Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Selasa, 18 Disember 2012

Perak Bentang Bajet Sejahtera Rakyat



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, sebentar tadi membentangkan Bajet 2013 berjumlah RM948.47 juta dengan defisit diunjurkan sebanyak RM42.86 juta berbanding RM50.14 juta melalui bajet tahun ini.
Semasa membentangkan Bajet 2013 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Ipoh, beliau berkata bajet itu yang digubal atas prinsip dan tema ‘Negeri Sejahtera, Rakyat Terbela’ itu turut menyaksikan peruntukan pembangunan rakyat bertambah kepada RM322 juta juta berbanding RM321 juta pada 2012.
Daripada keseluruhan bajet berjumlah RM948.47 juta itu, sebanyak RM626.27 juta diperuntukkan kepada perbelanjaan mengurus manakala RM322 juta bagi perbelanjaan pembangunan.
Anggaran hasil negeri dijangka berjumlah RM905.61 juta yang berasaskan sumber yang dikenalpasti dan tahap kemampuan kerajaan negeri memperolehinya.
Ketika membentangkan bajet berkenaan di Dewan Undangan Negeri, Zambry berkata, ini bukan kali pertama kerajaan negeri Perak menyediakan bajet defisit.
Malah katanya, semasa kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat, pembangkang juga membentangkan bajet defisit.

“Walaupun di peringkat penyediaan bajet tersebut dijangka mengalami defisit, ia berakhir dengan surplus seperti yang berlaku pada tahun 2008, 2009, 2010 dan 2011.
“Ini bermakna anggaran defisit itu adalah satu bentuk rangsangan pentadbiran supaya berusaha lebih keras bagi meningkatkan sumber hasil kelak,” katanya lagi.
Selain itu, anggaran defisit RM42.86 juta bagi Bajet 2013 berbanding RM50.14 juta pada 2012 adalah kurang daripada enam peratus daripada rizab yang berjumlah RM778.13 juta sehingga 7 Disember lalu.
“Oleh itu, tidak pihak harus sesuka hati menyebar fitnah ke hulu ke hilir mengatakan kerajaan negeri Perak di ambang muflis dan rakyat dikelirukan semata-mata untuk mainan politik murahan,” katanya.
Agihan peruntukan pembangunan katanya membabitkan Jabatan Kerja Raya (RM65 juta), perkhidmatan masyarakat luar (RM67.15 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM14 juta), Jabatan Pertanian (RM8.5 juta), Pejabat SUK (RM20 juta), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM9 juta), Jabatan Perhutanan (RM7.1 juta), Jabatan Agama Islam Perak (RM8.2 juta), Jabatan Kehakiman Syariah (RM4.3 juta) dan pelbagai projek (RM118.95 juta).
Beliau berkata, Bajet 2013 memperuntukkan lebih 50 peratus daripada perbelanjaan pembangunan diagihkan secara langsung kepada program yang mensejahtera dan memakmurkan rakyat.
Agihan ini katanya, adalah berdasarkan kepada prinsip agihan keadilan yang memberi hak kepada semua lapisan masyarakat di serata negeri.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan