Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Ahad, 9 September 2012

Borak- borak kopi O.............Merdekakan pemikiran


TARIKH 31 Ogos datang lagi. Tahun ini adalah kali ke 55 rakyat negara ini meraikan tarikh keramat yang membawa makna kepada sebuah negara yang merdeka. Tetapi timbul persoalan, sejauh manakah makna kemerdekaan ini dihayati dan dipraktis dalam kehidupan? Ada pihak menganggap semakin panjang usia kemerdekaan akan semakin nipis perasaan kebangsaan yang dulunya berkobar-kobar untuk mencapai kemerdekaan. Dalam wawancara dengan wartawan Mingguan Malaysia, KHAIRUNNISA SULAIMAN, tokoh sastera dan ahli akademik, PROFESOR MADYA DR. LIM SWEE TIN berkata, nipisnya perasaan kebangsaan ini akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara.
Beliau melihat peri pentingnya perasaan kebangsaan ini dijadikan kerangka untuk berkerjasama membangunkan negara ini.
MINGGUAN: Apakah signifikannya ulang tahun kemerdekaan dalam konteks negara ini?
DR. LIM SWEE TIN: Bagi saya sambutan ulang tahun kemerdekaan adalah satu masa yang terbaik bagi kita menanam apa yang saya namakan pemikiran nasionalisme. Mungkin orang jarang menggunakan istilah pemikiran nasionalisme. Salah satu sebabnya mungkin kefahaman terhadap perasaan kebangsaan itu agak longgar.
Nipisnya perasaan kebangsaan ini akan akan melahirkan generasi yang rapuh kecintaan kepada negara. Inilah hakikat yang kita terpaksa terima apabila situasi kebelakangan ini menggambarkan bahawa perasaan kebangsaan kita tidak cukup kuat. Perasaan kebangsaan seharusnya sangat kuat yang dicerminkan dalam segala konteks dan keadaan.
Sejauh manakah pentingnya perasaan kebangsaan dalam konteks hari kebangsaan negara ini?
DR. LIM SWEE TIN: Kuatnya perasaan kebangsaan ini akan menjadi kerangka sebenarnya, buka lagi acuan. Ia adalah kerangka dalam hubungan kita bekerja untuk negara. Ia meliputi soal kemajuan, pembangunan, termasuklah kesejahteraan bersama yang kita perjuangkan sejak terlepas dari belenggu penjajahan Inggeris 55 tahun yang lampau. Sekiranya kita telah berada pada tahap ini pada hemat saya, kita sudah boleh dikatakan mempunyai jati diri yang kukuh. Pada tahap inilah kita menjadi rakyat yang bermakna bagi sesebuah negara.
Di manakah duduknya bahasa dan kesusasteraan dalam konteks sebuah negara yang merdeka?
DR. LIM SWEE TIN: Pada hemat, seandainya kita tidak memuliakan satu bahasa penyatuan kita yang tunggal iaitu bahasa Melayu, tidak adalah erti merdeka. Saya sentiasa menekankan peri pentingnya secara berterus-terusan diingatkan, disebarkan dan diperkasakan semangat menyayangi bahasa yang tunggal ini tanpa kira kaum, bangsa atau etnik. Inilah satu-satunya wahana kita untuk saling memahami, saling menyalurkan aspirasi hidup dan saling mengembangkan minda ke arah mencapai satu bentuk pemikiran yang sama dari segi menyatakan hasrat, keyakinan dan kepercayaan yang terunggul untuk masyarakat, bangsa dan negara. Semua ini melalui jambatan bahasa Melayu.
Setiap rakyat harus tahu dan menyedari bahawa sejak awal kemerdekaan bahasa inilah yang sudah diasaskan sebagai bahasa penyatuan. Kita tidak mampu untuk berpecah belah atau perasaan syak wasangka atau curiga mencurigai. Sebab itulah saya melihat keinginan kita yang kuat untuk memperkasakan penguasaan bahasa ini dalam setiap diri rakyat diikhtiarkan melalui pelbagai upaya.
Tetapi yang kelihatan masa ini bahasa Melayu tertolak ke belakang dalam persaingan bahasa Inggeris yang dianggap bertaraf global?
DR. LIM SWEE TIN: Saya tidak menafikan sama sekali bahawa ada di sana sini kekangan dan halangan sehingga kita tidak boleh mencapainya 100 peratus kejayaannya. Malah secara peribadi saya kerap kali melahirkan rasa dukacita. Ini kerana selepas 55 tahun merdeka dengan pelbagai usaha yang dilakukan untuk melahirkan rasa memiliki yang terhadap bahasa kebangsaan tetapi masih tercalar di sana sini.
Padahal setiap warganegara yang telah mencapai usia separuh abad di Malaysia memperoleh pendidikan melalui satu sistem pendidikan yang menggunakan bahasa pengantar yang sama. Pada tahun 1976 apabila Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar bermula di sekolah menengah untuk seluruh sistem pendidikan kita sehingga ke peringkat universiti. Pada tahun 1983 pula seluruh pengajian menggunakan bahasa Melayu.
Kenapa kita masih gagal menjadikan bahasa Melayu itu bahasa perpaduan?
DR. LIM SWEE TIN: Saya juga sering tertanya-tanya apakah lagi yang tidak kena apabila bahasa kebangsaan ini diragui peranan dan penggunaannya dalam segala bidang kehidupan. Saya menyeru pada ulang tahun kemerdekaan ini marilah kita sama-sama memikirkan peri bertuahnya kita memiliki satu bahasa yang begitu besar, relevan dalam segala bidang baik sains dan teknologi, bahkan disenaraikan antara empat bahasa terpenting di dunia dari segi bilangan penggunanya. Terimalah dan akuilah bahawa bahasa ini bahasa kita bersama, gunalah dengan penuh kasih demi menjaga kemurniannya dan meletak tinggi kedudukannya.

Apa komen saudara terhadap usaha yang giat dilakukan sebelum dan ketika ini?
DR. LIM SWEE TIN: Saya berasa yakin bahawa usaha-usaha ke arah itu sudah dilakukan tetapi kita memerlukan satu langkah lain yang lebih efektif supaya dapat meninggalkan kesan yang lebih mendalam. Ini yang kita kurang atau dengan bahasa yang jelas mungkin kita gagal sempurnakan. Kesusasteraan boleh membentuk pemikiran, mengubah sikap dan membangunkan minda selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang. Kita tentulah akan dukacita kalau teks-teks sastera kita hanya dibaca oleh anak-anak kita semata-mata atas dasar lulus periksa. Tetapi mereka tidak mampu mengambil intipati pemikiran dan semangat yang diterapkan oleh sasterawan sementelah kita menerima mereka sebagai antara pemikir bangsa.

Sejauh manakah kefahaman terhadap budaya boleh dijadikan jambatan menghubungkan kaum dan etnik di negara pelbagai kaum seperti Malaysia?
DR. LIM SWEE TIN: Kita memerlukan masyarakat yang saling memahami budaya khasnya antara bangsa, kaum dan etnik di Malaysia untuk kita muncul sebagai satu bangsa yang benar-benar kukuh dan bersatu padu. Sekarang kadang-kadang kita terganggu oleh suara-suara sumbang yang pada sesetengah orang disifatkan kecil dan terpinggir akibat daripada ketidakfahaman terhadap budaya amalan kita. Perkara seperti ini tidak sewajarnya terjadi seandainya kita sama-sama memuliakan budaya yang sama-sama kita junjungi. Kefahaman yang mendalam ini secara berterusan sejajar pula dengan Rukun Negara dan aspirasi bangsa kita.
Saya percaya bahawa paduan budaya sastera dan bahasa akan membawa kita ke satu ikatan yang kukuh. Usahlah merasakan bahawa budaya kita sudah lapuk dan usang, ketinggalan dan tidak relevan dengan zaman yang serba diwarnai dengan pengaruh peradaban luar yang setengahnya amat membimbangkan.
Kalau dibandingkan dengan negara lain, apakah yang dapat saudara gambarkan tentang Malaysia?
DR. LIM SWEE TIN: Kita bertuah berada di bumi Malaysia. Ini perlu kita tanamkan kepada anak-anak kita di segenap lapisan. Dari segi alamnya, kita dianugerahkan Tuhan selamat dan bebas daripada sebarang bencana seperti di setengah-setengah negara lain. Kita dianugerahkan negara yang makmur dengan segala hasil mahsul yang cukup. Pertanian dan sumber laut kita adalah nikmat manakala sumber bumi kita seperti petroleum menyumbang kepada kemewahan dan kesenangan hidup kita.
Kita tidak menghadapi sebarang ancaman luar sementara ancaman di peringkat dalaman juga sudah sekian lama kerajaan dan pimpinan kita berupaya lumpuhkan. Kita tahu komunis sudah lama lenyap melalui kebijaksanaan kerajaan dan kegigihan anggota keselamatan. Ia tidak lagi mengganggu lena tidur kita seperti satu ketika. Setiap rakyat mempunyai ruang yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang mereka sukai asal tidak membawa kemudaratan. Suasana politik yang tidak mengganggu kita walaupun sesekali muncul juga isu-isu yang kecil-kecil sehingga memperlihatkan seolah-olah adanya percanggahan.
Tetapi perbezaan pandangan dan pendapat itu berjaya ditangani secara bijaksana. Maka saya percaya kita perlu terus memainkan peranan masing-masing dalam kapasiti yang ada sebaik-baiknya sambil melihat kegemilangan negara terus memercu untuk zaman yang mendatang. utusan ma;

sumber:  utusan malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan