Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Jumaat, 5 Oktober 2012

Tazkirah Jumaat.......Tarbiatul Aulad


Dari mimbar Jumaat yang mulia ini, khatib berseru kepada para hadirin sekalian agar kita bersama-sama melazimi taqwa di dalam segenap aspek kehidupan, dengan melaksanakan tuntutan mentaati segala perintah Allah SWT dan menjauhi segala laranganNya. Semoga dengan ketaqwaan yang sebenar kita semua akan beroleh kebahagiaan di dalam kehidupan di dunia ini, disusuli kebahagian sejati di akhirat yang kekal abadi. Mimbar Jumaat hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk "Tarbiatul Aulad”.

Sesungguhnya, kebahagiaan di dunia hanya akan dapat direalisasikan apabila kehidupan kita didampingi oleh anak-anak yang terdidik untuk memahami dan mengamalkan syariat Islam. Anak-anak yang beginilah yang disebut di dalam Al Quran sebagai ’qurratu aa’yun’ (penyejuk mata hati) kita di dunia. Tarbiatul Aulad bermaksud mendidik anak-anak di segenap sudut peribadi dengan didikan yang membentuk jati diri mereka. Ini termasuklah mendidik minda mereka dengan ilmu, jiwa dengan iman dan
akhlak, gaya hidup dengan sistem hidup bersyariat dan cara pergaulan mereka dengan
cara kehidupan bermasyarakat yang Islamik. Anak-anak yang berjaya dididik dengan
tarbiah yang sempurna sebeginilah yang akan menjadi ”Qurratu Aa’yun” sebagaimana
yang pernah dinyatakan di dalam Surah al-Furqan ayat 74 bermaksud:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang
berdoa Dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah Kami beroleh dari isteri-isteri dan
zuriat keturunan kami penyejuk mata hati kami dan jadikanlah kami Imam ikutan bagi
orang-orang yang bertaqwa.”

Namun realiti hari ini mempamerkan betapa insan-insan ’penyejuk mata dan penenang
jiwa’ ini kian lenyap dari kehidupan kita. Pelbagai masalah dan gejala sosial di dalam
masyarakat banyak dicetuskan oleh anak-anak kita. Kecelaruan yang ditimbulkan oleh
mereka khususnya golongan remaja bukan sesuatu yang baru. Di samping ia sesuatu
yang membuktikan kegagalan kita mendidik mereka, ia adalah suatu kebimbangan
yang wajar dipandang serius oleh semua pihak, khususnya ibubapa. Hari demi hari kita
dikejutkan dengan pelbagai jenayah dan salah laku yang melibatkan anak-anak kita.
Jenayah di kalangan remaja meningkat setiap tahun dengan serius. Mereka terbabit
dengan pelbagai kes jenayah termasuk membunuh, merogol, berzina, membuang bayi,
mencuri, pecah rumah, berlumba haram, berjudi dan sebagainya. Semua ini bukan saja
petanda kepada kecelaruan peribadi anak-anak remaja kita hari ini, malahan ia
membuktikan kegagalan kita dalam mendidik mereka. Malah baru-baru ini kita
dikejutkan dengan berita bayi yang baru dilahirkan disumbat dan dipam ke dalam
lubang tandas. Lebih menggemparkan lagi, kezaliman ini disusuli pula dengan kejadian
bayi dicampak hidup-hidup dari tingkat tiga sebuah keiaman di ibu Negara.
Astaghfirullahal ‘Azim…
Inilah situasi sebenar yang sedang membadai dengan hebat rentak hidup remaja natijah ramai remaja menganggap agama tidak lagi penting dalam kehidupan mereka.

Realiti permasalan remaja hari ini perlu ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan berwaspada. Ingatlah anak-anak kita inilah penentu corak bangsa dan negara kita di masa hadapan. Jika tiada usaha membendung dan memperbaiki dilakukan, kita pasti akan melihat kehancuran yang sangat menghinakan pada generasi kita di masa akan datang. Cuba kita bayangkan apakah nasib bangsa kita jika kita gagal membimbing mereka. Apakah yang akan berlaku kepada bangsa kita jika remaja hari ini terus hanyut dalam keruntuhan akhlak ini? Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Berdasarkan kajian yang pernah dibuat, banyak faktor yang mengundang kepada salah laku anak-anak remaja kita. Antaranya ialah :

Pertama: Kegagalan ibu bapa memberikan pendidikan agama sejak di peringkat awal kanak-kanak. Akibatnya mereka memasuki alam remaja tanpa panduan syariat dan akhirnya terjebak dengan maksiat dan kemungkaran.

Kedua : Kegagalan ibu bapa memberikan perhatian dan kasih sayang yang mencukupi kepada anak-anak. Lazimnya anak-anak yang terbiar tanpa perhatian dan pengawasan ibu bapa akan menjadi liar dan mudah dipengaruhi rakan-rakan sebaya lalu terjebak ke dalam pelbagai bentuk gejala sosial.

Ketiga : Pengaruh dari media elektronik dan media massa. Contohnya, rancangan yang berunsur keganasan atau seks akan membentuk remaja yang kasar dan rosak akhlaknya. Media cepat mempengaruhi remaja lalu mereka segera meniru gaya dan budaya yang ditontoni. Inilah agenda Yahudi dan Kristian yang sejak dahulu berusaha gigih menjahanamkan dan mempengaruhi umat Islam dengan budaya liar mereka. Rasulullah SAW telah memberi ingatan kepada kita semua tentang hakikat ini sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari RH daripada Abu Said al-Khudri RA.

Bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan mengikut jejak langkah orang-orang yang terdahulu dari kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggalah jika mereka memasuki lubang biawak sekalipun nescaya kamu akan turut mengikutnya. Kami bertanya; Wahai Rasulallah, adakah yang kamu maksudkan itu orang Yahudi dan Nasrani. Jawab baginda: Siapa lagi? (Jika bukan mereka).” Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Setelah menyedari kealpaan dan kesilapan kita dalam mendidik anak-anak, kita harus bersama dan bekerjasama membimbing semula anak-anak dan membawa mereka keluar dari kemelut ini. Antara tindakan yang perlu dilaksanakan segera ialah :

Pertama: Didik anak-anak dan berikan pendidikan agama sejak di peringkat awal kanak-kanak. Didikan awal inilah faktor paling penting bagi memperteguhkan jati diri anak-anak berhadapan dengan cabaran dunia yang melalaikan.

Kedua : Ibu bapa perlu mendampingi anak-anak dan berperanan sebagai teman juga tempat rujuk mereka. Bimbing dan pandu mereka memahami segala perkara dan permasalahan yang dihadapi. Beri dorongan dan nasihat di saat mereka memerlukan. Di samping itu, perhatikan dan kenal pasti rakan-rakan mereka kerana anak-anak lebih mudah terpengaruh dengan rakan-rakannya itu. Benarlah hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad RH daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda : bermaksud:
“Seseorang itu berada di atas (pengaruh) agama rakannya, maka perhatikanlah setiap kamu dengan siapakah dia bergaul.”

Ketiga : Semua pihak perlu terlibat sama dalam usaha mendidik anak-anak ini. Di samping Ibu bapa perlu kembali berperanan sebagai penaung, pendidik dan teman yang dapat memberi panduan dan kasih sayang, para guru perlu lebih serius dan gigih mendidik akhlak remaja di samping menyampaikan pembelajaran di sekolah. Seluruh anggota masyarakat juga perlu peka dan sentiasa bersedia menegur dengan berhikmah dan membimbing remaja jika mereka tersilap langkah. Bimbing dan doronglah mereka kepada kebaikan sehingga terbentuk jatidiri yang ampuh bagi menghadapi cabaran semasa.

Keempat : Susuli semua usaha tarbiah ini dengan doa kepada Allah SWT agar merestui segala usaha-usaha kita ini. Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Antara kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah: Pertama : Anak-anak adalah amanah agama, bangsa dan negara yang perlu dididik bagi memastikan keutuhan jati diri mereka terpelihara. Kedua : Ibu bapa berperanan besar dalam menjayakan proses Tarbiatul Aulad bagi melahirkan anak-anak yang disebut sebagai Qurratu Aa’yun. Ketiga : Semua pihak perlu bekerjasama dan menyumbang dalam usaha mendidik generasi muda hari ini.
Firman Allah SWT di dalam Surah At-Tahrim ayat 6 :

Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”






sumber: Jawi