Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Jumaat, 28 September 2012

Tazkirah Jumaat: “PINTU KEREDHAAN”


Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat pada hari akan memperkatakan mengenai tajuk:  PINTU KEREDHAAN”.
Muslimin Yang Berbahagia,
Proses fitrah kejadian manusia tidak dapat menafikan peningkatan usia dari hari ke hari. Sama ada suka ataupun tidak, kita seharusnya menerima hakikat dan kenyataan bahawa setiap yang muda akan berubah menjadi tua apabila sampai masa yang di tetapkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nahl ayat 70:
Maksudnya:Dan Allah yang menciptakan kamu; kemudian Ia mewafatkan kamu; dan ada pula di antara kamu yang dikembalikannya kepada peringkat umur yang lemah sehingga menjadilah ia lupa akan sesuatu yang telah diketahuinya; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.

Namun persoalannya bukan usia yang menjadi pertaruhan kita, akan tetapi amalan dan pengorbanan yang kita lakukan selama ini yang menjadi hasil yang harus di nilai oleh setiap manusia lebih-lebih lagi mereka yang bergelar sebagai seorang anak. Justeru, Islam mendidik umatnya supaya berbakti dan menghormati serta berbuat baik kepada orang tua. Dalam erti kata mentaati mereka, menjaga adab sopan semasa berhadapan dengan mereka, memelihara dan mencurahkan kasih sayang kepada mereka dengan tulus dan ikhlas, malah tidak sekali-kali cuba menyakiti hati mereka, sama ada secara langsung ataupun tidak.
Rasulullah SAW berpesan dan mengingatkan bahawa orang yang tidak menghormati orang tua bukan golongan muslim sebagaimana sabdanya yang bermaksud: “Bukanlah dari golongan kami, sesiapa yang tidak menghormati orang tua kami dan tidak pula mengasihi anak kecil kami. (Riwayat Al-Tabrani). Sehubungan itu, sebagai seorang yang bergelar anak, kita wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada kita dan membalas jasa ibu bapa mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 23-24:
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada keduanya sekalipun perkataan 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia. Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.

Muslimin Yang Berbahagia,
Hari ini, banyak kes penderhakaan zaman moden yang dilakukan oleh generasi muda kepada warga tua. Ada di kalangan mereka diabaikan, dibiar melarat di jalanan, mengemis dan didera. Malah, pernah terjadi anak menyaman orang tuanya sendiri sehingga ke mahkamah serta sanggup membunuh disebabkan tamak kepada wang atau harta. Ramai golongan tua yang terbiar dan tak kurang pula yang dihantar ke rumah-rumah kebajikan, walau pada dasarnya rumah-rumah kebajikan ini hanya disediakan kepada warga tua yang tidak mempunyai waris. Pelakuan sebegini menandakan semakin ramai anak-anak mengabaikan tanggungjawab dan penghormatan terhadap orang tua mereka. Situasi ini menjelaskan kepada kita bahawa kehilangan nilai murni dikalangan generasi muda semakin meruncing dan membimbangkan bukan sahaja di negara kita malah seluruh dunia.
Mengikut statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2012 seramai 2020 orang penghuni telah ditempatkan di rumah-rumah kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dari jumlah tersebut seramai 982 orang (48%) adalah orang Melayu Islam dan 19% dari jumlah kemasukan ke rumah kebajikan adalah kes-kes pengabaian serta dipinggir oleh keluarga sendiri. Manakala 26% berkaitan masalah penjagaan dan 3% berkaitan dengan masalah penderaan. Berdasarkan kepada pemerhatian mimbar ada di kalangan penghuni rumah kebajikan ini mempunyai anak-anak yang berjawatan tinggi, pensyarah, pegawai-pegawai kerajaan, golongan profesional, akan tetapi mereka masih sanggup menghantar ibubapa mereka ke rumah-rumah kebajikan.
Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa membenci kedua ibu-bapa dan mengabaikan kasih sayang kepada mereka akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan merupakan dosa besar. Sebuah Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: Seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian setelah isteri tersebut dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha agar orang-orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutan-hasutannya. (Riwayat Ad Dailami)
          Imam Bukhari meriwayatkan bahawa Abdullah bin Amru bin al-'As RA bertanya Rasulullah SAW. tentang dosa besar. Sabda baginda: Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu-bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.
Renungilah kisah al-Qamah dan ibunya di zaman Rasulullah SAW yang menjadi iktibar kepada kita semua. Seorang pemuda yang berada dalam keadaan nazak. Malangnya, tidak mampu mengucapkan dua kalimah Syahadah, sekalipun telah berulangkali diajar dan dituturkan di telinganya, kerana pada zaman hidupnya banyak perlakuan durhaka yang dilakukan dan tidak mendapat keredhaan seorang ibu.
Apalah gunanya anak-anak berpangkat besar, berjawatan tinggi, memiliki harta yang banyak sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan dosa disebabkan kedurhakaannya kepada kedua orang tuanya. Kita harus sedar bahawa amal soleh yang banyak tidak mencukupi untuk kita mengabaikan tanggungjawab menjaga orang tua. Pastinya hati mereka hancur dan air mata sedih akan menitis berderai bila mereka mengenangkan anak-anak yang di manja dari kecil bagaikan menatang minyak yang penuh, tetapi apabila dewasa dan berjaya, mereka ditinggalkan dan diabaikan.  Janganlah  kita menjadi seorang anak semasa kecil diberi susu, akan tetapi apabila dewasa membalasnya dengan tuba.
Muslimin Yang Berbahagia,
Bersempena dengan 1 Oktober yang telah diisytiharkan sebagai Hari Warga Emas Sedunia, mimbar menyeru kepada para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mengenangkan jasa dan pengorbanan warga ini yang telah banyak berjasa kepada agama, bangsa dan Negara. Adanya Hari Warga Emas ini secara tidak langsung memberi ingatan kepada kita semua bahawa setiap manusia pasti akan melewati usia tua. Justeru, mimbar juga menyeru, marilah sama-sama kita menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap mereka. Sebagai seorang anak menghormati dan berbakti kepada orang tua khususnya kepada kedua ibu bapa akan mewujudkan keluarga bahagia, serta menjadi pemangkin utama ke arah membina masyarakat penyayang. Ingatlah bahawa ketaatan kepada kedua ibu-bapa merupakan pintu keredhaan Allah SWT di dunia ini. Mengakhiri khutbah pada minggu ini, marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Israa ayat 24:
Maksudnya: Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”


sumber:JAKIM












Ahad, 9 September 2012

JEMPUTAN KE RUMAH TERBUKA MBM



 



Sekadar Renungan.......Fahami Jiwa Kemerdekaan

1. Pada pendapat MBM, apakah keistimewaan dan keunikan sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada tahun ini. Adakah ia memenuhi aspirasi golongan belia dan orang muda?

MBM: Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini istimewa kerana ianya disambut dengan penuh kepelbagaian. Linkungan kepelbagaian inilah yang menjadi nadi utama kebanggaan Malaysia yang mana merangkumi sifat Malaysia dalam bentuk budaya, dan tahap pengetahuan serta kepedulian. Aspek-aspek inilah yang mencerminkan tahap pemikiran dan gaya hidup pasca merdeka 55 tahun.  Aspirasi belia adalah kesinambungan proses membangunkan Malaysia, maka dalam konteks kemerdekaan ini ianya adalah memahami ‘jiwa kemerdekaan’ itu sendiri.

2. Sambutan ulang tahun kemerdekaan tahun dilihat banyak menimbulkan kontroversi antaranya tindakan pembangkang yang mempunyai tema kemerdekaan sendiri dan menganjurkan perarakan sendiri di Selangor sehari sebelum Hari Merdeka sebenar. Apakah pendirian MBM dalam perkara ini?

MBM: Hari kemerdekaan merupakan salah satu sambutan peringkat kebangsaan yang diadakan setiap tahun dan meraikan kemerdekaan dan sejarah Malaysia. Ianya sebagai mengingati perjuangan dan status kita sebagai Negara yang sudah bebas dari kolonialisme fizikal. Sebagai rakyat Malaysia, kita bebas memilih cara bagi menggambarkan kecintaan kita kepada Negara malah sifat istimewaMalaysia dalam menerima dan menghormati kepelbagaian merupakan satu keunikan dalam proses ini. Ianya merupakan tradisi hari merdeka yang lazimnya kerajaan akan memilih tema dan konsep sambutan ulang tahun kemerdekaan setiap tahun.

3. Rakyat kita termasuk golongan belia dikatakan kurang semangat patriotik untuk menyambut Hari Kemerdekaan. Mereka seperti tidak ghairah mengibar Jalur Gemilang. Bagaimana kita dapat mengubah mentaliti dan semangat ini supaya menjadi seperti rakyat Indonesia yang bersemangat meraikan ulang tahun kemerdekaan negara mereka.

MBM: Jalur Gemilang merupakan satu dari banyak identiti yang melambangkan wajah Malaysia. Pengibaran Jalur Gemilang merupakan satu simbolik atau lambang kemegahan dan kebanggaan menjadi warga Malaysia dan sebahagian dari penciptaan sejarah. Semangat patriotik dan kenegaraan seseorang turut dapat dizahirkan melalui penglibatan dalam proses pembangunan Negara dalam pelbagai bentuk dan ragam. Julat penglibatan ini termasuklah menjadi sukarela dalam aktiviti kemanusiaan, menyertai marathon atau deklamasi puisi hinggalah kepada berintegriti dan jujur dalam pekerjaan. Kehalusan dalam meneliti dan menilai semangat kenegaraan dan patriotisma ini sewajarnya diberi tumpuan khusus oleh segenap lapisan masyarakat. Dalam proses mendidik inilah, semua aspek positif dan nilai murni perlu diterapkan secara halus supaya dapat menembus ke akar pemikiran dan nurani warga Malaysia. Selain itu, kecintaan kepada sejarah dan warisan negara perlu juga amat perlu ditekankan supaya warga Malaysia dapat menghargai dan tidak menggadai sejarah warisan negara.

4. Isu semasa dan krisis politik tempatan yang tidak berkesudahan dilihat menjadi duri dalam daging kepada Malaysia yang sedang menuju ke arah negara maju menjelang 2020. Sempena kemerdekaan yang ke-55 ini, apakah harapan MBM untuk memastikan Malaysia terus menjadi negara yang aman, harmoni, makmur dan sejahtera untuk didiami warganya?

MBM: Semestinya harapan MBM tiada bezanya dengan seluruh rakyat Malaysia yang lain, agar negara ini dapat menjadi sebuah negara yang mempunyai persekitaran yang kondusif, selamat dan sejahtera untuk didiami. Jika dilihat kepada isu semasa dan politik dalam negara, ianya turut dirasai dan berlaku secara global. Ini menunjukkan rakyat Malaysia cakna dan menyedari akan perkara yang berlaku dalam persekitaran mereka. Pihak berwajib sewajarnya bersifat positif dalam mengendalikan sesuatu isu dan mengamalkan dasar terbuka untuk menerima pandangan dan bukti. Dapat dilihat dalam banyak kajian psikologi, pendekatan positif akan membuahkan hasil yang positif, dan sebaliknya. Dengan pendekatan sebeginilah politik negara dapat berkembang kepada amalan politik sihat dan lebih demokrasi.

5. Secara umum, apakah yang MBM dapat simpulkan mengenai kehendak dan harapan golongan belia Malaysia masa kini, selepas 55 tahun kita merdeka?

MBM: Jika dahulu belia berkehendakkan Tanah Malaya merdeka, atau Malaysia mencapai negara maju, mentaliti kelas pertama. Kehendak dan harapan belia kini tidak banyak bezanya, kami mahukan yang terbaik untuk kelangsungan hidup – yang merupakan asas untuk hidup sebagai manusia. Cuma yang mungkin ada perbezaannya adalah pendekatan perjuangan tersebut, dan sepanjang 55 tahun ini kita telah lihat pendekatan berbeza berdasarkan situasi dan idealisme yang berbeza. Dalam era ledakan maklumat ini dan teknologi ini, adalah amat penting kita masih memiliki sifat kemanusiaan seperti saling menghormati, kerana ia merupakan kunci  kepada ketamadunan manusia itu sendiri. Dengan adanya sifat ini, akan kita jumpa penyelesaian kepada isu yang kita hadapi sehari-harian.

Borak- borak kopi O.............Merdekakan pemikiran


TARIKH 31 Ogos datang lagi. Tahun ini adalah kali ke 55 rakyat negara ini meraikan tarikh keramat yang membawa makna kepada sebuah negara yang merdeka. Tetapi timbul persoalan, sejauh manakah makna kemerdekaan ini dihayati dan dipraktis dalam kehidupan? Ada pihak menganggap semakin panjang usia kemerdekaan akan semakin nipis perasaan kebangsaan yang dulunya berkobar-kobar untuk mencapai kemerdekaan. Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, KHAIRUNNISA SULAIMAN, tokoh sastera dan ahli akademik, PROFESOR MADYA DR. LIM SWEE TIN berkata, nipisnya perasaan kebangsaan ini akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara.
Beliau melihat peri pentingnya perasaan kebangsaan ini dijadikan kerangka untuk berkerjasama membangunkan negara ini.
MINGGUAN: Apakah signifikannya ulang tahun kemerdekaan dalam konteks negara ini?
DR. LIM SWEE TIN: Bagi saya sambutan ulang tahun kemerdekaan adalah satu masa yang terbaik bagi kita menanam apa yang saya namakan pemikiran nasionalisme. Mungkin orang jarang menggunakan istilah pemikiran nasionalisme. Salah satu sebabnya mungkin kefahaman terhadap perasaan kebangsaan itu agak longgar.
Nipisnya perasaan kebangsaan ini akan akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara. Inilah hakikat yang kita terpaksa terima apabila situasi kebelakangan ini menggambarkan bahawa perasaan kebangsaan kita tidak cukup kuat. Perasaan kebangsaan seharusnya sangat kuat yang dicerminkan dalam segala konteks dan keadaan.
Sejauh manakah pentingnya perasaan kebangsaan dalam konteks hari kebangsaan negara ini?
DR. LIM SWEE TIN: Kuatnya perasaan kebangsaan ini akan menjadi kerangka sebenarnya, buka lagi acuan. Ia adalah kerangka dalam hubungan kita bekerja untuk negara. Ia meliputi soal kemajuan, pembangunan, termasuklah kesejahteraan bersama yang kita perjuangkan sejak terlepas dari belenggu penjajahan Inggeris 55 tahun yang lampau. Sekiranya kita telah berada pada tahap ini pada hemat saya, kita sudah boleh dikatakan mempunyai jati diri yang kukuh. Pada tahap inilah kita menjadi rakyat yang bermakna bagi sesebuah negara.
Di manakah duduknya bahasa dan kesusasteraan dalam konteks sebuah negara yang merdeka?
DR. LIM SWEE TIN: Pada hemat, seandainya kita tidak memuliakan satu bahasa penyatuan kita yang tunggal iaitu bahasa Melayu, tidak adalah erti merdeka. Saya sentiasa menekankan peri pentingnya secara berterus-terusan diingatkan, disebarkan dan diperkasakan semangat menyayangi bahasa yang tunggal ini tanpa kira kaum, bangsa atau etnik. Inilah satu-satunya wahana kita untuk saling memahami, saling menyalurkan aspirasi hidup dan saling mengembangkan minda ke arah mencapai satu bentuk pemikiran yang sama dari segi menyatakan hasrat, keyakinan dan kepercayaan yang terunggul untuk masyarakat, bangsa dan negara. Semua ini melalui jambatan bahasa Melayu.
Setiap rakyat harus tahu dan menyedari bahawa sejak awal kemerdekaan bahasa inilah yang sudah diasaskan sebagai bahasa penyatuan. Kita tidak mampu untuk berpecah belah atau perasaan syak wasangka atau curiga mencurigai. Sebab itulah saya melihat keinginan kita yang kuat untuk memperkasakan penguasaan bahasa ini dalam setiap diri rakyat diikhtiarkan melalui pelbagai upaya.
Tetapi yang kelihatan masa ini bahasa Melayu tertolak ke belakang dalam persaingan bahasa Inggeris yang dianggap bertaraf global?
DR. LIM SWEE TIN: Saya tidak menafikan sama sekali bahawa ada di sana sini kekangan dan halangan sehingga kita tidak boleh mencapainya 100 peratus kejayaannya. Malah secara peribadi saya kerap kali melahirkan rasa dukacita. Ini kerana selepas 55 tahun merdeka dengan pelbagai usaha yang dilakukan untuk melahirkan rasa memiliki yang terhadap bahasa kebangsaan tetapi masih tercalar di sana sini.
Padahal setiap warganegara yang telah mencapai usia separuh abad di Malaysia memperoleh pendidikan melalui satu sistem pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar yang sama. Pada tahun 1976 apabila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar bermula di sekolah menengah untuk seluruh sistem pendidikan kita sehingga ke peringkat universiti. Pada tahun 1983 pula seluruh pengajian menggunakan bahasa Melayu.
Kenapa kita masih gagal menjadikan bahasa Melayu itu bahasa perpaduan?
DR. LIM SWEE TIN: Saya juga sering tertanya-tanya apakah lagi yang tidak kena apabila bahasa kebangsaan ini diragui peranan dan penggunaannya dalam segala bidang kehidupan. Saya menyeru pada ulang tahun kemerdekaan ini marilah kita sama-sama memikirkan peri bertuahnya kita memiliki satu bahasa yang begitu besar, relevan dalam segala bidang baik sains dan teknologi, bahkan disenaraikan antara empat bahasa terpenting di dunia dari segi bilangan penggunanya. Terimalah dan akuilah bahawa bahasa ini bahasa kita bersama, gunalah dengan penuh kasih demi menjaga kemurniannya dan meletak tinggi kedudukannya.

Apa komen saudara terhadap usaha yang giat dilakukan sebelum dan ketika ini?
DR. LIM SWEE TIN: Saya berasa yakin bahawa usaha-usaha ke arah itu sudah dilakukan tetapi kita memerlukan satu langkah lain yang lebih efektif supaya dapat meninggalkan kesan yang lebih mendalam. Ini yang kita kurang atau dengan bahasa yang jelas mungkin kita gagal sempurnakan. Kesusasteraan boleh membentuk pemikiran, mengubah sikap dan membangunkan minda selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang. Kita tentulah akan dukacita kalau teks-teks sastera kita hanya dibaca oleh anak-anak kita semata-mata atas dasar lulus periksa. Tetapi mereka tidak mampu mengambil intipati pemikiran dan semangat yang diterapkan oleh sasterawan sementelah kita menerima mereka sebagai antara pemikir bangsa.

Sejauh manakah kefahaman terhadap budaya boleh dijadikan jambatan menghubungkan kaum dan etnik di negara pelbagai kaum seperti Malaysia?
DR. LIM SWEE TIN: Kita memerlukan masyarakat yang saling memahami budaya khasnya antara bangsa, kaum dan etnik di Malaysia untuk kita muncul sebagai satu bangsa yang benar-benar kukuh dan bersatu padu. Sekarang kadang-kadang kita terganggu oleh suara-suara sumbang yang pada sesetengah orang disifatkan kecil dan terpinggir akibat daripada ketidakfahaman terhadap budaya amalan kita. Perkara seperti ini tidak sewajarnya terjadi seandainya kita sama-sama memuliakan budaya yang sama-sama kita junjungi. Kefahaman yang mendalam ini secara berterusan sejajar pula dengan Rukun Negara dan aspirasi bangsa kita.
Saya percaya bahawa paduan budaya sastera dan bahasa akan membawa kita ke satu ikatan yang kukuh. Usahlah merasakan bahawa budaya kita sudah lapuk dan usang, ketinggalan dan tidak relevan dengan zaman yang serba diwarnai dengan pengaruh peradaban luar yang setengahnya amat membimbangkan.
Kalau dibandingkan dengan negara lain, apakah yang dapat saudara gambarkan tentang Malaysia?
DR. LIM SWEE TIN: Kita bertuah berada di bumi Malaysia. Ini perlu kita tanamkan kepada anak-anak kita di segenap lapisan. Dari segi alamnya, kita dianugerahkan Tuhan selamat dan bebas daripada sebarang bencana seperti di setengah-setengah negara lain. Kita dianugerahkan negara yang makmur dengan segala hasil mahsul yang cukup. Pertanian dan sumber laut kita adalah nikmat manakala sumber bumi kita seperti petroleum menyumbang kepada kemewahan dan kesenangan hidup kita.
Kita tidak menghadapi sebarang ancaman luar sementara ancaman di peringkat dalaman juga sudah sekian lama kerajaan dan pimpinan kita berupaya lumpuhkan. Kita tahu komunis sudah lama lenyap melalui kebijaksanaan kerajaan dan kegigihan anggota keselamatan. Ia tidak lagi mengganggu lena tidur kita seperti satu ketika. Setiap rakyat mempunyai ruang yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang mereka sukai asal tidak membawa kemudaratan. Suasana politik yang tidak mengganggu kita walaupun sesekali muncul juga isu-isu yang kecil-kecil sehingga memperlihatkan seolah-olah adanya percanggahan.
Tetapi perbezaan pandangan dan pendapat itu berjaya ditangani secara bijaksana. Maka saya percaya kita perlu terus memainkan peranan masing-masing dalam kapasiti yang ada sebaik-baiknya sambil melihat kegemilangan negara terus memercu untuk zaman yang mendatang. utusan ma;

sumber:  utusan malaysia