Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Isnin, 6 Ogos 2012

Sekadar Renungan......Al-Quran obor hidup manusia


TURUNNYA wahyu pertama pada malam 17 Ramadan bermakna bermulalah panduan mutlak dari Allah SWT untuk membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan. Melalui perantaraan Nabi Muhammad SAW, Allah SWT sebelumnya membersihkan hati baginda lalu meniupkan roh agama dengan meletakkan kalimah 'Bacalah' sebagai asas untuk membuka minda dan seluruh jiwa umat Islam.
Pada malam menerima wahyu pertama itu, Rasullullah SAW sedang beribadat di Gua Hira' bagi mencari penyelesaian malapetaka yang sedang dihadapi oleh umat Islam, yakni serangan dan tohmahan daripada kaumnya sendiri, iaitu bangsa Quraisy yang masih tebal dengan nilai-nilai jahiliyah.
Setiap kali tibanya tarikh itu, umat Islam yang sedang mengerjakan perintah Allah SWT iaitu berpuasa sepanjang bulan Ramadan memperingatinya sebagai titik permulaan yang besar kerana ia merupakan peristiwa agung, peristiwa yang membuka pintu kepada arahan-arahan dan peringatan dalam menentukan hala tuju hidup, hakikat beribadat, menata budaya dan merintis jalan menuju kebenaran.
Al-Quran yang diturunkan secara berperingkat-ringkat membawa panduan kepada umat Islam untuk membuat sesuatu keputusan berhubung permasalahan kehidupan dan keummatan selain kejernihan dimensi beribadat selaras dengan erti Islam itu sendiri, iaitu cara hidup yang berbekalkan prinsip penyerahan kepada keesaan Allah SWT dan berada dalam jemaah yang sama-sama meniti keberkatan setiap usaha dan tindakan.


Misi al-Quran sebagai rahmatan lil-'Alamin mengajarkan setiap hati dan jiwa orang Islam untuk hidup dengan sifat kelembutan dan kebaikan. Menerusi nilai-nilai kelembutan dan kebaikan itulah merintis dimensi kerahmatan, termasuk untuk diri sendiri, keluarga dan orang lain. Untuk diri sendiri, al-Quran mengingatkan setiap orang betapa pun cerdik pemikiran yang dimiliki, ia tetap merupakan sifat sementara dan atas limpah kurnia-Nya.
Dalam meraih keberkatan untuk diri sendiri, setiap orang Islam wajib mempertingkatkan rasa dan tanggungjawab keimanannya dalam kerangka 'hidup dan mati ditentukan oleh Allah SWT'. Seluruh proses penyerahan diri itu memberikan makna keluhuran jiwa sehingga yakin setiap apa yang berlaku mempunyai kaitannya dengan restu Allah SWT, maka itulah manusia memerihalkan kekurangan diri, manusia hanya boleh merancang Allah SWT yang menentukannya.
Landasan keimanan itu perlu dibina menerusi ritual berterusan dan diulang-ulangi setiap masa. Misalnya, apabila tiba masanya mendirikan solat, umat Islam akan memulakan peribadatan itu dengan meletakkan diri sebagai hamba manakala Allah SWT sebagai 'tuan' yang berhak disembah atas kebesaran-Nya yang tidak boleh ditandingi semua makhluk dan ikon yang digambarkan sebagai perkasa, hebat dan kuat. Kekuatan yang ada pada makhluk itu tidak boleh menyaingi kekuatan Allah SWT sampai bila-bila pun.
Setelah membina keimanan dalam diri, manusia dipertanggungjawabkan pula untuk memenuhi keperluan orang lain. Manusia yang tidak memberikan perhatian kepada manusia lain pada hakikatnya ia tidak mampu mencapai sifat rahmat, kerana dalam dirinya tidak mempunyai kelembutan, kasih sayang dan kehalusan hatinya yang dapat dikongsikan bersama.
Menurut Quraish Shihab, "Rahmat yang menghiasi diri seseorang, tidak luput dari rasa pedih yang dialami oleh jiwa pemiliknya. Rasa itulah yang mendorongnya untuk mencurahkan rahmat kepada yang dirahmati. Rahmat dalam pengertian demikian adalah rahmat makhluk, Allah SWT tidak sedemikian."(Membumikan al-Qur'an Jilid 2: Memfungsikan Wahyu dalam Kehidupan, 2011 halaman 252).
Begitu juga dengan pengertian puasa kerana ia bukan sebagaimana difahami oleh segelintir manusia sekadar tidak mengambil makanan dan minuman dalam tempoh tertentu, yakni dari permulaan fajar hinggalah ke peralihan hari siang kepada malam (Maghrib). Puasa meliputi dimensi yang lebih besar dan menyeluruh kerana ia merupakan ibadat yang berusaha memberikan teladan kepada manusia untuk memahami atau mengalami situasi yang dialami oleh orang lain iaitu mereka yang hidup dalam kesusahan.
Syah Waliyyullah ad-Dihlawi seorang mujaddid sekali gus tokoh sufi yang cukup terkenal dalam karyanya Hujjatul Balighah ada menyatakan bahawa puasa itu ibarat penawar bagi racun-racun syaitan; atau semacam pembebasan spiritual dari unsur negatif dan jahat dalam diri manusia. Dengan puasa, terpukullah naluri kebinatangan (al-bahimiyyah) yang mungkin selama ini menguasai seseorang. Puasa sejati melumpuhkan syaitan dan membuka gerbang malakut (hlm. 48-50).
Itulah sebabnya mengapa dalam suatu riwayat disebutkan bahawa mereka yang berjaya sepenuhnya berpuasa dalam bulan Ramadan disertai iman dan kesungguhan, bakal dihapus dosa-dosanya sehingga kembali suci fitri bagaikan bayi baru dilahirkan daripada rahim ibunya.
Rahmat dan kasih sayang kepada semua makhluk itulah yang menuntut setiap muslim memelihara dan mengajak manusia mendekatkan seluruh jiwanya menuju tujuan penciptaan-Nya. Dalam etika Islam, misalnya, tujuan Allah SWT menciptakan binatang ternakan sebagai sumber makanan kepada manusia tetapi manusia tetap dilarang untuk memakannya ketika binatang itu belum mencapai tahap kematangannya.
Bahkan, untuk memakannya manusia diajar bagaimana untuk menghormati binatang itu sebelum boleh disembelih, yakni bukan menerusi jalan penyiksaan sebagaimana dilakukan oleh sesetengah orang hampir menyamai kaedah binatang pemangsa yang turut menjadikan binatang sebagai sumber makanan utama.
Menurut Imam al-Ghazali, setiap aktiviti yang memperoleh rahmat adalah menerusi kasih sayang untuk mengalihkan sikap lengah dengan memberinya nasihat secara lemah lembut, tidak dengan kekerasan, memandang orang berdosa dengan pandangan kasih sayang, bukan dengan gangguan, serta setiap kederhakaan yang terjadi itu tidak disisihkan begitu sahaja.
Secara keseluruhannya al-Quran memandu manusia untuk membudayakan kebajikan dalam seluruh dimensi kehidupan bagi mencapai tahap kerahmatan dari Allah SWT. Prinsip tersebut bukan hanya terhad dilaksanakan ketika Ramadan ia wajib dilaksanakan sepanjang masa. Cuma kerana Ramadan diberikan jolokan sebagai bulan yang dipenuhi amal ibadat, setiap amal kebajikan yang dilakukan diberikan pahala berganda.
Maka, dalam bulan Ramadanlah kita melihat terlalu ramai orang tampil memberikan sumbangan dan lebih ramai pula penerima yang menagih derma sehingga sesekali kita turut menyoal apakah permintaan itu benar-benar diperlukan atau kerana memahami setiap orang Islam lebih murah hati pada bulan ini.
Hakikat permulaan turunnya al-Quran terjadi pada waktu tertentu dan itu hanya terjadi sekali kerana permulaan sesuatu tidak mungkin terjadi berulang-ulang kali, tidaklah menjadi satu masalah yang perlu diperdebatkan. Tetapi, apakah ini bererti bahawa Lailatul Qadr hanya terjadi sekali sahaja iaitu pada permulaannya turunnya al-Quran itu atau malam Qadr terjadi setiap tahun?
Ada ulama yang berpendapat bahawa Lailatul Qadr hanya terjadi sekali itu dan tidak akan ada lagi sesudahnya. Seorang pakar hadis, Ibnu Hajar Al-Asqallani, menyebutkan alasan ulama-ulama itu, antara lain berdasarkan sebuah riwayat yang dinisbahkan kepada Nabi SAW bahawa beliau bersabda tentang Lailatul Qadr, Innaha rufiat (Sesungguhnya malam al-Qadr) telah terangkat) dalam erti sudah tidak akan datang lagi.
Pendapat ini tidak dapat diterima kecuali jika yang dimaksud dengannya adalah hari pertama turunnya al-Quran kerana majoriti ulama berpendapat bahawa setiap tahun terjadi Lailatul Qadr dan bahawa malam tersebut menjadi mulia bukanlah kerana al-Quran turun ketika itu, tetapi malam itu sendiri yang memiliki kemuliaan, kemudian kemuliaannya bertambah akibat turunnya al-Quran.
Seandainya kehadiran Lailatul Qadr hanya ketika turunnya al-Quran pertama kali, nescaya Nabi SAW tidak akan menganjurkan umatnya untuk berusaha mendapatkannya pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, sebagaimana terdapat dalam banyak hadis.
Menurut para ulama ayat terakhir yang diturunkan kepada Rasullullah SAW ialah suarah al-Maidah, ayat 3 yang bermaksud: Pada hari ini Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redai Islam itu agama bagimu. Dengan ayat terakhir itu juga menjadi petunjuk bahawa Islam sudah menjadi satu agama yang serba lengkap, dan kerana itulah seluruh kandungan al-Quran terus dipertahankan kesuciannya sampai bila-bila.
Atas kesempurnaan itulah sepanjang bulan Ramadan setiap umat Islam digalakkan memperbanyakkan bacaan al-Quran sebagai saluran memperbaharui rasa kasih sayang dan tahap keimanan agar seluruh makna cara hidup dan kaedah meraih keberkatan tidak mudah terpesong dengan pelbagai ancaman yang sentiasa mengasak sanubari manusia.
Bulan Ramadan menjadi isyarat untuk kita memperoleh keberkatan secara lebih besar dan menyeluruh kerana seluruh jiwa dan minda kita disaluti dengan nilai-nilai kebajikan, keimanan dan ketundukan kepada perintah-Nya, termasuk mengekang segala jenis nafsu yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kemaksiatan.



Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan