Dengan demam pilihan raya yang katanya akan diadakan bila-bila masa
sahaja, ahli politik dan media massa kerap mengatakan tentang ke mana
hala tuju negara. Kalau kita semua berada di dalam dilema ke mana hala
tuju negara, adalah penting untuk kita, rakyat Malaysia untuk terus
berada di hala tuju yang jelas.
Di dalam masyarakat yang berbilang kaum di mana perbezaan antaranya
kerap dilaungkan, berada di hala tuju yang jelas adalah amat penting.
Untuk terus berada di hala tuju yang jelas, ia hendaklah diisi dengan perkara-perkara asas.
Ia hendaklah merangkumi kehendak dan aspirasi rakyat dan komunitinya.
Landasan yang jelas di dalam negara ini hendaklah melangkaui semua
jenis etnik dan memahami keadaan negara Malaysia secara keseluruhannya.
Satu keadaan di mana rakyat Malaysia mudah untuk memahaminya.
Ada empat hala tuju negara yang memenuhi aspirasi ini iaitu
Perlembagaan Negara, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan gagasan 1Malaysia.
Keempat-empat ini teramat penting untuk semua rakyat Malaysia tidak
mengira etnik atau pun agama. Keempat-empat perkara ini merupakan
kekuatan asas dalam pembinaan negara.
Perlembagaan negara adalah perkara paling utama di antara
keempat-empat hala tuju ini. Ia mengiktirafkan akar umbi kemelayuan
negara ini melalui perletakan sistem raja berperlembagaan sebagai
tunjang utama negara dan perakuan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan dan Islam sebagai agama rasminya.
Pada masa yang sama, hak bahasa lain dan agama etnik minoriti tidak
diketepikan dan dianggap sebahagian dari keunikan masyarakat Malaysia.
Begitu juga, lima matlamat di dalam Rukun Negara-Masyarakat yang
bersatu, demokratik, adil, liberal dan progresif - yang berpandukan lima
prinsip: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada raja dan negara,
Keluhuran perlembagaan, Kedaulatan undang-undang dan Kesopanan dan
kesusilaan - mudah dihayati oleh rakyat kebanyakan.
Wawasan 2020 dari banyak segi merupakan tambahan kepada Rukun Negara
dan mengandungi beberapa cabaran baru seperti masyarakat yang mantap
kerohaniannya, masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang mempunyai
moral yang tinggi dan beretika sebagai sebahagian dari sembilan perkara
cabarannya.
Sekali lagi, ia melangkaui perbezaan budaya dan bangsa. Konsep
1Malaysia juga merupakan satu bentuk idea baru yang inklusif yang dapat
diterima oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya.
Membentuk
Bagaimana kesemua empat hala tuju negara ini membentuk masyarakat
Malaysia sejak negara kita mencapai kemerdekaan 54 tahun dahulu?
Penilaian yang objektif menunjukkan kerajaan cuba mengikuti kesemua
empat hala tuju ini, walaupun ia masih boleh diperbaiki. Keseimbangan
kaum yang terdapat di dalam Perlembagaan telah memberi satu penanda aras
kepada kejayaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam mencapai
keamanan dalam perhubungan etnik.
Namun, ia boleh dipertingkatkan lagi dengan penekanan terhadap konsep dan amalan kewarganegaraan yang sama.
Pencapaian kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan tegar daripada 49.3
peratus pada tahun 1970 sehingga kepada 3.8 peratus pada tahun 2010
amat membanggakan dari perspektif keadilan dalam Rukun Negara, namun,
jurang perbezaan antara kelas atasan dan kelas bawah semakin ketara
kebelakangan ini.
Tambahan pula, matlamat-matlamat Rukun Negara jarang diberi keutamaan
dalam sukatan pelajaran mahu pun dalam media - perkara yang saya sudah
nyatakan sejak 25 tahun lepas.
Umum mengetahui bahawa Wawasan 2020 adalah satu inspirasi untuk
mencapai status "masyarakat maju" melalui pendapatan perkapita yang
tinggi.
Namun, mencapai masyarakat beretika tinggi adalah sama penting dalam
Wawasan 2020. Konsep 1Malaysia mungkin akan memperkukuhkan perasaan
cintakan negara, namun ia masih belum menangani cabaran bersifat
perkauman yang muncul daripada golongan-golongan tertentu.
Sekiranya ini rekod kerajaan BN, bagaimana pula pandangan pembangkang
terhadap hala tuju negara ini? Pihak pembangkang jarang melihat
perlembagaan, Rukun Negara, Wawasan 2020 atau gagasan 1Malaysia sebagai
perkara asas dalam membentuk perpaduan negara atau membangunkan negara.
Kesalahan
Mereka hanya mencari kesalahan pihak kerajaan jika kerajaan gagal
mengotakan janji mereka kepada rakyat berdasarkan prinsip dan nilai
empat hala tuju negara tadi.
Tidaklah sukar untuk memahami kenapa Pas tidak merasa komited
terhadap hala tuju negara. Mereka hanya komited terhadap negara Islam
seperti mana ditafsirkan partinya.
Matlamat ini kurang disenangi oleh 40 peratus bukan muslim di negara
ini, walau apa jua definisi negara Islam yang diberikan oleh pimpinan
parti itu.
Lagi pun, pengertian dan pentafsiran Pas tentang negara Islam
khususnya tentang pelaksanaan syariah, hak minoriti bukan Islam, peranan
wanita dalam masyarakat dan sebagainya mungkin tidak dipersetujui oleh
sebahagian daripada masyarakat Islam sendiri.
Dalam erti kata lain, matlamat dan hala tuju Pas tidak dapat diterima oleh semua segmen rakyat.
DAP tidak kurang bezanya. Konsep Malaysian Malaysia akan dilihat oleh
masyarakat Melayu sebagai percubaan untuk mengubah sejarah dan identiti
negara ini.
Sebahagian daripada pendirian parti itu termasuk mahu meletakkan
pelajaran dalam bahasa Cina sama taraf dengan pendidikan dalam bahasa
kebangsaan menguatkan lagi persepsi ini.
PKR pula lagi mengelirukan. Ia banyak bergantung kepada individu
tertentu di dalam parti itu. Dengan gabungan ketiga-tiga parti tersebut
yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat, tujuan mereka untuk ke Putrajaya
adalah sedikit pelik kerana mereka tidak langsung mempunyai ciri asas
persamaan dalam ideologi mereka.
Apa yang menyebabkan mereka bersama apabila DAP terang-terangan
menentang idea Pas tentang negara Islam? Apakah daya tarikan antara Pas
dan DAP yang berbeza ini? Atau pun, adakah kuasa-nafsu untuk
berkuasa-yang menjadi tarikan untuk dua parti politik ini?
DR. CHANDRA MUZAFFAR
Rabu, 25 April 2012
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)



Tiada ulasan:
Catat Ulasan