Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Selasa, 18 Disember 2012

Lima Fokus Utama Jadi Teras Bajet 2013: DS Zambry



Bajet 2013 yang dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, hari ini memberi penekanan kepada lima fokus utama dalam usaha memakmur dan mensejahterakan rakyat Perak.
Katanya, fokus yang ditekankan ialah menjana aktiviti perniagaan dan memacu ekonomi negeri, membentuk modal insan syumul dan membina generasi berjaya, memperkukuhkan insfrastruktur dan kualiti kemudahan awam, mensejahterakan rakyat dan membina masa depan yang cemerlang.
Di bawah fokus menjana aktiviti perniagaan dan memacu ekonomi, beberapa katogeri industri yang berdaya maju dan berteknologi katanya, akan diberi keutamaan.
Usaha menarik pelaburan pada masa kini antaranya akan tertumpu kepada industri pembuatan komponen dan peralatan penjanaan tenaga, komponen pengangkutan, pemanfaatan sumber asli, besi keluli dan industri halal.
Bagi membentuk modal insan yang syumul dan membina generasi berjaya pula, kerajaan negeri katanya, memperuntukkan RM42 juta untuk sektor pendidikan yang melibatkan penyediaan infrastruktur, peralatan pengajian, bantuan pelajaran, kemudahan pinjaman dan penggunaan teknologi pendidikan.
Bagi fokus ketiga pula, kerajaan negeri kata Zambry menyediakan peruntukan sebanyak RM65 juta untuk Jabatan Kerja Raya (JKR) di mana RM38 juta akan dibelanjakan untuk infrastruktur jalan dan jambatan manakala RM27 juta lagi dibelanjakan untuk projek pembangunan.
Manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapat peruntukan RM14 juta, RM9.8 juta daripadanya digunakan bagi rancangan tebatan banjir dan saliran bandar, RM1.5 juta lagi digunakan untuk projek pengurusan dan pemuliharaan sungai dan bakinya untuk menaiktaraf struktur rancangan pengairan serta pemuliharaan ban pantai dan struktur kawalan hakisan.
Untuk fokus keempat pula iaitu mensejahterakan rakyat, kerajaan negeri kata Zambry, bersetuju menambah peruntukan bantuan am Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM2 juta menjadi RM22.84 juta pada 2013.
“Dengan peruntukan itu, kadar baru bantuan minimum yang diterima sekarang iaitu RM150 seperti yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2012 lalu dapat dikekalkan.
“Program Bantuan Rumah diteruskan lagi pada 2013 dengan peruntukan RM5 juta bagi membantu golongan yang memerlukan dan jumlah sama turut disediakan untuk Program Bantuan Makanan dan dijangka 5,000 keluarga yang tidak berkemampuan akan mendapat manfaat menerusi program ini,” katanya lagi.
Seterusnya, fokus kelima dirangka untuk melahirkan masyarakat yang mempunyai keupayaan menepati keperluan semasa dan dilengkapi dengan nilai murni.
Bagi menyediakan peluang pekerjaan, kerajaan negeri katanya, memperuntukkan RM2.2 juta kepada Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) pada 2013 untuk terus membantu, mencari, menyelaras dan melatih bagi melengkapkan graduan dan pencari kerja meningkatkan peluang mendapat pekerjaan.
Selain itu, sejumlah RM3 juta disediakan untuk melaksanakan program mengantarabangsakan negeri Perak dengan penganjuran seminar, forum dan dialog yang bertaraf antarabangsa seperti World Conference on Islamic Thought dan Pangkor International Dialogue.
Selain bidang keilmuan, program kebudayaan akan diteruskan seperti menganjurkan World Drum Festival, Festival Puisi dan Lagu Rakyat Pangkor dan Fiesta Budaya Perak dan sejumlah RM3 juta diperuntukkan bagi tujuan berkenaan.
Bidang sukan tidak ketinggalan di mana sejumlah RM3 juta diperuntukkan dalam Bajet 2013 bagi menganjurkan pelbagai program sukan bertaraf antarabangsa antaranya Perak International Iron Bound Challenge, International Perak Open dan Jet Ski International Pangkor Challenge.
Bagi perumahan awam rakyat pula, kerajaan Perak pada tahun lalu mengumumkan satu dana berbentuk rolling plan berjumlah RM60 juta bagi penyediaan perumahan rakyat.
Pada tahun 2013, peruntukan RM8 juta disediakan di bawah pelan tersebut dan akan disalurkan melalui Yayasan Bina Upaya bagi menjayakan Skim Rumah Insan Amanjaya.
Bagi program setinggan sifar pula, sejumlah RM1 juta disediakan pada Bajet 2013 untuk kerja ukur tapak Rancangan Penempatan Tersusun di bawah program berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan