Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Jumaat, 27 April 2012

Tazkirah Jumaat:Perpecahan Umat Islam


HADIS-hadis terakhir Nabi s.a.w. banyak memaparkan perihal keperihatinan dan kerunsingan baginda terhadap situasi umat Islam pada akhir zaman. Sebab itulah ungkapan ‘umatku” diulang-ulang dan merupakan lafaz kata terakhir Nabi s.a.w. yang didengari isteri baginda Saidatina Aisyah r.a. sebelum diwafatkan oleh Allah.

Demikianlah kuatnya kasih dan sayang Nabi s.a.w. terhadap umat baginda sehinggakan pada saat-saat akhir hayat terus resah memikirkan nasib umat. Antara yang paling dibimbangi Rasulullah s.a.w. sebagaimana diungkapkan dalam banyak hadis ialah senario perpecahan di kalangan umat Islam yang diakibatkan oleh pelbagai aliran pemikiran dan pertentangan pendapat.

Walaupun hakikatnya Islam tidak pernah menolak kepelbagaian pendapat, namun perselisihan yang menimbulkan pertentangan tajam sehingga menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan matlamat ditentang sama sekali.

Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada pertentangan dan perpecahan amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-‘ijab bi al-ra‘yi’ atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak merbahaya yang sedang menjalar dalam urat saraf umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu. 
Sesungguhnya kedatangan Islam kepada umat manusia bertujuan membebaskan mereka daripada kejahilan dan kejumudan kepada pemikiran yang bebas dan merdeka yang dibimbing oleh cahaya wahyu Ilahi. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menegaskan: Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah lalu dia mati, maka dia mati jahiliah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada assabiah atau marah kerana assabiah maka kematiannya adalah jahiliah. (Riwayat Muslim, An-Nasai dan Ibnu Majah).

Perkataan al-Jamaah dalam hadis di atas tidaklah merujuk secara khusus kepada mana-mana parti politik ataupun pertubuhan-pertubuhan tertentu. Sebaliknya mengikut ulama Al-Hindawi dalam bukunya Dirasat Haul al-Jama‘ah wa al-Jama‘at, perkataan al-jamaah sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. merujuk kepada kesepakatan kaum muslimin, para sahabat Nabi s.a.w., para ulama, para pemerintah dan lain-lain.
 
Apa yang turut dipertegaskan dalam hadis di atas ialah penentangan Nabi berkenaan ketaksuban membuta tuli seseorang kepada kelompok yang disertainya. Sebab itulah Al-Sindi dalam kitab Syarh Ibn Majah menerangkan kalimah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) ialah fenomena ketaksuban melampau di kalangan masyarakat yang berhimpun dan menyokong atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil.

Sikap sebeginilah yang Nabi s.a.w. istilahkan sebagai assabiah atau ketaksuban melampau terhadap sesuatu kaum atau kelompok. Hinggakan Nabi secara keras dan tegas menentang sesiapa yang mendokong dan melebarkan faham assabiah yang menyesatkan. Dalam hadis lain disebutkan: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada assabiah, bukan sesiapa yang berperang atas assabiah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas assabiah. (Riwayat Abu Daud).
Istilah assabiah bukanlah bermaksud halangan Islam terhadap semangat cintakan sesuatu kaum atau kelompok. Dalam menjelaskan maksud assabiah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan al-assabiah? Sabda baginda: “Kamu menolong kaummu atas kezaliman”.

Namun apa yang menyedihkan kini, umat Islam rata-rata dihinggapi penyakit assabiah yang menyesatkan. Penyakit assabiah atau ketaksuban kepada kelompok hingga tergamak menyesatkan kelompok yang lain bagaikan fenomena lumrah di mana-mana sahaja termasuklah di dalam negara kita yang tercinta ini.

Gara-gara penyakit inilah maka kita menyaksikan suasana umat yang amat menyayat hati dan meruntun emosi. Gamatnya pertelagahan di kalangan pendokong-pendokong wadah Islam sehingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab utama menyelesaikan pelbagai masalah umat yang melanda kini. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, politiking, adu-domba dan perlumbaan menambah bilangan penyokong pendapat masing-masing.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat ini.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan.\

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.

Khamis, 26 April 2012

Jadilah bangsa cerdik, tidak mudah terpedaya

Sama ada mitos atau hakikatnya, bangsa Yahudi zaman moden ini ternyata cerdik. Banyak pemenang Hadiah Nobel adalah dari kalangan mereka.
Betapa bangsa yang bilangannya kecil tetapi meraih pencapaian tinggi sememangnya suatu fenomena yang menarik untuk dikaji dan difahami.
Tetapi tidaklah pula boleh dikaitkan kecerdikan seseorang itu pada bangsa atau kaumnya. Atau agamanya. Ini kerana takrif sesuatu bangsa, kaum atau agama itu begitu pelbagai hingga ia tidak berkait pula dengan kecerdikan seseorang.
Malah dalam diri seseorang pun, ada kalanya ia cerdik dalam sesuatu perkara, tetapi kurang cerdik dalam perkara lain.
Usaha untuk mengaitkan kecerdikan dengan bangsa menimbulkan fahaman perkauman dan diskriminasi.
Tetapi apakah yang hendak dikatakan terhadap sesuatu bangsa yang majoritinya telah ditipu oleh sekumpulan pemimpinnya hingga membawa dunia kepada kehancuran?
Bangsa yang dimaksudkan di sini ialah Jerman. Bangsa ini juga hebat. Ia telah melahirkan banyak cendekiawan dan saintis yang mengubah dunia, di samping turut memenangi banyak Hadiah Nobel.
Bangsa ini sememangnya cerdik. Sama ada kecerdikannya setara dengan Yahudi atau tidak, maka itu perlukan perbahasan lain.
Tetapi pada tahun 1930-an, ketika naiknya Adolf Hitler, bangsa ini telah menganggap dirinya sebagai golongan unggul, iaitu paling cerdik. Bagi mereka, Yahudi adalah musuh yang perlu dimusnahkan.
Tetapi ternyata dalam tahun 1930-an dan 1940-an, bangsa Jerman telah ditipu oleh Hitler dan parti Nazi. Akibatnya Jerman menjadi bangsa hina yang bukan saja musnah tetapi juga kerana mereka sebuah negara Yahudi iaitu Israel ditubuhkan.
Melihat gelagat orang Jerman dan Yahudi ini kelihatan bahawa mereka bertindak seperti bangsa yang tidak cerdik. Mereka tertipu dan tidak mampu keluar daripada keadaan buruk yang menimpa mereka. Adakah mereka ini bangsa cerdik atau kurang cerdik?
Dari segi pencapaian intelektual dan bidang sains, memang orang Melayu tidak secerdik bangsa Yahudi atau Jerman.
Tetapi melihat nasib yang menimpa orang Melayu pada zaman sewaktu dengan mereka itu, bangsa ini tidaklah tertipu atau terpedaya seperti apa yang dialami oleh orang Jerman dan Yahudi.
Namun begitu, pada zaman ini, setelah negara mencapai kemerdekaan dan kini sedang pesat menuju kedudukan sebagai negara membangun, cuba lihat di sekeliling dan buat pemerhatian sama ada orang Melayu bangsa yang cerdik atau tidak?
Berapa banyak kisah yang dapat dikumpulkan tentang bagaimana orang Melayu ditipu, tertipu dan terpedaya.

Penipuan

Apabila ada segelintir orang Afrika yang datang ke sini melakukan penipuan dalam pelbagai bentuk melalui atas talian, berapa banyak orang Melayu sudah tertipu?
Sememangnya mereka yang menjadi mangsa penipuan ini tidak mengira bangsa, kaum dan agama. Sama ada Merlayu, Cina dan India, banyak di antara mereka juga menjadi mangsa penipuan.
Tentulah apabila ditipu, yang dipersalahkan adalah para pelaku jenayah itu. Tetapi cuba kesalahan itu dialihkan pula kepada mangsa penipuan? Mengapakah mereka tidak boleh cerdik sedikit dan mengelak daripada ditipu?
Mangsa penipuan ini terdiri bukan saja di kalangan orang biasa, tetapi juga cerdik pandai dan profesional.
Malah dalam kerja mereka juga, ada kalanya mereka turut tertipu yang mungkin melibatkan wang yang begitu banyak. Begitu juga apabila majikan menipu pekerja, dan sebaliknya.
Tetapi menjadi mengsa penipuan bukan saja berlaku dalam pekerjaan masing-masing. Dalam masyarakat, kisah pengguna ditipu oleh penjual dan peniaga adalah suatu yang lumrah.
Banyak kejadian penipuan ini tidak pun disedari. Mereka ditipu hidup-hidup. Antaranya ialah membeli barang yang tidak berguna, atau kurang kualiti, atau terpedaya dengan iklan.
Malah dalam perubatan alternatif, terutama secara MLM, atau skim cepat kaya tetapi disembunyikan secara perniagaan. Selama 10, 20 atau 30 tahun kejadian penipuan ini berlaku tanpa henti
Bukan itu saja, berapa banyak keluarga Melayu yang tertipu dengan pembantu rumahnya sendiri. Belum dikira lagi bagaimana keluarga-keluarga Melayu tertipu dengan pekerja-pekerja binaan ubah suai rumah.
Begitu juga keluarga-keluarga Melayu yang tertipu dengan para pemaju perumahan.
Tidakkah orang Melayu boleh cerdik sedikit dan celik terhadap hakikat penipuan ini?
Dalam hubungan peribadi, penipuan juga berlaku. Lelaki menipu perempuan. Begitu juga sebaliknya. Kalaulah cerdik sedikit dan beri prihatin kepada sesuatu perkara, mungkin penipuan ini dapat dikesan dan seseorang itu dapat mengelak diri daripada ditipu.
Atau adakah sifat kebanyakan orang Melayu yang mudah bersangka baik walaupun fakta di depan menunjukkan bahawa sesuatu penipuan sedang berlaku?
Atau orang Melayu kurang memiliki kesedaran sains dan matematik hingga mereka mudah ditipu? Umpamanya amalan khurafat dan ajaran sesat adalah kesemuanya merupakan penipuan.
Cuba tingkatkan perasaan syak wasangka sedidit serta memiliki pemikiran kritis bagi mengelak ditipu?
Dari dahulu dan berterusan sekarang, ada saja orang yang hidup atas penipuan, atau con man.
Antaranya yang berlagak hartawan atau menjadi ahli perniagaan memiliki modal yang banyak tetapi sebenarnya hanya berniaga atas angin.
Bagi mereka yang pernah ditipu dalam urusan perniagaan, terutama yang mengalaminya beberapa kali, mereka akan dapat kesan ciri-ciri para penipu.
Usahlah naif, cuba cuak sedikit dan elaklah daripada ditipu.

sumber: arkib utusan malaysia 22/04/2012

Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Murid & Pelajar Sekolah Daerah Kinta Selatan

Insiden banjir terburuk yang dialami di beberapa kampung dua minggu lalu masih segar dalam ingatan penduduk Kampung Baru,Kuala Dipang Kampar. Sebelum ini, baianjir yang berlaku separas buku lali dan mereka sudah biasa dengan keadaan itu, namun tidak menyangka pada kali ini ia memusnahkan rumah yang dibina lebih 30 tahun lalu.
Bagi meringankan beban penduduk, Majlis Belia Malaysia(MBM) dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Tapah dan Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan menghulurkan bantuan kepada penduduk setempat berupa pakaian sekolah kepada lebih 200 pelajar yang terdiri dari 7 buah sekolah rendah dan 5 buah sekolah menengah.

Rabu, 25 April 2012

Di manakah hala tuju negara?

Dengan demam pilihan raya yang katanya akan diadakan bila-bila masa sahaja, ahli politik dan media massa kerap mengatakan tentang ke mana hala tuju negara. Kalau kita semua berada di dalam dilema ke mana hala tuju negara, adalah penting untuk kita, rakyat Malaysia untuk terus berada di hala tuju yang jelas.
Di dalam masyarakat yang berbilang kaum di mana perbezaan antaranya kerap dilaungkan, berada di hala tuju yang jelas adalah amat penting.
Untuk terus berada di hala tuju yang jelas, ia hendaklah diisi dengan perkara-perkara asas.
Ia hendaklah merangkumi kehendak dan aspirasi rakyat dan komunitinya. Landasan yang jelas di dalam negara ini hendaklah melangkaui semua jenis etnik dan memahami keadaan negara Malaysia secara keseluruhannya. Satu keadaan di mana rakyat Malaysia mudah untuk memahaminya.
Ada empat hala tuju negara yang memenuhi aspirasi ini iaitu Perlembagaan Negara, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan gagasan 1Malaysia.
Keempat-empat ini teramat penting untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira etnik atau pun agama. Keempat-empat perkara ini merupakan kekuatan asas dalam pembinaan negara.
Perlembagaan negara adalah perkara paling utama di antara keempat-empat hala tuju ini. Ia mengiktirafkan akar umbi kemelayuan negara ini melalui perletakan sistem raja berperlembagaan sebagai tunjang utama negara dan perakuan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasminya.
Pada masa yang sama, hak bahasa lain dan agama etnik minoriti tidak diketepikan dan dianggap sebahagian dari keunikan masyarakat Malaysia.
Begitu juga, lima matlamat di dalam Rukun Negara-Masyarakat yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan progresif - yang berpandukan lima prinsip: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada raja dan negara, Keluhuran perlembagaan, Kedaulatan undang-undang dan Kesopanan dan kesusilaan - mudah dihayati oleh rakyat kebanyakan.
Wawasan 2020 dari banyak segi merupakan tambahan kepada Rukun Negara dan mengandungi beberapa cabaran baru seperti masyarakat yang mantap kerohaniannya, masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang mempunyai moral yang tinggi dan beretika sebagai sebahagian dari sembilan perkara cabarannya.
Sekali lagi, ia melangkaui perbezaan budaya dan bangsa. Konsep 1Malaysia juga merupakan satu bentuk idea baru yang inklusif yang dapat diterima oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Membentuk

Bagaimana kesemua empat hala tuju negara ini membentuk masyarakat Malaysia sejak negara kita mencapai kemerdekaan 54 tahun dahulu?
Penilaian yang objektif menunjukkan kerajaan cuba mengikuti kesemua empat hala tuju ini, walaupun ia masih boleh diperbaiki. Keseimbangan kaum yang terdapat di dalam Perlembagaan telah memberi satu penanda aras kepada kejayaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam mencapai keamanan dalam perhubungan etnik.
Namun, ia boleh dipertingkatkan lagi dengan penekanan terhadap konsep dan amalan kewarganegaraan yang sama.
Pencapaian kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan tegar daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 sehingga kepada 3.8 peratus pada tahun 2010 amat membanggakan dari perspektif keadilan dalam Rukun Negara, namun, jurang perbezaan antara kelas atasan dan kelas bawah semakin ketara kebelakangan ini.
Tambahan pula, matlamat-matlamat Rukun Negara jarang diberi keutamaan dalam sukatan pelajaran mahu pun dalam media - perkara yang saya sudah nyatakan sejak 25 tahun lepas.
Umum mengetahui bahawa Wawasan 2020 adalah satu inspirasi untuk mencapai status "masyarakat maju" melalui pendapatan perkapita yang tinggi.
Namun, mencapai masyarakat beretika tinggi adalah sama penting dalam Wawasan 2020. Konsep 1Malaysia mungkin akan memperkukuhkan perasaan cintakan negara, namun ia masih belum menangani cabaran bersifat perkauman yang muncul daripada golongan-golongan tertentu.
Sekiranya ini rekod kerajaan BN, bagaimana pula pandangan pembangkang terhadap hala tuju negara ini? Pihak pembangkang jarang melihat perlembagaan, Rukun Negara, Wawasan 2020 atau gagasan 1Malaysia sebagai perkara asas dalam membentuk perpaduan negara atau membangunkan negara.

Kesalahan

Mereka hanya mencari kesalahan pihak kerajaan jika kerajaan gagal mengotakan janji mereka kepada rakyat berdasarkan prinsip dan nilai empat hala tuju negara tadi.
Tidaklah sukar untuk memahami kenapa Pas tidak merasa komited terhadap hala tuju negara. Mereka hanya komited terhadap negara Islam seperti mana ditafsirkan partinya.
Matlamat ini kurang disenangi oleh 40 peratus bukan muslim di negara ini, walau apa jua definisi negara Islam yang diberikan oleh pimpinan parti itu.
Lagi pun, pengertian dan pentafsiran Pas tentang negara Islam khususnya tentang pelaksanaan syariah, hak minoriti bukan Islam, peranan wanita dalam masyarakat dan sebagainya mungkin tidak dipersetujui oleh sebahagian daripada masyarakat Islam sendiri.
Dalam erti kata lain, matlamat dan hala tuju Pas tidak dapat diterima oleh semua segmen rakyat.
DAP tidak kurang bezanya. Konsep Malaysian Malaysia akan dilihat oleh masyarakat Melayu sebagai percubaan untuk mengubah sejarah dan identiti negara ini.
Sebahagian daripada pendirian parti itu termasuk mahu meletakkan pelajaran dalam bahasa Cina sama taraf dengan pendidikan dalam bahasa kebangsaan menguatkan lagi persepsi ini.
PKR pula lagi mengelirukan. Ia banyak bergantung kepada individu tertentu di dalam parti itu. Dengan gabungan ketiga-tiga parti tersebut yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat, tujuan mereka untuk ke Putrajaya adalah sedikit pelik kerana mereka tidak langsung mempunyai ciri asas persamaan dalam ideologi mereka.
Apa yang menyebabkan mereka bersama apabila DAP terang-terangan menentang idea Pas tentang negara Islam? Apakah daya tarikan antara Pas dan DAP yang berbeza ini? Atau pun, adakah kuasa-nafsu untuk berkuasa-yang menjadi tarikan untuk dua parti politik ini?

DR. CHANDRA MUZAFFAR

Isnin, 23 April 2012

Terapi alge di Sungkai, Perak


SLIM RIVER - "Benda macam lendir dan berwarna hijau ini bagus untuk kulit, selamat dan 100 peratus bebas bahan kimia," ujar Said Saad, seorang petugas veteran dan pemandu pelancong di sebuah taman rekreasi air panas Sungkai, dekat sini.

Mesra dengan panggilan Pak Said, beliau gemar menjelaskan kepada pengunjung tentang alam semula jadi dan kehijauan di sekeliling taman rekreasi yang luas itu, terletak tidak jauh dari laluan keluar tol lebuh raya Utara-Selatan.

Tempat ini lebih dikenali sebagai Felda Residence Hot Springs. Algae yang kelihatan seperti lumut basah dan berwarna hijau pekat itu boleh didapati di dalam sungai air panas yang mengalir di situ.

“Ada air panas di sini kerana terdapat rekahan yang memancutkan air panas dari dalam bumi," jelas Pak Said.

Menurut kajian beberapa ahli sains, algae hidup secara produktif di dalam air yang 'ph’ kurang daripada 6, atau yang berasid.



PENAWAR KULIT

Penulis berada di situ baru-baru ini bersama beberapa rakan pertengahan umur yang mahu mencuba kolam air panas, yang dikatakan boleh membetulkan peredaran
darah dan menyegarkan tubuh badan. Semasa di situ, saya dapati ramai yang turut ke tapak rekreasi yang diselenggara Felda ini untuk mendapatkan algae berwarna hijau pekat itu. Penulis sendiri membawa bekas air panas untuk membawa bekal algae ini pulang ke Lembah Klang.

Ia tidak berbau. Ia perlu disimpan di dalam air panas sementara menunggu untuk digunakan dan hanya tahan disimpan lebih kurang sehari sahaja di dalam termos. Apabila disapukan ke atas kulit tangan, algae itu menjadi kering dan berketul-ketul.

“Sapu ke muka boleh, ke atas tubuh badan pun boleh dan sangat mujarab di tempat-tempat yang berparut, menghilangkan sel-sel kulit yang sudah mati, malah kulit yang disapu akan terasa licin,” jelas Pak Said sambil menunjukkan cara menyapu algae pada tangannya.

Selepas beberapa minit, kulit yang disapu rata dengan rumpai algae itu, dibersihkan dengan air panas semula jadi daripada kolam berdekatan.

“Semasa algae dibiarkan kering di atas kulit, kulit itu terasa tegang. Seolah-olah ia ada fungsi menegangkan kulit pula,” jelas pengunjung taman rekreasi ini, He Je Lai, seorang remaja yang turut mencuba sapuan terus algae dari dalam air panas ke atas kulitnya.

Semasa disapukan, algae itu masih terasa panas dan bila ia dibiarkan di atas kulit, kesannya pula sebaliknya, memang menyejukkan.



RUMPAI ALGAE

Rumpai algae ini merupakan sekumpulan organisma yang ‘taxonomic’ atau tidak mempunyai sebarang hubung kait secara semula jadi di antara organisma-organisma
itu. Ada bahagian rumpai ini yang berupa tumbuhan dan ada juga bahagiannya yang berkait rapat dengan spesies bakteria.

Ini bererti rumpai algae ini tidak mempunyai perkongsian latar belakang sejarah evolusi yang boleh dirujuk sebagai jaringan perkongsian yang besar. Walaupun begitu, kebanyakan algae ini mempunyai beberapa persamaan di dalam klasifikasi struktur yang ringkas, organ persenyawaan yang terdedah dan boleh  menjalani proses fotosintesis dengan penggunaan pelbagai jenis klorofil. Sanggupkah anda membiarkan algae ini disapukan pada kulit muka anda?

“Saya sanggup, tapi saya akan cuba menyapunya ke atas kulit tangan dahulu. Algae itukan di dalam bentuknya yang semula jadi, tanpa bahan pengawet atau unsur kimia yang berbahaya. Apa salahnya kalau boleh merawat kulit secara semula jadi?” kata Rozaini Omar, bila ditanya kesanggupannya menguji kemujaraban algae yang masih belum 100 peratus dikaji secara saintifik ini.

Rumpai ini secara umumnya daripada jenis ‘eukaryotes’ di mana sel-sel algae mempunyai kedua-dua nukleus yang ada membran dan organelle. Menurut rekod kajian ke atas bahan fosil, algae mempunyai sejarah usia melebihi 3 bilion tahun dan algae yang berwarna biru-kehijauan atau nama saintifiknya Cyanobacteria, merupakan organisma hidup yang mengandungi klorofil paling tua.

Spesies organisma ini mengeluarkan paling banyak oksigen untuk bumi, tambahan pula rumpai biru-kehijauan ini mudah didapati di dalam tanah, air laut dan air tawar serta boleh hidup di dalam air yang berbeza-beza suhunya, termasuk di atas ais tebal dan kawasan air panas di Yellowstone, Amerika. Rumpai algae berwarna hijau mempunyai paling banyak spesies yang serupa, sehingga 7 ribu jenis yang boleh hidup di dalam habitat yang pelbagai.



KANDUNGAN ALGAE

Antara nama-nama algae yang terdapat di dalam alat solek atau kosmetik ialah Ulva Lactuca, Ascophyllum, Laminaria Longicruris dan AlarIa Esculenta, antaranya. Beberapa jenis algae turut pernah digunakan sebagai ubat-ubatan, antaranya sebagai  antibiotik, ubat untuk mengurangkan kolestrol dalam darah dan untuk merawat penyakit hipertensi atau darah tinggi, antaranya.

Penulis mengambil algae untuk disapukan pada parut lama di tangan kanan dan setelah beberapa kali menyapu algae dalam urutan membulat atau rotasi, bekas lama pada kulit telah semakin menghilang atau menjadi lebih cerah. Adakah algae ini mempunyai agen pemutih kulit yang semakin menjadi kegilaan ramai wanita hari ini, kerana mereka mahukan penawar yang semula jadi untuk kesihatan kulit mereka? Walaupun khasiat dan kebalikan dipercayai banyak pada rumpai algae ini, namun ia masih belum dapat disahkan secara saintifik.

Beberapa ujian ke atas bahan ini pernah dijalankan dan hasilnya mendapati sesetengah algae mempunyai protein, vitamin A, gula, kanji, vitamin B1 dan zat besi, antara lain. Kebanyakan bahan-bahan ini boleh mendatangkan kebaikan kepada kulit sama ada sebagai emolien atau antioksidan. Manusia hari ini lebih mempercayai kemujaraban bahan asli tanpa olahan kimia, yang sudah semestinya diyakini keselamatannya. Kulit yang cantik mencerminkan keperibadian empunyanya, jadi penjagaan yang rapi untuk mengekalkannya terus menjadi tumpuan ramai. Bahan yang selamat akan menjadi pilihan.

Bagi penulis, pengalaman di kolam air panas itu telah merubah persepsinya terhadap rumpai hijau berlendir ini selamanya.  - Bernama

NGO kini terbuka terhadap kerajaan


PULAU PINANG 22 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kini lebih bersikap terbuka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) berbanding dahulu.
Perdana Menteri berkata, NGO khususnya yang mewakili kaum Cina dan India di negara ini juga dilihat semakin selesa untuk mendekati kerajaan.
"Nada mereka kini lebih terbuka kepada kerajaan BN dan saya sendiri dapat merasainya setiap kali turun padang bertemu mereka.
"Secara umumnya, saya berani mengatakan bahawa mereka turut menyokong Program Transformasi Kerajaan (GTP) ," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan dua pertemuan tertutup dengan pelbagai NGO Cina dan India di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini hari ini.
Turut hadir Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Presiden MIC, Datuk G. Palaniviel.
Najib berkata, walaupun kerajaan mengadakan program untuk mendekati NGO, namun ia tidak bermaksud setiap tuntutan mereka akan dipenuhi begitu sahaja.
"Walaupun tidak dapat selesaikan semua permintaan mereka tetapi sekurang-kurangnya saya mendapat gambaran apa yang penting serta boleh dipertimbangkan oleh kerajaan," katanya.
Sementara itu, pada pertemuan dengan NGO India yang dihadiri lebih 3,000 orang dari 115 pertubuhan, Najib turut menyerahkan kunci rumah kepada 18 penduduk Kampung Buah Pala.
Ketika penyerahan itu, Najib terpaksa menenangkan salah seorang wakil penduduk yang sebak kerana impiannya untuk memiliki rumah sendiri kini menjadi kenyataan setelah diarahkan berpindah dari kampung berkenaan pada 2009.

sumber:utusan malaysia 23/4/12

Borak- borak kopi O........


Ibu Bapa Sebagai Role Model 

Ibu bapa merupakan orang yang paling penting dalam didikan anak-anak mereka. Selain guru di sekolah, ibu bapa memainkan peranan sebagai guru yang dapat memberikan pendidikan kepada anak-anak di rumah secara tidak langsung. Terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil berat oleh seorang ibu bapa untuk mendidik anak-anak mereka agar menjadi anak-anak yang soleh atau solehah dalam pembinaan peribadi muslim.

Ibu bapa perlu mendidik anak-anak mengenal Rabbnya

Salah satu tugas utama ibu bapa adalah mendidik anaknya untuk mengenal Rabb iaitu Allah S.W.T.. Islam menuntut si bapa memperdengarkan azan atau iqamah ke telinga si anak yang baru dilahirkan. Dari saat itulah, bermulanya tugas ibu dan bapa mendidik anak-anak mereka mengenali Allah S.W.T.. Setiap ciptaaan Allah di muka bumi ini sama ada langit, bumi, bintang, matahari dan bulan perlu dijelaskan oleh ibu dan bapa kepada anak-anak mereka. Dengan kata lain, ibu dan bapa perlu memastikan tumbesaran anak-anak mereka perlu sejajar dengan pengenalan kepada PenciptaNya.
Menjadi fitrah semulajadi seorang bayi yang akan terbangun dari tidurnya menjelang subuh hari. Betapa Allah telah menciptakan hambaNya untuk melaksanakan salah satu perintahNya pada waktu subuh. Selain itu, seorang bayi tidak akan selesa dengan kekotoran yang ada pada dirinya. Inilah hakikat kebenaranNya bahawa Allah menjadikan fitrah seorang manusia agar mencintai kebersihan. Namun demikian, masih ramai di antara kita yang tidak menyedari hakikat ini dalam pendidikan terhadap anak- anak.  

Ibu bapa perlu menjadi seorang pendengar yang baik

Setiap anak mahukan ibu bapa mereka menjadi pendengar yang baik kepada mereka. Seperti contoh berikut, di mana seorang ibu yang sedang sibuk mencuci pinggan tiba-tiba didatangi anaknya Marina berumur lima tahun dan memanggilnya,
“Ibu!”. Si ibu menjawab dengan lembut sambil membuat kerjanya.
“Ya, Marina”. Sepuluh minit berlalu dengan senyap.
“Ya, Marina”, jawab ibunya dengan lembut sambil membuat kerja. Sepuluh saat berlalu dengan senyap.
Kedengaran lagi Marina memanggil ibunya “Ibu!’’.
Kali ini ibunya menjawab dengan nada yang sedikit keras, “Ya?”. Tetap tiada juga ucapan yang terkeluar daripada mulut Marina.
“Ibu!”, jerit Marina
“Apa yang Marina mahu ?”, balas ibunya dengan nada yang lebih tinggi menunjukkan kesabarannya diuji.
Marina yang masih lagi tersenyum memandang ibunya menjawab dengan lembut “Saya nampak kupu-kupu dan burung di taman tadi”.
Jauh di sudut hati Puan Normah, perasaan bersalah terhadap anak kesayangannya itu menyelubingi dirinya kerana menjawab panggilan Marina dengan keras tadi. Padahal Marina cuma ingin memberitahu kepadanya tentang kupu-kupu dan burung yang dilihatnya di taman.
Sebenarnya, cara yang terbaik bagi seorang ibu menangani situasi sebegitu adalah dengan menyahut panggilan si anak dengan penuh kasih sayang dan bersedia mendengar apa yang ingin diceritakannya.
Pada keesokan harinya Marina berlari mendapatkan ibunya dan memanggilnya “Ibu!”.
“Ya, ibu dengar”, kata Puan Normah.
“Tetapi ibu tidak memandang saya”, jawab Marina. Puan Normah memandang Marina dan tersenyum kepada anaknya.
“Saya nampak layang-layang tadi”, kata Marina dengan gembira dan berlalu dari situ dengan senyum.
Apabila kita memandang mata seseorang yang lain ketika bercakap dengannya, secara tidak langsung kita memberitahunya bahawa kita mendengar dan menumpukan perhatian terhadap apa yang ingin dikatakannya. Begitulah juga halnya dengan Puan Normah dan anaknya. Seorang anak mahu ibu atau ayahnya memberi tumpuan terhadap apa yang ingin diperkatakannya. Oleh yang demikian, kita seharusnya mempunyai kemahiran sebegini untuk menjadi seorang pendengar yang baik kepada anak-anak kita.

Ibu bapa perlu menjadi contoh yang baik

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk menjadi contoh kepada anak-anak yang sedang membesar terutamanya dalam pendidikan terhadap solat dan pemakaian yang menutup aurat. Anak-anak akan memerhatikan apa yang di lakukan oleh ibu bapa. Sekiranya ibu bapa sentiasa menjaga waktu solat mereka dan sentiasa menutup aurat ketika keluar dari rumah, maka sudah tentu anak-anak akan mudah mengikuti apa yang di lakukan oleh ibu bapanya.

Berkomunikasi dengan bahasa yang sesuai dan lemah lembut
Setiap tutur kata yang dilafazkan oleh ibu bapa akan menjadi ikutan kepada anak-anak. Baik tutur kata ibu bapa, maka baiklah tutur kata si anak itu. Unit bahasa itu mula terbentuk di dalam otak pada peringkat awal tumbesaran kanak-kanak lagi. Oleh itu, ibu bapa perlu bercakap dengan sebutan yang baik dan nada yang lemah lembut. Selain itu, penggunaan bahasa yang betul dan tepat di samping perkataan yang sesuai dengan keadaan dan situasi juga perlu dititikberatkan bagi memudahkan pembelajaran komunikasi anak-anak di rumah.

Pembentukan peribadi kanak-kanak melalui perwatakan ibu bapa

Ibu bapa adalah orang yang terdekat dengan anak-anak. Oleh itu, anak-anak mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang dilihat atau dibuat oleh ibu dan bapa mereka. Pembentukan peribadi kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada dipengaruhi oleh perwatakan ibu bapa. Perwatakan yang baik dapat dicontohi daripada Rasulullah S.A.W. dan juga para sahabat. Rasullah telah menggariskan matlamat utama perutusan Baginda ke muka bumi ini dalam hadisnya yang berbunyi “Hanyasanya saya diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Sebagai contoh, keperibadian seorang sahabat Nabi, Usamah yang menjadi anak angkat Rasullah ketika beliau masih kecil sangat dikagumi ramai. Usamah hidup dalam keluarga Rasulullah yang penuh dengan kasih sayang. Walaupun sibuk dengan tugas-tugas harian, Rasulullah sentiasa meluangkan masanya untuk bermain dengan cucu-cucunya, Hassan dan Hussien. Kasih dan sayang Rasulullah yang dicurahkan kepada cucu-cucunya itu menyamai kasih dan sayangnya kepada Usamah.
Perwatakan Usamah sangat terserlah dengan peribadi yang mulia apabila beliau telah meningkat dewasa. Beliau menjadi seorang yang berani, cerdik dan bijaksana serta tahu menjaga kehormatan dirinya. Ketika beliau berumur 20 tahun, Rasulullah telah melantik Usamah sebagai panglima perang untuk memimpin bala tentera umat Islam tetapi pemergiannya untuk berjihad di jalan Allah tertangguh kerana Rasulullah telah wafat ketika itu. Inilah kesan daripada didikan Rasulullah terhadap Usamah yang bukan daripada keturunan baginda sendiri, namun kasih sayang baginda sebagai seorang bapa angkat tidak pernah terabai.
Ternyata, keperibadian seseorang itu akan terbentuk melalui didikan ibu bapa mereka di rumah. Jika baik perangai ibu dan ayahnya di rumah, maka insyaAllah baiklah perwatakan anak-anaknya. Jika tidak, perkara sebaliknya akan berlaku. Dalam mendidik anak-anak, perkara-perkara seperti mengajak anak-anak beramal, mengajak anak solat pada awal waktu, mengajak anak-anak solat di masjid, mengajak anak-anak berdakwah, mengajak anak-anak mengikut sunnah Nabi dan akhlak baginda S.A.W., dan mengajak anak-anak untuk bersyukur ke atas segala pemberian Illahi perlu dibiasakan dalam kehidupan mereka. Anak-anak diibaratkan seperti sehelai kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab untuk mencorak anak-anak ini menjadi seorang Islam, Majusi atau Nasrani.

Allahua’lam.

Wajib bahasa ketiga di sekolah tambah kemahiran pelajar

MEMILIKI kemahiran tambahan sudah tentunya memberi kita kelebihan dalam bidang diceburi. Tanpa mengira apa profesion diceburinya, seseorang yang memiliki kemahiran tambahan di luar skop tugas atau tanggungjawabnya sudah pasti akan memberinya kelebihan berbanding orang lain. Kemahiran boleh diperoleh dalam pelbagai bentuk dan salah satu ialah penguasaan bahasa. Justeru, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggalakkan rakyat menguasai bahasa ketiga selain bahasa Melayu dan Inggeris, ia mempunyai tujuan sama. Dengan penguasaan bahasa asing yang bukan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris, seseorang kakitangan kerajaan dan swasta, mahupun pelajar sudah tentu mampu memperoleh pencapaian lebih jauh berbanding orang lain. Penguasaan lebih daripada satu bahasa itu meningkatkan keyakinan diri dan menjadikan mereka orang yang berpotensi untuk mencapai kejayaan lebih besar. Selain bahasa Melayu dan Inggeris, antara bahasa dunia yang boleh dipelajari termasuk bahasa Mandarin, Arab, Perancis, Jepun atau Jerman.

Bahasa Mandarin dan Arab bukan saja digunakan oleh komuniti antarabangsa, malah kemahiran bertutur atau menulis kedua-dua bahasa berkenaan boleh memudahkan persaingan untuk mendapatkan pekerjaan dan menceburi perniagaan. Selain itu, penguasaan bahasa Arab akan juga memudahkan umat Islam memahami dan menghayati ayat suci al-Quran. Sudah tentunya seseorang yang boleh menguasai pelbagai bahasa menjadikannya lebih hebat ketika menghadapi persaingan dalam dunia pekerjaan atau perniagaan. Ketika menyarankan perkara itu kelmarin, Perdana Menteri memberi contoh bahawa dua anaknya kini sedang mempelajari Mandarin dan Arab. Seorang daripada mereka yang menuntut di sebuah universiti di Amerika Syarikat turut mengambil satu kertas pilihan, iaitu bahasa Mandarin. Pada cuti semester lalu, anak Perdana Menteri dihantar ke Beijing University of Foreign Studies di China untuk mendalami bahasa Mandarin, manakala seorang lagi mengambil kertas bahasa Arab. Kita yakin bahawa kemampuan mereka menguasai kemahiran bahasa itu akan memperlengkapkan lagi ilmu pengetahuan mereka di samping bidang pengkhususan diambil. Kemahiran untuk berbahasa Inggeris, Arab, Mandarin mahupun bahasa lain dunia bagaimanapun tidak harus menyebabkan kita alpa dengan bahasa Melayu atau memandang remeh terhadap bahasa Melayu. Ia seharusnya menjadi nilai tambah kepada kita, bukan sebaliknya. Kita berharap generasi muda di negara ini akan menyahut cabaran ini dan meningkatkan kemahiran mereka dalam bahasa ketiga seperti Mandarin dan Arab seperti disarankan oleh Perdana Menteri. Mungkin elok rasanya diwajibkan bahasa ketiga pada peringkat sekolah rendah atau menengah bagi membolehkan pelajar mengetahui lebih banyak bahasa dan buat permulaan bolehlah tawarkan bahasa yang ada guru mahir dalam bahasa itu sendiri seperti bahasa Mandarin dan Arab. 

sumber: Berita harian

Jumaat, 20 April 2012

AUKU: Pelajar dibenar pegang jawatan politik, terlibat pilihan raya kampus

KUALA LUMPUR 19 April - Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012 (AUKU) diluluskan selepas dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen malam ini dengan membenarkan para pelajar universiti yang memegang jawatan dalam parti politik, turut dibenarkan terlibat dalam pilihan raya kampus.

Cadangan tersebut telah dikemukakan oleh Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) sebagai wakil daripada penyokong-penyokong kerajaan sebelum rang undang-undang tersebut diluluskan.
Beliau mencadangkan kepada sidang dewan untuk mengeluarkan cadangan seksyen 15 (2)(c) iaitu seseorang pelajar universiti itu tidak boleh bertanding dalam pilihan raya atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar di dalam kampus jika mahasiswa itu memegang jawatan dalam satu parti politik.
Dengan lulusnya rang undang-undang itu, semua pelajar universiti selepas ini dibenarkan memegang jawatan di dalam kampus walaupun mereka mempunyai jawatan di dalam parti.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika membuat penggulungan berkata, cadangan itu diterima apabila hujah-hujah yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen terlibat adalah meyakinkan.
Sementara itu seorang penyokong kerajaan hari ini melahirkan kebimbangan terhadap kebenaran pelajar-pelajar universiti untuk berpolitik kerana terdapat kemungkinan politik kepartian yang dibawa ke kampus boleh menjejaskan kecemerlangan mereka dalam pelajaran.
Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) mengakui pembabitan pelajar-pelajar universiti di dalam bidang politik mampu menajamkan daya analisis serta pemikiran kritis mereka tetapi persoalannya sejauh mana pengaruh politik kepartian tidak memberi sebarang kesan terhadap kumpulan terbabit.
Beliau berkata, terdapat kebarangkalian melalui gerakan politik kepartian, mahasiswa yang terlibat akan membawa fahaman masing-masing bukan sahaja dalam semua aktiviti, kelab serta persatuan, malah sehingga ke bilik kuliah.
“Apakah perkara seumpama ini sihat bagi pelajar di kampus universiti dan apakah mahasiswa yang mahu terjebak dalam politik kepartian ini bersedia untuk menangani semua kesan dan implikasi politik kepartian yang dibawa ke kampus terutamanya dalam konteks pelajaran dan masa depan mereka sendiri
“Apakah mahasiswa harus dibenarkan menjadi aktivitis politik sepenuh masa sehingga pengajian mereka terjejas? Akhirnya matlamat belajar dan berjaya dengan cemerlang tidak kesampaian. Seperti mana kata pepatah dikejar tak dapat dan dikendong berciciran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012; Rang Undang-Undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib)(Pindaan) 2012 yang dibaca buat kali kedua, malam ini.
Mohamad Shahrum berkata, ada baiknya para pelajar dapat belajar dengan tenang tanpa terlalu diganggu dengan hal politik yang berlebihan sehingga pembelajaran mereka terganggu.

Sumber: Utusan Malaysia.

Tazkirah Jumaat: FITNAH AKHIR ZAMAN

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Bertaqwalah kepada Allah SWT dan ingatlah sekelian bahawa keselamatan dan kebahagiaan kita hanya bergantung kepada keimanan dan ketaqwaaan kita kepada Allah SWT semata-mata.
Dalam arus pembangunan dan kemajuan, yang pesat di jalankan dewasa ini, umat Islam perlu berhati-hati agar mereka tidak terjatuh ke dalam fitnah yang berlaku secara terang-terangan di hadapan mata mereka serta yang berlaku tanpa di sedari dan tanpa dilihat dengan mata kasar mereka. Islam tidak memusuhi kemajuan dan pembangunan yang dilakukan oleh manusia tetapi Islam menetapkan agar pembangunan dan kemajuan di asas dan dikawal oleh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.
Allah SWT telah menegaskan dalam surah al Anfal ayat 28, yang bermaksud:

"Dan ketahuilah kamu bahawa sesungguhnya harta-harta kamu dan anak-anak kamu adalah fitnah (ujian). Dan sesungguhnya Allah di sisiNya balasan yang sangat besar."
 
Harta benda dan anak-anak adalah nikmat daripada Allah SWT sekiranya di urus dan dijaga  dengan baik dan mengikut dasar-dasar yang ditetapkan oleh Islam. Seandainya harta benda dan anak-anak tidak diurus dan dijaga dengan baik seperti yang dikehendaki Islam, ia boleh memudaratkan kehidupan seseorang muslim dari segi keimanan dan ubudiyah-nya kepada Allah SWT dan boleh berlaku kelalaian dalam melaksanakan tanggung-jawabnya sebagai Muslim.

Awaslah sentiasa dengan fitnah-fitnah yang berlaku melalui percakapan, fitnah pekerjaan, fitnah aqidah dan ideologi yang menyesatkan, fitnah menyaksikan kemung-
karan dan maksiat yang berlaku di hadapan mata kerana semua bentuk fitnah tersebut boleh menghalang  dan menyekat pembangunan dan perlaksanaan Islam sebagai ad-din (sistem hidup). Umat Islam sendiri boleh menghakis keimanan dan ketaqwaan kita dan sekaligus melemahkan ubudiyah kita kepada Allah SWT. Dalam usaha menyekat fitnah-fitnah ini kita perlu memahami dua perkara asas :
1.     Memahami Islam sebagai ad-din melalui sumber-sumber yang muktabar atau dalam pengertian lain yang lebih khusus, memahami Islam malalui al-Quran dan Sunnah ar-Rasul SAW. Mempelajari   Islam daripada ulamak-ulamak yang jelas kefahaman mereka mengenai Islam serta keiltizaman  mereka dengan ajaran Islam
dalam sebarang suasana. Dalam memahami Islam kita perlu belajar dan berakhlak Islam serta iltizam dengan ajarannya.
2.     Memahami keadaan yang ada sama ada Islamik atau tidak. Dalam perkataan lain memahami realiti dari segi aqidahnya, ibadahnya, syariatnya, akhlaknya dan nilai-nilai lain. Adakah ia berasaskan Islam atau pun tidak?


Rasulullah SAW mengingatkan kita agar mengelakkan diri daripada terjatuh dalam fitnah yang menimpa umatnya laksana malam yang gelap gelita dengan sabda baginda yang bermaksud:

"Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita. Pada sebelah pagi seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya ia menjadi kafir dan pada sebelah petangnya ia beriman dan pada sebelah paginya ia menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan harta benda dunia."
 
Sabda Rasul SAW lagi berhubung dengan fitnah yang bermaksud:

"Masa akan menjadi dekat (pendek), ilmu akan diangkat, fitnah akan lahir, dicampakkan akan sifat bakhil dan berlaku dengan banyaknya ‘harju’. Maka mereka bertanya: Wahai Rasul, apakah maksud harju. Baginda menjawab: harju adalah pembunuh."
 

Sebenarnya  apa yang dinyatakan oleh Rasul SAW di dalam hadis baginda, telahpun berlaku di dalam realiti kita hari ini. Ilmu telah diangkat atau ditarik balik. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu ad-din atau ilmu syarak yang boleh memandu orang Islam kepada kebenaran, ilmu yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab api neraka di akhirat kelak. Selain itu berlaku pembunuhan di sana sini.
Di dalam realiti sekarang, sungguh kurang ulamak-ulamak rabbaniyun (ulamak-ulamak yang takut kepada Allah SWT) yang memuliakan sifat-sifat zuhud, wara' dan sentiasa mengikut panduan Ilahi, menjadikan baginda SAW dan khulafa ar-Rasyidin sebagai panduan dan ikutan mereka, beramal dengan panduan al- Quran yang berbunyi: "Sesungguhnya  pada diri Rasul SAW itu ikutan yang baik bagi kamu" dan beramal dengan hadis yang bermaksud:

"Hendaklah kamu beramal dengan sunnahku dan sunnah khulafa ar-Rasyidin, Mahdiyin selepas aku dan gigitlah ia dengan geraham kamu (yakni peganglah kuat-kuat dan janganlah lepaskan dia."

Untuk menjaga diri daripada terjatuh ke dalam keadaan fitnah atau pengaruh kebatilan, Huzaifah pernah berkata kepada Rasul SAW dengan katanya: "Adakah selepas kebaikan ini akan datang pula kejahatan?" Baginda menjawab; ‘Ya’, ada tetapi bercampur dengan ‘dakhan’". Huzaifah bertanya, "Apakah ‘dakhan’ itu?".  Baginda menjawab, "Kaum atau golongan yang mengambil sunnah yang lain daripada sunnahku dan mengambil petunjuk lain daripada petunjukku. Kamu kenal mereka dan hendaklah kamu tentang mereka". Huzaifah bertanya lagi, "Apakah selepas ini ada keburukan lagi?" Baginda menjawab, ‘Ya’ ada iaitu pendakwah-pendakwah di tepi pintu meraka. Barangsiapa yang menyahut dakwah mereka, mereka akan menolaknya ke dalam neraka." Kata Huzaifah, "Bolehkah beri tahu sifat mereka, wahai Rasul SAW?" Baginda bersabda, "Mereka adalah sama warna kulitnya dengan kamu dan bercakap dengan bahasa kamu".
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,
Rasul SAW memberi tahu umatnya tentang fitnah kehilangan sifat amanah dan paling susah untuk mendapat seorang yang bermaksud beramanah. Sabda Rasul SAW bermaksud:

"Seorang manusia masing-masing membuat janji dan hampir tidak terdapat seorang pun yang menunaikan janjinya."
 
Seterusnya Rasul SAW menjelaskan bagaimanakah amanah Allah Subhanahu Wata’ala disia-siakan. Suatu hari seorang Arabi datang menemui Rasul SAW dan bertanya, "Bilakah akan berlaku kiamat?" Maka baginda menjawab, "Bila amanah di sia-siakan maka tunggulah kiamat (kehancuran)." Arabi itu bertanya lagi, "Bagaimanakah amanah disia-siakan?" Rasul SAW bersabda, "Sekiranya sesuatu urusan itu diserahkan kepada bukan ahlinya maka tunggulah kiamat (yakni kehancuran)."
Sidang Jumaat yang dihormati sekelian,
Bagi menyekat fitnah yang menyerang umat Islam dari segenap penjuru, maka perlulah umat Islam hari ini memperkuat dan memeperkemaskan benteng pertahanan mereka supaya tidak mudah terpedaya dengan segala macam fitnah yang disebutkan tadi. Firman Allah SWT dalam surah al-AnFal ayat 25 bermaksud:

"Jagalah olehmu akan fitnah yang tidak menimpa ke atas mereka yang zalim semata-mata dan ketahuilah bahawa Allah sangat dahsyat siksaan Nya."

Khamis, 19 April 2012

Borak- Borak kopi O.........

PTPTN Bantu Selesai Masalah Golongan Berpendapatan Rendah

ISU Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menjadi topik perbincangan hangat kebelakangan ini. Topik itu membabitkan 917,054 pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta politeknik.

Kemuncaknya, ada segelintir pelajar terus berhimpun dan berkhemah di Dataran Merdeka Kuala Lumpur hingga hari ini, yang mendesak kerajaan menghapuskan PTPTN sekali gus menanggung keseluruhan kos pengajian rakyat.
Malaysia memperuntukkan sejumlah besar untuk sektor pendidikan, bermula dengan pendidikan prasekolah, sekolah rendah, menengah hinggalah ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Jika yakin keputusan meminjam itu dapat meneruskan kesinambungan hidup bagi mendapatkan pekerjaan lebih baik berbanding rakan yang hanya setakat tamat sekolah menengah, teruskan perjuangan. Ini pilihan, bukan paksaan. Jika tidak mahu berhutang, lebih baik tinggalkan kampus dan cari pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan. Ramai rakyat Malaysia mampu hidup mewah tanpa segulung ijazah.

Sebahagian kos ditanggung pelajar pada paras subsidi dengan kadar tanggungan sehingga 90 peratus bagi setiap pelajar, bergantung kepada bidang pengkhususan dan tempoh pengajian. Justeru, tidak adil membandingkan Malaysia dengan Jerman dan United Kingdom yang menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat.

Malaysia masih memegang status negara membangun, sedangkan dua negara itu berstatus negara maju. Faktor kepelbagaian kaum juga perlu diberi perhatian kerana Malaysia mempunyai masyarakat majmuk dan terikat dengan kontrak sosial dipersetujui bersama.

Jika kos pengajian peringkat tinggi diberikan percuma, dasar ini gagal membezakan masyarakat pribumi dengan rakan mereka yang lain, pastinya menimbulkan reaksi pelbagai. Bagi merebut peluang mendapatkan tempat di IPTA dengan kos pengajian lebih rendah, pelajar perlu bersaing. Hanya yang cemerlang akademik dan kokurikulum diberi keutamaan.

Begitu juga dengan pemberian biasiswa, konsepnya tetap adil dan saksama. Mereka yang gigih dan cemerlang pastinya mendapat hak. Daripada jumlah keseluruhan pelajar itu 508,256 menuntut di 20 IPTA, IPTS (319,506), manakala politeknik pula 89,929 pelajar.
Warga menara gading seluruh negara kurang daripada sejuta, dan golongan muda ini mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan pengajian tanpa bergantung kepada PTPTN, bagi yang berkemampuan, atau terpaksa akur dengan tuntutan semasa dan terpaksa meminjam. Pilihan di tangan mereka, jika yakin keputusan meminjam itu dapat meneruskan kesinambungan hidup bagi mendapatkan pekerjaan lebih baik berbanding rakan yang hanya setakat tamat sekolah menengah, teruskan perjuangan.

Ini pilihan, bukan paksaan. Jika tidak mahu berhutang, lebih baik tinggalkan kampus dan cari pekerjaan yang menjanjikan pendapatan lumayan. Ramai rakyat Malaysia mampu hidup mewah tanpa segulung ijazah.

Jika peluang pendidikan diberikan percuma bermakna golongan kaya tetap menerima hak, sedangkan mereka berkemampuan menampung kos berkenaan. Perlu diingat, tujuan asal PTPTN membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan. Perkara ini mungkin tidak diperhalusi segelintir pelajar hingga mereka gagal membuat keputusan tepat dan menjadi mangsa pihak berkepentingan.

Setiausaha Kehormat Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Ezaruddin Abdul Rahman, berkata maklum balas pihaknya mendapati, mahasiswa yang berhimpun dikatakan tidak mengetahui secara mendalam mengenai cadangan menghapuskan PTPTN.

Beliau berkata, pelajar terpedaya dengan dakwaan pembangkang jika mereka memerintah, agensi berkenaan akan dihapuskan dan kos pendidikan ditanggung kerajaan. Malah perhimpunan mereka juga katanya, atas ajakan rakan senior selain duduk melepak dan menghabiskan masa tanpa tujuan.

Laporan yuran pengajian setiap semester bagi pelajar prasiswazah sesi pengajian 2011/2012 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), mencatatkan jumlah perlu dibayar pelajar Fakulti Perubatan RM900 manakala pelajar Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat RM600.

Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding kadar yuran sebenar untuk tempoh sama iaitu masing-masing RM17,000 dan RM4,600. Bagi program pengajian perubatan di Universiti Malaya (UM) pula, kadar yuran sepanjang tempoh pengajian lima tahun berjumlah RM20,000.

Pengiraan mendapati jumlah itu berbaloi di dua institusi bertaraf universiti penyelidikan dan kualiti pendidikannya diiktiraf peringkat global. Logiknya wajar bagi pelajar membuat pinjaman untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan. Bagaimanapun, berbincang mengenai keupayaan kerajaan menyediakan kemudahan itu secara percuma, juga wajar. Oleh kerana subsidi kerajaan di IPTA sehingga 90 peratus, tidak menjadi halangan 10 peratus daripada kos itu diserapkan dalam peruntukan pendidikan.

Bagaimanapun, adakah keputusan itu memberi kebaikan kepada semua pihak dalam usaha kerajaan melahirkan generasi muda yang lebih berdaya saing dan bertanggungjawab? Apa saja yang didapati secara percuma, nilainya terus terhakis, manusia sukar menghargai sesuatu diperoleh dengan mudah.

Jumlah bayaran pada kadar 10 peratus itu adalah sebahagian daripada komitmen pelajar untuk terus gigih belajar dan ibu bapa turut berperanan terhadap kebajikan anak masing-masing. Berbanding yuran di IPTS bagi program perubatan, kadarnya jauh lebih tinggi. Jika kos sebenar di IPTA RM17,000 pastinya nilai itu lebih tinggi dan jumlahnya tidak termasuk kos tuisyen dan bayaran tambahan lain.

Di sinilah peranan PTPTN. Bagi mereka yang tidak layak mendapat tempat di IPTA tetapi berpeluang ke IPTS untuk program pengajian sama, masing-masing boleh mendapatkan pembiayaan dan meneruskan hasrat murni itu. 

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my
2012/04/19