Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Selasa, 28 Ogos 2012

Sekadar Renungan............Ketika Hang Tuah bertempur di Pulau Sialu

Myanmar, Malaysia, Singapura dan Brunei ialah bekas tanah jajahan Britain. Vietnam, Kemboja pernah dikuasai Perancis. Indonesia oleh Belanda, dan Filipina pula dijajah Amerika Syarikat.
Maka dari satu segi, Thailand yang ketika datangnya kuasa-kuasa Barat itu berjaya mengelak dirinya daripada dijajah.
Malah semasa Jepun datang untuk menakluki Asia Tenggara, Bangkok tetap mempertahankan kedaulatannya.
Ketika mana Jepun menguasai bekas-bekas tanah jajahan Britain, Perancis, Belanda dan Amerika Syarikat di seluruh Asia Tenggara, Thailand yang dahulunya dikenali sebagai Siam memperoleh wilayah tambahan iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Jepun memberikan negeri-negeri ini kepada Siam memandangkan Bangkok tidak memihak kepada kuasa-kuasa Barat, sebaliknya memberikan kerjasama kepada Tokyo untuk menjadikannya sebagai pangkalan bagi menyerang Burma (kini dikenali Myanmar) dan Tanah Melayu.
Bagi Siam, empat negeri-negeri Melayu itu adalah miliknya sebelum kedatangan Britain ke Asia Tenggara. Bunga emas yang dihantar oleh raja-raja Melayu ke Siam adalah tanda kekuasaannya ke atas negeri-negeri itu. Bagi orang Melayu, bunga emas itu hanyalah hadiah tahunan.
Tetapi bayangkanlah kalau pada hari ini, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu adalah sebahagian daripada Thailand, maka bilangan orang Melayu di negara itu tentu besar. Maknanya ada lapan wilayah Melayu di dalamnya termasuk Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla (Singgora).
Sememangnya sebelum kebangkitan Siam sebagai kuasa besar di Asia Tenggara, kerajaan Melayu yang besar di semenanjung ini ialah Kesultanan Pattani.
Tetapi kerajaan ini kalah dalam peperangan dengan Siam. Askar Siam memang dikenali sebagai lebih kuat dan ganas. Mereka bukan saja dapat mengalahkan Kesultanan Melayu Pattani tetapi juga menakluki kerajaan Khmer di Kemboja dan bertembung dengan orang Vietnam di sebelah timur, dan Burma di sebelah barat.
Bukan itu saja, Siam menganggap keseluruhan semenanjung termasuk Singapura (dahulu dikenali sebagai Temasik) adalah di bawah kedaulatannya.
Wilayah ini dalam bahasa Sanskrit dikenali sebagai Swarnabumi (atau Bumi Emas). Kini ia diabadikan pada nama Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di Bangkok.
Di Temasik, Siam bertembung dengan Majapahit dan berjaya mengalahkannya.
Apabila putera Melayu asal kerajaan Sri Wijaya, Parameswara membunuh Gabenor Siam di Temasik dan menubuhkan kerajaannya di situ dengan restu Majapahit, Siam menghantar kapal untuk memeranginya.
Parameswara kemudian berpindah dan menubuhkan kerajaannya di Melaka, Siam pun menghantar kapal perangnya hendak memusnahkan kerajaan baru ini daripada bertapak di Swarnabumi.
Tentera Siam berkhemah di Minyak Beku, Batu Pahat. Pertempuran berlaku di Pulau Sialu di Muara Sungai Batu Pahat. Askar Melaka di bawah pimpinan Laksamana Hang Tuah berjaya mematah serangan Siam daripada sampai ke Melaka.
Tetapi keadaan ini adalah sementara. Siam lebih berazam untuk memusnahkan kerajaan Melaka. Tentera mereka lebih kuat dan mampu mengalahkan hulubalang-hulubalang Melayu.
Raja Melaka terpaksa fikir cara lain untuk menyelamatkan negara. Kelemahan dari segi ketenteraan perlu diganti dengan strategi geopolitik dan diplomasi.
Hanya Islam mampu menyelamatkan Melaka daripada Siam. India sudah pun dikuasai oleh Islam melalui kerajaan Moghul. China di bawah Dinasti Ming dipengaruhi kuat oleh pembesar-pembesar Islam. Antaranya ialah Laksamana Cheng Ho.
Maka raja dan rakyat Melaka memeluk Islam dan meminta perlindungan daripada China bagi mengelak penaklukan daripada Siam.
Strategi ini berjaya. Maka Siam kehilangan seluruh semenanjung ini kepada kerajaan Melayu.
Namun setelah zaman berlalu, kuasa Islam di China musnah dengan kejatuhan Dinasti Ming, dan kekuatan Melayu lemah dengan kejatuhan Melaka ke tangan Portugis diikuti oleh Belanda, Siam bangkit menguasai kembali wilayah-wilayah Melayu di utara semenanjung.
Apabila Britain dan Perancis datang untuk menguasai Asia Tenggara, Siam terkepung. Di barat dan selatan ada Britain. Di timur ada Perancis.
Tetapi Siam terselamat daripada dijajah kerana kedudukan geopolitiknya. Ia dapat mengadu-dombakan Britain dan Perancis untuk menjadikannya negara penampan dan berkecuali.
Namun ia kehilangan juga wilayah-wilayah di Kemboja dan Laos yang dilepaskan kepada Perancis. Untuk menyelamatkan diri daripada dijajah, ia juga melepaskan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Britain melalui perjanjian Bangkok.
Di bawah Jepun, negeri-negeri ini diserahkan kembali kepada Siam sementara negeri-negeri Melayu yang lain digabungkan dengan Sumatera di bawah satu pentadbiran.
Apabila Britain kembali, ia mengambil balik semua negeri-negeri Melayu dan bersama Melaka serta Pulau Pinang, ia menubuhkan Malayan Union. Kemudian gagasan ini digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Britain kemudian melepaskan Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957.
Thailand menjadi antara negara awal yang mengiktiraf Tanah Melayu.
Bangkok mengiktiraf bahawa Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan adalah dalam kedaulatan Kuala Lumpur. Sementara Kuala Lumpur mengiktiraf negeri-negeri Melayu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla sebagai sebahagian daripada Thailand.
Sejak Malaya merdeka, Bangkok menjadi sahabat baik negara ini.
Mereka membantu usaha Kuala Lumpur melawan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mendapat dokongan China. Bangkok juga menjadi tuan rumah bagi rundingan menamatkan Konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia.
Untuk merapatkan kedua negara, Malaysia dan Thailand merintis sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) yang kini dikenali sebagai Sukan SEA.
Malaysia dan Thailand juga merintis penubuhan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang kemudian dibesarkan menjadi ASEAN.
Siam dan Melaka pernah berperang, tetapi persahabatan Thailand dan Malaysia menjadi asas kepada perdamaian di Asia Tenggara.

utusan malaysia

Isnin, 27 Ogos 2012

Sekadar Renungan...........Rumah terbuka suburkan silaturrahim, lambang keindahan agama Islam

SARANAN agar diberikan potongan cukai pendapatan atas perbelanjaan mengadakan rumah terbuka sempena sesuatu perayaan merupakan pendekatan terbaik dalam memupuk nilai-nilai penyatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Misalnya, sempena rumah terbuka Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet yang diadakan pada hari pertama Aidilfitri dikunjungi hampir 100, 000 orang daripada pelbagai kaum termasuk pemimpin politik, rakyat biasa dan pelancong asing.
Bagi pelancong asing, konsep rumah terbuka yang diamalkan di negara ini adalah unik dan tidak pernah berlaku dalam persekitaran kepimpinan politik di negara mereka. Di Malaysia setiap kali rumah terbuka diadakan oleh pemimpin, kehadiran masyarakat melebihi jangkaan dan ini menjadikan amalan itu sebagai peluang untuk menjalinkan silaturrahim sesama manusia.
Konsep rumah terbuka sempena perayaan Aidilfitri memberikan pengertian betapa Islam itu indah dan tidak mengehadkan kepada penganutnya sahaja untuk meraikannya. Meraikan Aidilfitri dengan mengadakan rumah terbuka bukanlah konsep baru dalam usaha menjalin persefahaman antara agama. Masyarakat Malaysia sudah menerimanya sebagai satu kaedah mengeratkan hubungan sosial yang lebih luas sehingga melampaui sempadan kaum, agama dan budaya.
Meskipun demikian, kerana adanya desakan dalam kepentingan tertentu, tradisi sedemikian kadang-kadang bertukar menjadi medan politik yang akhirnya boleh membunuh semangat keintiman antara kelompok. Ada pihak menggunakan rumah terbuka untuk memperkuatkan semangat politik sempit sehingga sanggup mengkritik dengan beranggapan apa yang dilaksanakan kerajaan semuanya tidak betul. Sepatutnya dengan semangat rumah terbuka ia dapat menjadi forum yang sangat efektif untuk memulai hubungan baik atau memperbaharui hubungan yang retak.
Konsep rumah terbuka di Aidilfitri sebenarnya melambangkan keindahan agama Islam itu sendiri, di samping dapat menarik rahmat dan keberkatan yang datang bersama dengan kunjungan tetamu, jiran tetangga (sekalipun bukan seagama). Kemuliaan dan kesuciannya tidak boleh dicemari dengan motif dan tujuan lain yang boleh menggugatkan keamanan dan kedamaian.
Sesungguhnya kejahatan dan kepalsuan itu pada dasarnya bertentangan dengan fitrah manusia. Oleh kerana Islam itu agama fitrah yang mudah, samhaa' (harmoni), terbuka dan toleransi maka kita menerima gelagat-gelagat tidak sopan itu dengan penuh kesabaran.
Satu hadis daripada Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Bukhari, Tarmizi, Ahmad dan Ibnu Majah. "Seseorang mukmin yang bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahankan suka duka dalam masyarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak hidup bergaul dalam masyarakat umum dan tidak pula pernah menunjukkan kesabaran atas suka dukanya masyarakat itu."
Di negara kita, agama menjadi faktor penyatuan kaum iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa. Perasaan yang melampau tentang perkauman dan agama diredakan oleh semangat tolak ansur, setia kawan ketika menyambut hari raya melalui rumah terbuka.
Agama yang kita warisi sebagai agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu mula digugat peranannya oleh ketandusan ilmu pengetahuan yang sebenar tentang Islam. Kita hendaklah menjalinkan silaturrahim sekalipun dengan mereka yang berlainan agama kerana mereka juga ada beberapa haknya seperti hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaan.
Emosi melampau mengenai keunggulan sesuatu kaum, atau dalam istilah sosiologi dikenali sebagai ethnocentrisme banyak membawa kemudaratan dalam hubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk. Emosi itu membawa kepada pergaduhan dan konflik antara agama sedangkan Islam mementingkan semangat tolak ansur, yakni tidak menghina agama dan kepercayaan orang lain.
Sebagai agama yang membawa mesej perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu adalah perkara utama. Tetapi, kehendak tersebut semakin tergugat oleh kerana kejanggalan ilmu yang hanya bersandarkan risikan ilmiah secara terpisah dalam tradisi rasionaliti barat, menyebabkan masyarakat Islam semakin melihat dirinya terlalu berpihak dan berkelompok.
Melalui silaturrahim, hubungan antara manusia semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain silaturrahim dan tiada kejahatan yang lebih cepat mendatangkan azab Allah selain memutuskan silaturrahim. Begitu juga, tiada yang dapat mengubah takdir selain doa dan tiada yang dapat menambah umur selain kebaikan menjalinkan hubungan silaturrahim. Di sinilah silaturrahim perlu dibudayakan.
Dalam kemeriahan kita mengadakan rumah terbuka Aidilfitri ini adalah sesuatu yang besar ertinya jika kita boleh menjadikan detik sejarah hitam negara sebagai iktibar. Kita jadikan ia sebagai sempadan nilai budaya yang bakal membangunkan semula semangat penyatuan antara masyarakat, kerana nilai budaya yang terkandung melalui perayaan Aidilfitri ialah kemenangan setiap Muslim dalam mengekang hawa nafsu.
Dengan menolak pentafsiran semula sejarah negara berdasarkan pertimbangan hawa nafsu (nafsu politik sempit) itu bermakna kita telah berupaya membebaskan pemikiran kita dari segala bentuk penjajahan minda dan unsur-unsur taghut. Kita boleh jadikan ia sebagai teladan berguna, bagaimana hawa nafsu telah menyebabkan manusia sanggup membunuh, berlaku kejam dan seterusnya bertindak sesuka hati demi sebuah tujuan yang bertentangan dengan etika dan moral kemanusiaan.
Dalam suasana kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri kita seharusnya dapat membuka pintu silaturrahim dengan penuh keakraban, kita jadikan momen-momen sejarah silam sebagai panduan dan bukannya cuba menghidupkan kembali budaya ganas dalam masyarakat sebagaimana dilakukan oleh pendokong ideologi komunis. Sistem komunis yang pernah dipraktikkan di banyak negara sudah lama berubah dan dihapuskan, bahkan China yang dikatakan sebagai pusat komunisme sudah membebaskan peraturan "tertutup menjadi lebih terbuka", maka tidak ada sebab kita harus menghidupkan kembali ideologi yang telah banyak menderitakan kehidupan manusia.
Suasana kemeriahan rumah terbuka dan dalam semangat patriotisme yang turut ada dalam diri kita hendaklah dikekalkan sebagai momentum untuk menjayakan dasar dan cita-cita murni negara. Jangan kita biarkan diri kita menjadi perosak, kerana kita akan dinilai nanti sumbangan sepanjang hidup untuk kepentingan pembangunan kemasyarakatan, keagamaan dan kesejahteraan negara.
Dengan memperbanyakkan rumah terbuka sempena menyambut perayaan Aidilfitri, tentunya akan membantu menghapuskan nilai-nilai negatif yang selama ini disandarkan kepada orang Islam. Bukan Islam akan dapat melihat dan merasai sendiri bahawa Islam sebenarnya sebuah agama yang mementingkan kesejahteraan dan keharmonian setiap manusia, maka di sinilah peluang yang sentiasa terbuka asalkan platform itu tidak digunakan untuk menyuburkan dakyah dan menanamkan rasa kebencian terhadap 'musuh politik'.

DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Borak Borak Kopi O......Berayalah mengikut kemampuan

TERTARIK dengan rencana Utusan Malaysia bertarikh 1 Ogos 2012 yang ditulis oleh saudari Fauziah Arof bertajuk 'Buat pinjaman bank, syarikat kewangan, ah long untuk beraya?', saya terpanggil untuk memberikan pandangan. Meminjam wang dari bank ataupun ah long bagi memenuhi keperluan Hari Raya sewajarnya bukanlah satu tindakan yang tepat dan bijak.
Ini kerana ia akan menambahkan beban dikemudian hari melainkan kita telah meneliti banyak aspek melibatkan pengurusan kewangan yang baik.
Sebaliknya, masyarakat di luar sana harus faham maksud dan matlamat sebenar sambutan Hari Raya Aidilfitri dari konteks agama Islam dan budaya orang Melayu itu sendiri. Menyambut Hari Raya sebenarnya lebih kepada meraikan kemenangan bagi orang yang berpuasa selama sebulan.
Ia ibarat sebuah perjuangan yang besar kerana dituntut untuk berlapar dan dahaga secara fizikalnya malah dari sudut spiritualnya dituntut mendidik diri dengan rasa keikhlasan, keinsafan, pemurah bersabar dan sebagainya.
Jadi meraikan hari kemenangan ini kita tidaklah dituntut untuk terlalu bermewah-mewahan sehingga berbelanja besar untuk membeli pakaian, menghias rumah dan sebagainya.
Selain itu, kita juga dituntut ziarah menziarahi bagi mengeratkan lagi tali silaturrahim sesama kita hatta dengan bangsa yang lain juga. Ia akhirnya akan meningkatkan kekuatan ummah secara tidak langsung keharmonian dalam negara.
Maksud yang tersirat di sebalik meraikan Hari Raya ini lebih ampuh sekiranya kita mampu melihat dari perspektif yang lebih besar dan mendalam.
Justeru, ia sepatutnya dipasak dalam prinsip merayakan Aidilfitri daripada berbelanja besar semata-mata untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk kepada sahabat handai dan rakan taulan.
Strategi sesebuah bank mempromosikan tawaran yang menarik semasa musim perayaan bukanlah satu kesalahan yang besar atau dilihat sebagai suatu yang negatif. Ini kerana ia adalah satu langkah proaktif dan strategi dalam perniagaan bagi memasarkan sesuatu produk.
Mana-mana perniagaan sekalipun, strategi mengiklankan sesuatu produk adalah nadi kepada perniagaan bagi mencapai pelanggan sasaran. Ia bukan mudah dan melibatkan kos yang tinggi.
Bagaimanapun, kebijaksanaan sesuatu institusi kewangan atau organisasi bank khususnya mampu memastikan strategi pengiklanan itu berjaya mahupun tidak. Sayugia, pihak berwajib memainkan peranan penting dalam memastikan kandungan pengiklanan itu tidak tersasar, dan bercanggah dengan norma budaya di Malaysia serta memberikan impak negatif kepada masyarakat.
Peranan sesebuah institusi kewangan atau sebuah bank harus dilihat dari sudut yang positif dalam memainkan peranannya menyediakan kemudahan perbankan khususnya deposit wang tunai dan menyediakan kemudahan pembiayaan wang tunai.
Malah, dari sudut lain ia juga berperanan besar dalam meningkatkan ekonomi sesebuah negara dengan mengembangkan sektor keusahawanan, perniagaan, pertanian, perindustrian, koperasi dan sebagainya.
Apa yang penting di sini, bank tidak harus dipersalahkan hanya semata-mata kerana aspek promosi dan pengiklanan sahaja. Sikap masyarakat di luar sana yang tidak berhemah dalam berbelanja di musim perayaan harus di ambil berat banyak pihak terutamanya kerajaan bagi memastikan keamanan, keharmonian dan masa depan negara terpelihara.
Peranan Kementerian Pelajaran dalam mendidik pelajar di peringkat bangku sekolah berkaitan aspek pendidikan dan perancangan kewangan harus diteliti dan dijadikan silibus wajib alam persekolahan. Manakala Bank Negara Malaysia pula harus lebih giat dan agresif dalam menyusun strategi memberi kefahaman serta kesedaran yang tinggi kepada golongan remaja dan dewasa agar bijak mengatur perbelanjaan seharian serta pengurusan kewangan yang baik.
Kegiatan meminjam dari ah long pula harus dipantau dan dikekang secara agresif lantaran penganiayaan kepada peminjam yang membayar lewat atau tidak membayar semula pembiayaan dan dikenakan kadar bunga yang tinggi. Kelulusan berniaga di atas nama peminjam wang berlesen dan akta berkaitan harus dikaji semula kerana ia tampak goyah dari aspek undang-undang dan pelaksanaan jika dibandingkan dengan asas perniagaan, mandat, undang-undang dan akta yang harus dipatuhi oleh sesebuah organisasi bank.
Bagi masyarakat di luar sana, fikirkanlah alternatif terbaik apabila anda harus meminjam atau terpaksa meminjam. Pastikan ia adalah benar-benar diperlukan bagi tujuan tertentu, bermanfaat, menguntungkan, tidak membebankan serta yang paling penting ansuran bulanan mampu dibayar balik selain memastikan kedudukan kewangan kukuh dan aspek-aspek persediaan diwaktu kecemasan diambil kira.
Melanggan produk Ar-Rahnu seperti perkhidmatan yang disediakan Bank Rakyat, AgroBank, Ar-Rahnu YAPEIM adalah suatu yang dilihat positif dari aspek pengurusan kewangan yang baik. Ini kerana pelanggan diberikan pembiayaan di antara 65 hingga 70 peratus daripada nilai marhun ataupun lebih dikenali sebagai nilai gadaian.
Tempoh bayaran balik pula adalah selama enam bulan dengan kadar upah simpan yang rendah dan berpatutan. Konsep pembiayaan Ar-Rahnu jelas lebih kompetitif bagi seseorang individu kerana meminjam pada kadar kemampuan status ataupun kedudukan kewangannya.
Ini kerana, peminjam menggadai emas pada harga semasa iaitu aset berharga bagi seseorang pelanggan yang dimilikinya. Bagi seseorang peniaga yang memerlukan suntikan modal awal atau modal pusingan berniaga semasa bulan Ramadan dan Hari Raya, pembiayaan ini boleh dibayar balik atau gadaiannya boleh ditebus balik dengan keuntungan yang diperolehi hasil perniagaan. Nyata ia lebih selamat dan efisien apabila kita bijak menguruskan kewangan dan mencari alternatif bersesuaian di waktu kita memerlukan.
Oleh yang demikian, meminjam atau tidak, dari siapa dan untuk apa, tepuk dada tanyalah selera. Beraya biarlah berpatutan, bergaya biarlah sepadan. Perancangan masa hadapan lebih perlu diutamakan berbanding dengan keseronokan Hari Raya yang setiap tahun diraikan.

Oleh MOHD ISMAIL MOHD. NOR
PENULIS ialah Eksekutif Komunikasi Korporat
Bank Rakyat

Isnin, 6 Ogos 2012

Sekadar Renungan......Al-Quran obor hidup manusia


TURUNNYA wahyu pertama pada malam 17 Ramadan bermakna bermulalah panduan mutlak dari Allah SWT untuk membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan. Melalui perantaraan Nabi Muhammad SAW, Allah SWT sebelumnya membersihkan hati baginda lalu meniupkan roh agama dengan meletakkan kalimah 'Bacalah' sebagai asas untuk membuka minda dan seluruh jiwa umat Islam.
Pada malam menerima wahyu pertama itu, Rasullullah SAW sedang beribadat di Gua Hira' bagi mencari penyelesaian malapetaka yang sedang dihadapi oleh umat Islam, yakni serangan dan tohmahan daripada kaumnya sendiri, iaitu bangsa Quraisy yang masih tebal dengan nilai-nilai jahiliyah.
Setiap kali tibanya tarikh itu, umat Islam yang sedang mengerjakan perintah Allah SWT iaitu berpuasa sepanjang bulan Ramadan memperingatinya sebagai titik permulaan yang besar kerana ia merupakan peristiwa agung, peristiwa yang membuka pintu kepada arahan-arahan dan peringatan dalam menentukan hala tuju hidup, hakikat beribadat, menata budaya dan merintis jalan menuju kebenaran.
Al-Quran yang diturunkan secara berperingkat-ringkat membawa panduan kepada umat Islam untuk membuat sesuatu keputusan berhubung permasalahan kehidupan dan keummatan selain kejernihan dimensi beribadat selaras dengan erti Islam itu sendiri, iaitu cara hidup yang berbekalkan prinsip penyerahan kepada keesaan Allah SWT dan berada dalam jemaah yang sama-sama meniti keberkatan setiap usaha dan tindakan.


Misi al-Quran sebagai rahmatan lil-'Alamin mengajarkan setiap hati dan jiwa orang Islam untuk hidup dengan sifat kelembutan dan kebaikan. Menerusi nilai-nilai kelembutan dan kebaikan itulah merintis dimensi kerahmatan, termasuk untuk diri sendiri, keluarga dan orang lain. Untuk diri sendiri, al-Quran mengingatkan setiap orang betapa pun cerdik pemikiran yang dimiliki, ia tetap merupakan sifat sementara dan atas limpah kurnia-Nya.
Dalam meraih keberkatan untuk diri sendiri, setiap orang Islam wajib mempertingkatkan rasa dan tanggungjawab keimanannya dalam kerangka 'hidup dan mati ditentukan oleh Allah SWT'. Seluruh proses penyerahan diri itu memberikan makna keluhuran jiwa sehingga yakin setiap apa yang berlaku mempunyai kaitannya dengan restu Allah SWT, maka itulah manusia memerihalkan kekurangan diri, manusia hanya boleh merancang Allah SWT yang menentukannya.
Landasan keimanan itu perlu dibina menerusi ritual berterusan dan diulang-ulangi setiap masa. Misalnya, apabila tiba masanya mendirikan solat, umat Islam akan memulakan peribadatan itu dengan meletakkan diri sebagai hamba manakala Allah SWT sebagai 'tuan' yang berhak disembah atas kebesaran-Nya yang tidak boleh ditandingi semua makhluk dan ikon yang digambarkan sebagai perkasa, hebat dan kuat. Kekuatan yang ada pada makhluk itu tidak boleh menyaingi kekuatan Allah SWT sampai bila-bila pun.
Setelah membina keimanan dalam diri, manusia dipertanggungjawabkan pula untuk memenuhi keperluan orang lain. Manusia yang tidak memberikan perhatian kepada manusia lain pada hakikatnya ia tidak mampu mencapai sifat rahmat, kerana dalam dirinya tidak mempunyai kelembutan, kasih sayang dan kehalusan hatinya yang dapat dikongsikan bersama.
Menurut Quraish Shihab, "Rahmat yang menghiasi diri seseorang, tidak luput dari rasa pedih yang dialami oleh jiwa pemiliknya. Rasa itulah yang mendorongnya untuk mencurahkan rahmat kepada yang dirahmati. Rahmat dalam pengertian demikian adalah rahmat makhluk, Allah SWT tidak sedemikian."(Membumikan al-Qur'an Jilid 2: Memfungsikan Wahyu dalam Kehidupan, 2011 halaman 252).
Begitu juga dengan pengertian puasa kerana ia bukan sebagaimana difahami oleh segelintir manusia sekadar tidak mengambil makanan dan minuman dalam tempoh tertentu, yakni dari permulaan fajar hinggalah ke peralihan hari siang kepada malam (Maghrib). Puasa meliputi dimensi yang lebih besar dan menyeluruh kerana ia merupakan ibadat yang berusaha memberikan teladan kepada manusia untuk memahami atau mengalami situasi yang dialami oleh orang lain iaitu mereka yang hidup dalam kesusahan.
Syah Waliyyullah ad-Dihlawi seorang mujaddid sekali gus tokoh sufi yang cukup terkenal dalam karyanya Hujjatul Balighah ada menyatakan bahawa puasa itu ibarat penawar bagi racun-racun syaitan; atau semacam pembebasan spiritual dari unsur negatif dan jahat dalam diri manusia. Dengan puasa, terpukullah naluri kebinatangan (al-bahimiyyah) yang mungkin selama ini menguasai seseorang. Puasa sejati melumpuhkan syaitan dan membuka gerbang malakut (hlm. 48-50).
Itulah sebabnya mengapa dalam suatu riwayat disebutkan bahawa mereka yang berjaya sepenuhnya berpuasa dalam bulan Ramadan disertai iman dan kesungguhan, bakal dihapus dosa-dosanya sehingga kembali suci fitri bagaikan bayi baru dilahirkan daripada rahim ibunya.
Rahmat dan kasih sayang kepada semua makhluk itulah yang menuntut setiap muslim memelihara dan mengajak manusia mendekatkan seluruh jiwanya menuju tujuan penciptaan-Nya. Dalam etika Islam, misalnya, tujuan Allah SWT menciptakan binatang ternakan sebagai sumber makanan kepada manusia tetapi manusia tetap dilarang untuk memakannya ketika binatang itu belum mencapai tahap kematangannya.
Bahkan, untuk memakannya manusia diajar bagaimana untuk menghormati binatang itu sebelum boleh disembelih, yakni bukan menerusi jalan penyiksaan sebagaimana dilakukan oleh sesetengah orang hampir menyamai kaedah binatang pemangsa yang turut menjadikan binatang sebagai sumber makanan utama.
Menurut Imam al-Ghazali, setiap aktiviti yang memperoleh rahmat adalah menerusi kasih sayang untuk mengalihkan sikap lengah dengan memberinya nasihat secara lemah lembut, tidak dengan kekerasan, memandang orang berdosa dengan pandangan kasih sayang, bukan dengan gangguan, serta setiap kederhakaan yang terjadi itu tidak disisihkan begitu sahaja.
Secara keseluruhannya al-Quran memandu manusia untuk membudayakan kebajikan dalam seluruh dimensi kehidupan bagi mencapai tahap kerahmatan dari Allah SWT. Prinsip tersebut bukan hanya terhad dilaksanakan ketika Ramadan ia wajib dilaksanakan sepanjang masa. Cuma kerana Ramadan diberikan jolokan sebagai bulan yang dipenuhi amal ibadat, setiap amal kebajikan yang dilakukan diberikan pahala berganda.
Maka, dalam bulan Ramadanlah kita melihat terlalu ramai orang tampil memberikan sumbangan dan lebih ramai pula penerima yang menagih derma sehingga sesekali kita turut menyoal apakah permintaan itu benar-benar diperlukan atau kerana memahami setiap orang Islam lebih murah hati pada bulan ini.
Hakikat permulaan turunnya al-Quran terjadi pada waktu tertentu dan itu hanya terjadi sekali kerana permulaan sesuatu tidak mungkin terjadi berulang-ulang kali, tidaklah menjadi satu masalah yang perlu diperdebatkan. Tetapi, apakah ini bererti bahawa Lailatul Qadr hanya terjadi sekali sahaja iaitu pada permulaannya turunnya al-Quran itu atau malam Qadr terjadi setiap tahun?
Ada ulama yang berpendapat bahawa Lailatul Qadr hanya terjadi sekali itu dan tidak akan ada lagi sesudahnya. Seorang pakar hadis, Ibnu Hajar Al-Asqallani, menyebutkan alasan ulama-ulama itu, antara lain berdasarkan sebuah riwayat yang dinisbahkan kepada Nabi SAW bahawa beliau bersabda tentang Lailatul Qadr, Innaha rufiat (Sesungguhnya malam al-Qadr) telah terangkat) dalam erti sudah tidak akan datang lagi.
Pendapat ini tidak dapat diterima kecuali jika yang dimaksud dengannya adalah hari pertama turunnya al-Quran kerana majoriti ulama berpendapat bahawa setiap tahun terjadi Lailatul Qadr dan bahawa malam tersebut menjadi mulia bukanlah kerana al-Quran turun ketika itu, tetapi malam itu sendiri yang memiliki kemuliaan, kemudian kemuliaannya bertambah akibat turunnya al-Quran.
Seandainya kehadiran Lailatul Qadr hanya ketika turunnya al-Quran pertama kali, nescaya Nabi SAW tidak akan menganjurkan umatnya untuk berusaha mendapatkannya pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, sebagaimana terdapat dalam banyak hadis.
Menurut para ulama ayat terakhir yang diturunkan kepada Rasullullah SAW ialah suarah al-Maidah, ayat 3 yang bermaksud: Pada hari ini Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-redai Islam itu agama bagimu. Dengan ayat terakhir itu juga menjadi petunjuk bahawa Islam sudah menjadi satu agama yang serba lengkap, dan kerana itulah seluruh kandungan al-Quran terus dipertahankan kesuciannya sampai bila-bila.
Atas kesempurnaan itulah sepanjang bulan Ramadan setiap umat Islam digalakkan memperbanyakkan bacaan al-Quran sebagai saluran memperbaharui rasa kasih sayang dan tahap keimanan agar seluruh makna cara hidup dan kaedah meraih keberkatan tidak mudah terpesong dengan pelbagai ancaman yang sentiasa mengasak sanubari manusia.
Bulan Ramadan menjadi isyarat untuk kita memperoleh keberkatan secara lebih besar dan menyeluruh kerana seluruh jiwa dan minda kita disaluti dengan nilai-nilai kebajikan, keimanan dan ketundukan kepada perintah-Nya, termasuk mengekang segala jenis nafsu yang boleh menjerumuskan kita ke lembah kemaksiatan.



Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Ahad, 5 Ogos 2012

Sekadar Renungan....Sejarah Nuzul Al-Quran



Sememangnya sudah menjadi tradisi bagi kita umat Islam, pada setiap tanggal 17 Ramadhan kita akan mengadakan peringatan Nuzul Al-Quran.Bahkan hampir di seluruh negeri-negeri Islam, pemerintahan setempat secara rutin melaksanakan peringatan tersebut setiap tahun, yang sering-kali digabungkan dengan peristiwa Perang Badar Al-Kubra (terjadi pada 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah, ketika umat Islam pertama kali melaksanakan shaum Ramadhan).Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

"Al-Quran" bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata "al-Quran mukjizat akhir zaman" atau "al-Quran yang mempunyai mukjizat". Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:
Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An'am:38)
al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.
Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-Alaq. maksudnya:
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya." (al-alaq:1-5)
LA ILA D BILA DAN BAGAIMANA AL-QURAN DITURUNKAN AN BAGAIMANA AL-QURAN DIT   Terdapat dua pendapat mengikut ahli sejarah, termasuk pendapat para ahli hadis, tentang Al-Quran yang diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw.Pendapat pertama menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan pada malam Isnin tanggal 17 Ramadhan, 13 tahun sebelum hijrah (6 Ogos 610 M). Pendapat kedua pula menyatakan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadhan (13 Ogos 610 M). Pendapat yang pertama adalah berdasarkan ayat 41 dari Surah Al-Anfaal, manakala pendapat kedua dasarnya adalah ayat 1 Surah Al-Qadr dan ayat 1-4 Surah Ad-Dukhan.Walaupun tradisi Nuzul Al-Quran telah lazim diperingati pada tanggal 17 Ramadhan, namun sesungguhnya pendapat kedua adalah lebih kuat dan lebih mungkin benarnya. Ini adalah kerana malam Lailatul Qadar yang dipercayai sebagai malam turunnya Al-Quran bukanlah terjadi pada tanggal 17 Ramadhan.
Adapun dalam firman Allah SWT pada ayat 41 surah Al-Anfaal, yaitu: “jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad saw) pada hari Furqan,iaitu di hari bertemunya dua pasukan (diperang Badar, antara muslimin dan kafirin)” (TTQ 8 : 41) Ayat tersebut tidak ada sangkut-pautnya dengan Nuzul Al-Quran.

Tetapi sebenarnya ayat tersebut merupakan penjelasan tentang hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat tersebut). ” Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, RasulNya, kerabat-kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)” (TTQ 8 : 41).
Dan apabila diteliti dengan lebih lanjut, yakni dengan menghubungkan hadis-hadis tentang turunnya Al-Quran, iaitu pada Lailatul-Qadar dan kelahiran Rasullullah pada hari Isnin serta pada catatan-catatan waktu di dalam takwim, maka akan diperolehi kesimpulan yang lebih tepat, iaitu Al-Quran diturunkan pada hari Isnin, malam 21 bulan Ramadhan, 13 tahun sebelum Rasullulah saw berhijrah ke Madinah.
Menurut para mufassirin, Al-Quran yang diturunkan pada malam “Lailatul Qadar” sebagaimana disebut di atas adalah Al-Quran yang turun sekaligus di “Baitul Izzah” di langit dunia. Sedangkan Al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasullullah sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama sekitar 23 tahun.
Adapun ayat-ayat yang pertama diturunkan (diwahyukan) kepada Nabi Muhammad saw adalah ayat 1-5 surah Al-’Alaq.
Dan peristiwa ini terjadi ketika nabi saw sedang bertahannus (menyendiri) di Gua Hira. Sedangkan ayat Al-Quran yang terakhir sekali diturunkan adalah ayat-ayat riba iaitu ayat 278 sehingga 281 dari surah Al-Baqarah.