambil kira.
Melanggan produk Ar-Rahnu seperti perkhidmatan yang disediakan Bank Rakyat, AgroBank, Ar-Rahnu YAPEIM adalah suatu yang dilihat positif dari aspek pengurusan kewangan yang baik. Ini kerana pelanggan diberikan pembiayaan di antara 65 hingga 70 peratus daripada nilai marhun ataupun lebih dikenali sebagai nilai gadaian.
Tempoh bayaran balik pula adalah selama enam bulan dengan kadar upah simpan yang rendah dan berpatutan. Konsep pembiayaan Ar-Rahnu jelas lebih kompetitif bagi seseorang individu kerana meminjam pada kadar kemampuan status ataupun kedudukan kewangannya.
Ini kerana, peminjam menggadai emas pada harga semasa iaitu aset berharga bagi seseorang pelanggan yang dimilikinya. Bagi seseorang peniaga yang memerlukan suntikan modal awal atau modal pusingan berniaga semasa bulan Ramadan dan Hari Raya, pembiayaan ini boleh dibayar balik atau gadaiannya boleh ditebus balik dengan keuntungan yang diperolehi hasil perniagaan. Nyata ia lebih selamat dan efisien apabila kita bijak menguruskan kewangan dan mencari alternatif bersesuaian di waktu kita memerlukan.
Oleh yang demikian, meminjam atau tidak, dari siapa dan untuk apa, tepuk dada tanyalah selera. Beraya biarlah berpatutan, bergaya biarlah sepadan. Perancangan masa hadapan lebih perlu diutamakan berbanding dengan keseronokan Hari Raya yang setiap tahun diraikan.

Oleh MOHD ISMAIL MOHD. NOR
PENULIS ialah Eksekutif Komunikasi Korporat
Bank Rakyat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan