Myanmar, Malaysia, Singapura dan Brunei ialah bekas tanah jajahan
Britain. Vietnam, Kemboja pernah dikuasai Perancis. Indonesia oleh
Belanda, dan Filipina pula dijajah Amerika Syarikat.
Maka dari satu segi, Thailand yang ketika datangnya kuasa-kuasa Barat itu berjaya mengelak dirinya daripada dijajah.
Malah semasa Jepun datang untuk menakluki Asia Tenggara, Bangkok tetap mempertahankan kedaulatannya.
Ketika mana Jepun menguasai bekas-bekas tanah jajahan Britain,
Perancis, Belanda dan Amerika Syarikat di seluruh Asia Tenggara,
Thailand yang dahulunya dikenali sebagai Siam memperoleh wilayah
tambahan iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Jepun memberikan negeri-negeri ini kepada Siam memandangkan Bangkok
tidak memihak kepada kuasa-kuasa Barat, sebaliknya memberikan kerjasama
kepada Tokyo untuk menjadikannya sebagai pangkalan bagi menyerang Burma
(kini dikenali Myanmar) dan Tanah Melayu.
Bagi Siam, empat negeri-negeri Melayu itu adalah miliknya sebelum
kedatangan Britain ke Asia Tenggara. Bunga emas yang dihantar oleh
raja-raja Melayu ke Siam adalah tanda kekuasaannya ke atas negeri-negeri
itu. Bagi orang Melayu, bunga emas itu hanyalah hadiah tahunan.
Tetapi bayangkanlah kalau pada hari ini, Kedah, Perlis, Kelantan dan
Terengganu adalah sebahagian daripada Thailand, maka bilangan orang
Melayu di negara itu tentu besar. Maknanya ada lapan wilayah Melayu di
dalamnya termasuk Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla (Singgora).
Sememangnya sebelum kebangkitan Siam sebagai kuasa besar di Asia
Tenggara, kerajaan Melayu yang besar di semenanjung ini ialah Kesultanan
Pattani.
Tetapi kerajaan ini kalah dalam peperangan dengan Siam. Askar Siam
memang dikenali sebagai lebih kuat dan ganas. Mereka bukan saja dapat
mengalahkan Kesultanan Melayu Pattani tetapi juga menakluki kerajaan
Khmer di Kemboja dan bertembung dengan orang Vietnam di sebelah timur,
dan Burma di sebelah barat.
Bukan itu saja, Siam menganggap keseluruhan semenanjung termasuk
Singapura (dahulu dikenali sebagai Temasik) adalah di bawah
kedaulatannya.
Wilayah ini dalam bahasa Sanskrit dikenali sebagai Swarnabumi (atau
Bumi Emas). Kini ia diabadikan pada nama Lapangan Terbang Antarabangsa
Suvarnabhumi di Bangkok.
Di Temasik, Siam bertembung dengan Majapahit dan berjaya mengalahkannya.
Apabila putera Melayu asal kerajaan Sri Wijaya, Parameswara membunuh
Gabenor Siam di Temasik dan menubuhkan kerajaannya di situ dengan restu
Majapahit, Siam menghantar kapal untuk memeranginya.
Parameswara kemudian berpindah dan menubuhkan kerajaannya di Melaka,
Siam pun menghantar kapal perangnya hendak memusnahkan kerajaan baru
ini daripada bertapak di Swarnabumi.
Tentera Siam berkhemah di Minyak Beku, Batu Pahat. Pertempuran
berlaku di Pulau Sialu di Muara Sungai Batu Pahat. Askar Melaka di bawah
pimpinan Laksamana Hang Tuah berjaya mematah serangan Siam daripada
sampai ke Melaka.
Tetapi keadaan ini adalah sementara. Siam lebih berazam untuk
memusnahkan kerajaan Melaka. Tentera mereka lebih kuat dan mampu
mengalahkan hulubalang-hulubalang Melayu.
Raja Melaka terpaksa fikir cara lain untuk menyelamatkan negara.
Kelemahan dari segi ketenteraan perlu diganti dengan strategi geopolitik
dan diplomasi.
Hanya Islam mampu menyelamatkan Melaka daripada Siam. India sudah
pun dikuasai oleh Islam melalui kerajaan Moghul. China di bawah Dinasti
Ming dipengaruhi kuat oleh pembesar-pembesar Islam. Antaranya ialah
Laksamana Cheng Ho.
Maka raja dan rakyat Melaka memeluk Islam dan meminta perlindungan daripada China bagi mengelak penaklukan daripada Siam.
Strategi ini berjaya. Maka Siam kehilangan seluruh semenanjung ini kepada kerajaan Melayu.
Namun setelah zaman berlalu, kuasa Islam di China musnah dengan
kejatuhan Dinasti Ming, dan kekuatan Melayu lemah dengan kejatuhan
Melaka ke tangan Portugis diikuti oleh Belanda, Siam bangkit menguasai
kembali wilayah-wilayah Melayu di utara semenanjung.
Apabila Britain dan Perancis datang untuk menguasai Asia Tenggara,
Siam terkepung. Di barat dan selatan ada Britain. Di timur ada Perancis.
Tetapi Siam terselamat daripada dijajah kerana kedudukan
geopolitiknya. Ia dapat mengadu-dombakan Britain dan Perancis untuk
menjadikannya negara penampan dan berkecuali.
Namun ia kehilangan juga wilayah-wilayah di Kemboja dan Laos yang
dilepaskan kepada Perancis. Untuk menyelamatkan diri daripada dijajah,
ia juga melepaskan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Britain
melalui perjanjian Bangkok.
Di bawah Jepun, negeri-negeri ini diserahkan kembali kepada Siam
sementara negeri-negeri Melayu yang lain digabungkan dengan Sumatera di
bawah satu pentadbiran.
Apabila Britain kembali, ia mengambil balik semua negeri-negeri
Melayu dan bersama Melaka serta Pulau Pinang, ia menubuhkan Malayan
Union. Kemudian gagasan ini digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
Britain kemudian melepaskan Tanah Melayu sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat pada 31 Ogos 1957.
Thailand menjadi antara negara awal yang mengiktiraf Tanah Melayu.
Bangkok mengiktiraf bahawa Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan
adalah dalam kedaulatan Kuala Lumpur. Sementara Kuala Lumpur mengiktiraf
negeri-negeri Melayu Pattani, Narathiwat, Yala dan Songkhla sebagai
sebahagian daripada Thailand.
Sejak Malaya merdeka, Bangkok menjadi sahabat baik negara ini.
Mereka membantu usaha Kuala Lumpur melawan Parti Komunis Malaya (PKM)
yang mendapat dokongan China. Bangkok juga menjadi tuan rumah bagi
rundingan menamatkan Konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia.
Untuk merapatkan kedua negara, Malaysia dan Thailand merintis sukan
Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) yang kini dikenali sebagai Sukan SEA.
Malaysia dan Thailand juga merintis penubuhan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang kemudian dibesarkan menjadi ASEAN.
Siam dan Melaka pernah berperang, tetapi persahabatan Thailand dan Malaysia menjadi asas kepada perdamaian di Asia Tenggara.
utusan malaysia
Selasa, 28 Ogos 2012
Sekadar Renungan............Ketika Hang Tuah bertempur di Pulau Sialu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)



Tiada ulasan:
Catat Ulasan