1. Pada pendapat MBM, apakah keistimewaan dan keunikan sambutan Hari
Kemerdekaan ke-55 pada tahun ini. Adakah ia memenuhi aspirasi golongan
belia dan orang muda?
MBM: Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun
ini istimewa kerana ianya disambut dengan penuh kepelbagaian. Linkungan
kepelbagaian inilah yang menjadi nadi utama kebanggaan Malaysia yang
mana merangkumi sifat Malaysia dalam bentuk budaya, dan tahap
pengetahuan serta kepedulian. Aspek-aspek inilah yang mencerminkan tahap
pemikiran dan gaya hidup pasca merdeka 55 tahun. Aspirasi belia adalah
kesinambungan proses membangunkan Malaysia, maka dalam konteks
kemerdekaan ini ianya adalah memahami ‘jiwa kemerdekaan’ itu sendiri.
2.
Sambutan ulang tahun kemerdekaan tahun dilihat banyak menimbulkan
kontroversi antaranya tindakan pembangkang yang mempunyai tema
kemerdekaan sendiri dan menganjurkan perarakan sendiri di Selangor
sehari sebelum Hari Merdeka sebenar. Apakah pendirian MBM dalam perkara
ini?
MBM: Hari kemerdekaan merupakan salah satu sambutan
peringkat kebangsaan yang diadakan setiap tahun dan meraikan kemerdekaan
dan sejarah Malaysia. Ianya sebagai mengingati perjuangan dan status
kita sebagai Negara yang sudah bebas dari kolonialisme fizikal. Sebagai
rakyat Malaysia, kita bebas memilih cara bagi menggambarkan kecintaan
kita kepada Negara malah sifat istimewaMalaysia dalam menerima dan
menghormati kepelbagaian merupakan satu keunikan dalam proses ini. Ianya
merupakan tradisi hari merdeka yang lazimnya kerajaan akan memilih tema
dan konsep sambutan ulang tahun kemerdekaan setiap tahun.
3.
Rakyat kita termasuk golongan belia dikatakan kurang semangat patriotik
untuk menyambut Hari Kemerdekaan. Mereka seperti tidak ghairah mengibar
Jalur Gemilang. Bagaimana kita dapat mengubah mentaliti dan semangat ini
supaya menjadi seperti rakyat Indonesia yang bersemangat meraikan ulang
tahun kemerdekaan negara mereka.
MBM: Jalur Gemilang merupakan
satu dari banyak identiti yang melambangkan wajah Malaysia. Pengibaran
Jalur Gemilang merupakan satu simbolik atau lambang kemegahan dan
kebanggaan menjadi warga Malaysia dan sebahagian dari penciptaan
sejarah. Semangat patriotik dan kenegaraan seseorang turut dapat
dizahirkan melalui penglibatan dalam proses pembangunan Negara dalam
pelbagai bentuk dan ragam. Julat penglibatan ini termasuklah menjadi
sukarela dalam aktiviti kemanusiaan, menyertai marathon atau deklamasi
puisi hinggalah kepada berintegriti dan jujur dalam pekerjaan. Kehalusan
dalam meneliti dan menilai semangat kenegaraan dan patriotisma ini
sewajarnya diberi tumpuan khusus oleh segenap lapisan masyarakat. Dalam
proses mendidik inilah, semua aspek positif dan nilai murni perlu
diterapkan secara halus supaya dapat menembus ke akar pemikiran dan
nurani warga Malaysia. Selain itu, kecintaan kepada sejarah dan warisan
negara perlu juga amat perlu ditekankan supaya warga Malaysia dapat
menghargai dan tidak menggadai sejarah warisan negara.
4. Isu
semasa dan krisis politik tempatan yang tidak berkesudahan dilihat
menjadi duri dalam daging kepada Malaysia yang sedang menuju ke arah
negara maju menjelang 2020. Sempena kemerdekaan yang ke-55 ini, apakah
harapan MBM untuk memastikan Malaysia terus menjadi negara yang aman,
harmoni, makmur dan sejahtera untuk didiami warganya?
MBM:
Semestinya harapan MBM tiada bezanya dengan seluruh rakyat Malaysia yang
lain, agar negara ini dapat menjadi sebuah negara yang mempunyai
persekitaran yang kondusif, selamat dan sejahtera untuk didiami. Jika
dilihat kepada isu semasa dan politik dalam negara, ianya turut dirasai
dan berlaku secara global. Ini menunjukkan rakyat Malaysia cakna dan
menyedari akan perkara yang berlaku dalam persekitaran mereka. Pihak
berwajib sewajarnya bersifat positif dalam mengendalikan sesuatu isu dan
mengamalkan dasar terbuka untuk menerima pandangan dan bukti. Dapat
dilihat dalam banyak kajian psikologi, pendekatan positif akan
membuahkan hasil yang positif, dan sebaliknya. Dengan pendekatan
sebeginilah politik negara dapat berkembang kepada amalan politik sihat
dan lebih demokrasi.
5. Secara umum, apakah yang MBM dapat
simpulkan mengenai kehendak dan harapan golongan belia Malaysia masa
kini, selepas 55 tahun kita merdeka?
MBM: Jika dahulu belia
berkehendakkan Tanah Malaya merdeka, atau Malaysia mencapai negara maju,
mentaliti kelas pertama. Kehendak dan harapan belia kini tidak banyak
bezanya, kami mahukan yang terbaik untuk kelangsungan hidup – yang
merupakan asas untuk hidup sebagai manusia. Cuma yang mungkin ada
perbezaannya adalah pendekatan perjuangan tersebut, dan sepanjang 55
tahun ini kita telah lihat pendekatan berbeza berdasarkan situasi dan
idealisme yang berbeza. Dalam era ledakan maklumat ini dan teknologi
ini, adalah amat penting kita masih memiliki sifat kemanusiaan seperti
saling menghormati, kerana ia merupakan kunci kepada ketamadunan
manusia itu sendiri. Dengan adanya sifat ini, akan kita jumpa
penyelesaian kepada isu yang kita hadapi sehari-harian.
Ahad, 9 September 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan