Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Jumaat, 20 April 2012

AUKU: Pelajar dibenar pegang jawatan politik, terlibat pilihan raya kampus

KUALA LUMPUR 19 April - Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012 (AUKU) diluluskan selepas dibahaskan oleh Ahli-Ahli Parlimen malam ini dengan membenarkan para pelajar universiti yang memegang jawatan dalam parti politik, turut dibenarkan terlibat dalam pilihan raya kampus.

Cadangan tersebut telah dikemukakan oleh Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) sebagai wakil daripada penyokong-penyokong kerajaan sebelum rang undang-undang tersebut diluluskan.
Beliau mencadangkan kepada sidang dewan untuk mengeluarkan cadangan seksyen 15 (2)(c) iaitu seseorang pelajar universiti itu tidak boleh bertanding dalam pilihan raya atau memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar di dalam kampus jika mahasiswa itu memegang jawatan dalam satu parti politik.
Dengan lulusnya rang undang-undang itu, semua pelajar universiti selepas ini dibenarkan memegang jawatan di dalam kampus walaupun mereka mempunyai jawatan di dalam parti.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika membuat penggulungan berkata, cadangan itu diterima apabila hujah-hujah yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen terlibat adalah meyakinkan.
Sementara itu seorang penyokong kerajaan hari ini melahirkan kebimbangan terhadap kebenaran pelajar-pelajar universiti untuk berpolitik kerana terdapat kemungkinan politik kepartian yang dibawa ke kampus boleh menjejaskan kecemerlangan mereka dalam pelajaran.
Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) mengakui pembabitan pelajar-pelajar universiti di dalam bidang politik mampu menajamkan daya analisis serta pemikiran kritis mereka tetapi persoalannya sejauh mana pengaruh politik kepartian tidak memberi sebarang kesan terhadap kumpulan terbabit.
Beliau berkata, terdapat kebarangkalian melalui gerakan politik kepartian, mahasiswa yang terlibat akan membawa fahaman masing-masing bukan sahaja dalam semua aktiviti, kelab serta persatuan, malah sehingga ke bilik kuliah.
“Apakah perkara seumpama ini sihat bagi pelajar di kampus universiti dan apakah mahasiswa yang mahu terjebak dalam politik kepartian ini bersedia untuk menangani semua kesan dan implikasi politik kepartian yang dibawa ke kampus terutamanya dalam konteks pelajaran dan masa depan mereka sendiri
“Apakah mahasiswa harus dibenarkan menjadi aktivitis politik sepenuh masa sehingga pengajian mereka terjejas? Akhirnya matlamat belajar dan berjaya dengan cemerlang tidak kesampaian. Seperti mana kata pepatah dikejar tak dapat dan dikendong berciciran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2012; Rang Undang-Undang Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Pindaan) 2012 dan Rang Undang-Undang Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib)(Pindaan) 2012 yang dibaca buat kali kedua, malam ini.
Mohamad Shahrum berkata, ada baiknya para pelajar dapat belajar dengan tenang tanpa terlalu diganggu dengan hal politik yang berlebihan sehingga pembelajaran mereka terganggu.

Sumber: Utusan Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan