Halaman

Subscribe:

Ads 468x60px

Rabu, 2 Mei 2012

MBM serah baju seragam sekolah kepada 214 pelajar

 


Seramai 214 murid dan pelajar sekolah yang terjejas akibat banjir di Kuala Dipang, dekat Kampar baru-baru ini tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira selepas menerima sumbangan pakaian seragam sekolah daripada Majlis Belia Malaysia (MBM).
Sumbangan itu diserahkan kepada 12 buah sekolah rendah dan menengah di Daerah Kinta Selatan dan setiap murid dan pelajar menerima satu set pakaian jenama Canggih.
Bagi empat beradik, Muhammad Shazwi Adi Mohd Karim, 17, Nurul Alia Aqilah, 16, Muhammad Shazwi Alif , 14, dan Muhammad Shazwi Azid,  13, dari SMK  Seri Kampar tiada apa lagi yang boleh digambarkan mereka selain kegembiraan memiliki baju seragam sekolah baru.
Menurut Muhammad Shazwi Adi, abang sulung dari empat beradik itu, rumahnya di Kampung Pasir, Kuala Dipang rosak teruk akibat bencana banjir yang melanda pada 12 April lalu.
“Masa banjir air naik sampai paras pinggang dan baju sekolah saya dan adik-adik dihanyutkan air,” katanya.
Adiknya Nurul Alia Aqilah memanjatkan rasa syukur kerana ada pihak yang tampil memberi sumbangan kepada murid yang terlibat dengan banjir.
“Saya seronok sebab dapat baju sekolah baru sebab baju lama dah hanyut jadi bila ada yang baru kami tidak lagi rasa susah nak pergi sekolah,” ujarnya.
Antara 12 sekolah yang menerima sumbangan pada majlis tersebut ialah SK Kuala Dipang, SK Tualang Sekah, SMK Kampar dan SMK Sentosa.
Sementara itu, bagi Presiden MBM, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee  berkata, sumbangan pakaian seragam sekolah ini mempunyai maknanya yang tersirat.
“Kita tahu sesi persekolahan baru masuk bulan empat tapi baju murid-murid ini dah tiada jadi ini dilihat sebagai isyarat kepada MBM untuk membuat sumbangan ini,” jelasnya.
Beliau yang menyampaikan sumbangan tersebut berkata pemberian hasil dari kerjasama MBM bersama Majlis Belia Daerah (MBD) Tapah serta Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan ini mampu meringankan beban mangsa banjir.
“Walaupun ia tidak sebesar mana tapi sebaliknya kami harap anak-anak ini terus fokus dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran” katanya.

sumber: Peraktoday.com



Selasa, 1 Mei 2012

Apakah asal-usul Hari Pekerja?


Idea gembira untuk menggunakan perayaan cuti proletariat sebagai cara untuk mencapai hari bekerja lapan jam dilahirkan di Australia. Para pekerja mengambil keputusan pada tahun 1856 untuk mengajurkan sehari pemberhentian sepenuhnya bersama dengan mesyuarat-mesyuarat dan hiburan sebagai demonstrasi demi hari bekerja lapan jam. Hari bagi perayaan ini ditetapkan pada 21hb April. Pada mulanya, pekerja Australia itu mengajurkan ini hanya bagi tahun 1856. Tetapi perayaan pertama ini membawa kesan yang sangat kuat pada golongan proletariat Australia, menghidupkan mereka dan membawa pemberontakan baru, sehingga keputusan diambil untuk mengulangi perayaan tersebut setiap tahun.

Sebenarnya, apakah yang dapat memberikan para pekerja semakin banyak keberanian dan kepercayaan pada kekuatan mereka sendiri daripada pemberhentian bekerja yang mereka sendiri telah menganjurkan? Apakah yang dapat memberikan lebih banyak keberanian kepada hamba-hamba abadi kilang-kilang dan bengkel-bengkel daripada pengaturan askar-askar mereka? Maka, idea perayaan proletariat diterima dengan laju dan, dari Australia, bermula menyebar ke negara-negara lain sehingga akhirnya ia telah menguasai seluruh dunia proletariat.

Yang pertama untuk mengikuti contoh pekerja Australia merupakan pekerja Amerika. Pada tahun 1886, mereka mengambil keputusan bahawa 1hb Mei patut menjadi hari pemberhentian bekerja antarabangsa. Pada hari ini, 200,000 pekerja meninggalkan tempat bekerja dan menuntut hari bekerja lapan jam. Kemudiannya, pihak polis dan serangan perundangan menghalang para pekerja selama beberapa tahun daripada mengulangi demonstrasi [saiz] ini. Namun, pada tahun 1888, mereka memperbaharui keputusan mereka dan mengambil keputsan bahawa perayaan seterusnya akan diadakan pada 1hb Mei, 1890.

Sementara itu, gerakan pekerja di Eropah telah bertumbuh dan menjadi segar. Perluahan paling kuat oleh gerakan ini berlaku di Kongres Pekerja Internasional pada tahun 1889. Di Kongres ini, yang dihadiri oleh empat ratus wakil, keputusan diambil bahawa hari bekerja lapan jam mesti menjadi yang pertama dituntut. Dengan itu, wakil kesatuan-kesatuan Perancis, pekerja Lavigne dari Bordeaux, mengutarakan bahawa tuntutan ini diluahkan di semua negara melalui pemberhentian bekerja antarabangsa. Wakil dari pekerja-pekerja Amerika menarik perhatian kepada keputusan komrad-komrad dia untuk bermogok pada 1hb Mei, 1890, dan Kongres mengambil keputusan untuk mengadakan perayaan proletariat antarabangsa pada tarikh ini.

Dalam kes ini, seperti tiga puluh tahun sebelum itu di Australia, para pekerja hanya memikirkan demonstrasi sekali. Kongres telah mengambil keputusan bahawa pekerja dari semua negara akan berdemonstrasi bersama bagi hari bekerja lapan jam pada 1hb Mei, 1890. Tidak ada sesiapa yang berucap mengenai pengulangan cuti itu bagi tahun-tahun akan datang. Sememangnya, tidak ada sesiapa yang dapat meramalkan cara seperti kilat idea ini akan berjaya dan betapa lajunya dipupuk oleh kelas-kelas pekerja. Namun, ia cukup untuk meraihkan Hari Mei [Pekerja] hanya sekali supaya semua orang memahami dan berpendapat bahawa Hari Mei mesti menjadi perayaan tahunan dan berterusan […].

Satu haribulan Mei menuntut pengenalan hari bekerja lapan jam. Tetapi malah selepas matlamat ini telah dicapai, Hari Mei tidak dilepaskan. Selagi perjuangan pekerja menentang borjuasi dan kelas pemerintah berterusan, selagi segala tuntutan-tuntutan belum dicapai, Hari Mei akan menjadi perluahan tahunan bagi tuntutan-tuntutan ini. Dan apabila hari-hari yang lebih baik muncul, apabila kelas pekerja sedunia telah memenangi kejayaannya, pada masa itu juga umat manusia akan meraihkan Hari Mei dalam kehormatan bagi perjuangan-perjuangan pahit dan kemelaratan masa yang lalu. 


"SELAMAT HARI PEKERJA"
 
Oleh Rosa Luxemburg

Ditulis pada tahun 1894. Diterbitkan buat kali pertama dalam Bahasa Poland, dalam Sprawa Robotnicza. Diterjemahkan mengikut petikan dari Selected Political Writings of Rosa Luxemburg, Dick Howard (New York: Terbitan Monthly Review, 1971), muka surat 315-316.

Diterjemahkan oleh Muhammad Salleh (2002).

Jumaat, 27 April 2012

Tazkirah Jumaat:Perpecahan Umat Islam


HADIS-hadis terakhir Nabi s.a.w. banyak memaparkan perihal keperihatinan dan kerunsingan baginda terhadap situasi umat Islam pada akhir zaman. Sebab itulah ungkapan ‘umatku” diulang-ulang dan merupakan lafaz kata terakhir Nabi s.a.w. yang didengari isteri baginda Saidatina Aisyah r.a. sebelum diwafatkan oleh Allah.

Demikianlah kuatnya kasih dan sayang Nabi s.a.w. terhadap umat baginda sehinggakan pada saat-saat akhir hayat terus resah memikirkan nasib umat. Antara yang paling dibimbangi Rasulullah s.a.w. sebagaimana diungkapkan dalam banyak hadis ialah senario perpecahan di kalangan umat Islam yang diakibatkan oleh pelbagai aliran pemikiran dan pertentangan pendapat.

Walaupun hakikatnya Islam tidak pernah menolak kepelbagaian pendapat, namun perselisihan yang menimbulkan pertentangan tajam sehingga menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan matlamat ditentang sama sekali.

Jika diperhatikan secara objektif, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada pertentangan dan perpecahan amat terkait dengan sikap fanatik terhadap pendapat sendiri, lantas cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-‘ijab bi al-ra‘yi’ atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan wabak merbahaya yang sedang menjalar dalam urat saraf umat sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu. 
Sesungguhnya kedatangan Islam kepada umat manusia bertujuan membebaskan mereka daripada kejahilan dan kejumudan kepada pemikiran yang bebas dan merdeka yang dibimbing oleh cahaya wahyu Ilahi. Sebab itulah Rasulullah s.a.w. menegaskan: Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah lalu dia mati, maka dia mati jahiliah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada assabiah atau marah kerana assabiah maka kematiannya adalah jahiliah. (Riwayat Muslim, An-Nasai dan Ibnu Majah).

Perkataan al-Jamaah dalam hadis di atas tidaklah merujuk secara khusus kepada mana-mana parti politik ataupun pertubuhan-pertubuhan tertentu. Sebaliknya mengikut ulama Al-Hindawi dalam bukunya Dirasat Haul al-Jama‘ah wa al-Jama‘at, perkataan al-jamaah sebagaimana yang disebut dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. merujuk kepada kesepakatan kaum muslimin, para sahabat Nabi s.a.w., para ulama, para pemerintah dan lain-lain.
 
Apa yang turut dipertegaskan dalam hadis di atas ialah penentangan Nabi berkenaan ketaksuban membuta tuli seseorang kepada kelompok yang disertainya. Sebab itulah Al-Sindi dalam kitab Syarh Ibn Majah menerangkan kalimah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) ialah fenomena ketaksuban melampau di kalangan masyarakat yang berhimpun dan menyokong atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil.

Sikap sebeginilah yang Nabi s.a.w. istilahkan sebagai assabiah atau ketaksuban melampau terhadap sesuatu kaum atau kelompok. Hinggakan Nabi secara keras dan tegas menentang sesiapa yang mendokong dan melebarkan faham assabiah yang menyesatkan. Dalam hadis lain disebutkan: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada assabiah, bukan sesiapa yang berperang atas assabiah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas assabiah. (Riwayat Abu Daud).
Istilah assabiah bukanlah bermaksud halangan Islam terhadap semangat cintakan sesuatu kaum atau kelompok. Dalam menjelaskan maksud assabiah, Rasulullah s.a.w pernah ditanya oleh Wathilah bin al-Asqa’: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan al-assabiah? Sabda baginda: “Kamu menolong kaummu atas kezaliman”.

Namun apa yang menyedihkan kini, umat Islam rata-rata dihinggapi penyakit assabiah yang menyesatkan. Penyakit assabiah atau ketaksuban kepada kelompok hingga tergamak menyesatkan kelompok yang lain bagaikan fenomena lumrah di mana-mana sahaja termasuklah di dalam negara kita yang tercinta ini.

Gara-gara penyakit inilah maka kita menyaksikan suasana umat yang amat menyayat hati dan meruntun emosi. Gamatnya pertelagahan di kalangan pendokong-pendokong wadah Islam sehingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab utama menyelesaikan pelbagai masalah umat yang melanda kini. Sebaliknya seluruh tenaga dihabiskan dan tertumpu kepada polemik, politiking, adu-domba dan perlumbaan menambah bilangan penyokong pendapat masing-masing.

Justeru, dalam upaya mengembalikan sinar kegemilangan Islam yang semakin pudar, usaha penjernihan sikap dan pemikiran harus segera dilakukan ke atas setiap umat Islam. Umat seharusnya kembali menjiwai budaya dan prinsip penting yang mendasari sikap dan perwatakan generasi awal Islam terutamanya dalam menangani fenomena perbezaan pendapat ini.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah sikap keterbukaan kepada pandangan berbeza, tidak taksub atau fanatik kepada pandangan sendiri, berlapang dada, saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama lain. Mungkin jalan keluar dari belitan konflik kefanatikan pemikiran yang melanda kini terumus dalam ungkapan keramat tokoh reformis Islam, Jamaluddin al-Afghani: Bekerjasamalah dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan.\

Sesungguhnya kepelbagaian pendapat sebenarnya mampu memperkaya khazanah pemikiran Islam andainya kita bersedia menghadapinya secara dewasa. Tetapi andainya kita menanganinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sealiran sebagai musuh, maka perbezaan pendapat pasti menjadi bahan bakar penyemarak api persengketaan yang membinasakan.

Khamis, 26 April 2012

Jadilah bangsa cerdik, tidak mudah terpedaya

Sama ada mitos atau hakikatnya, bangsa Yahudi zaman moden ini ternyata cerdik. Banyak pemenang Hadiah Nobel adalah dari kalangan mereka.
Betapa bangsa yang bilangannya kecil tetapi meraih pencapaian tinggi sememangnya suatu fenomena yang menarik untuk dikaji dan difahami.
Tetapi tidaklah pula boleh dikaitkan kecerdikan seseorang itu pada bangsa atau kaumnya. Atau agamanya. Ini kerana takrif sesuatu bangsa, kaum atau agama itu begitu pelbagai hingga ia tidak berkait pula dengan kecerdikan seseorang.
Malah dalam diri seseorang pun, ada kalanya ia cerdik dalam sesuatu perkara, tetapi kurang cerdik dalam perkara lain.
Usaha untuk mengaitkan kecerdikan dengan bangsa menimbulkan fahaman perkauman dan diskriminasi.
Tetapi apakah yang hendak dikatakan terhadap sesuatu bangsa yang majoritinya telah ditipu oleh sekumpulan pemimpinnya hingga membawa dunia kepada kehancuran?
Bangsa yang dimaksudkan di sini ialah Jerman. Bangsa ini juga hebat. Ia telah melahirkan banyak cendekiawan dan saintis yang mengubah dunia, di samping turut memenangi banyak Hadiah Nobel.
Bangsa ini sememangnya cerdik. Sama ada kecerdikannya setara dengan Yahudi atau tidak, maka itu perlukan perbahasan lain.
Tetapi pada tahun 1930-an, ketika naiknya Adolf Hitler, bangsa ini telah menganggap dirinya sebagai golongan unggul, iaitu paling cerdik. Bagi mereka, Yahudi adalah musuh yang perlu dimusnahkan.
Tetapi ternyata dalam tahun 1930-an dan 1940-an, bangsa Jerman telah ditipu oleh Hitler dan parti Nazi. Akibatnya Jerman menjadi bangsa hina yang bukan saja musnah tetapi juga kerana mereka sebuah negara Yahudi iaitu Israel ditubuhkan.
Melihat gelagat orang Jerman dan Yahudi ini kelihatan bahawa mereka bertindak seperti bangsa yang tidak cerdik. Mereka tertipu dan tidak mampu keluar daripada keadaan buruk yang menimpa mereka. Adakah mereka ini bangsa cerdik atau kurang cerdik?
Dari segi pencapaian intelektual dan bidang sains, memang orang Melayu tidak secerdik bangsa Yahudi atau Jerman.
Tetapi melihat nasib yang menimpa orang Melayu pada zaman sewaktu dengan mereka itu, bangsa ini tidaklah tertipu atau terpedaya seperti apa yang dialami oleh orang Jerman dan Yahudi.
Namun begitu, pada zaman ini, setelah negara mencapai kemerdekaan dan kini sedang pesat menuju kedudukan sebagai negara membangun, cuba lihat di sekeliling dan buat pemerhatian sama ada orang Melayu bangsa yang cerdik atau tidak?
Berapa banyak kisah yang dapat dikumpulkan tentang bagaimana orang Melayu ditipu, tertipu dan terpedaya.

Penipuan

Apabila ada segelintir orang Afrika yang datang ke sini melakukan penipuan dalam pelbagai bentuk melalui atas talian, berapa banyak orang Melayu sudah tertipu?
Sememangnya mereka yang menjadi mangsa penipuan ini tidak mengira bangsa, kaum dan agama. Sama ada Merlayu, Cina dan India, banyak di antara mereka juga menjadi mangsa penipuan.
Tentulah apabila ditipu, yang dipersalahkan adalah para pelaku jenayah itu. Tetapi cuba kesalahan itu dialihkan pula kepada mangsa penipuan? Mengapakah mereka tidak boleh cerdik sedikit dan mengelak daripada ditipu?
Mangsa penipuan ini terdiri bukan saja di kalangan orang biasa, tetapi juga cerdik pandai dan profesional.
Malah dalam kerja mereka juga, ada kalanya mereka turut tertipu yang mungkin melibatkan wang yang begitu banyak. Begitu juga apabila majikan menipu pekerja, dan sebaliknya.
Tetapi menjadi mengsa penipuan bukan saja berlaku dalam pekerjaan masing-masing. Dalam masyarakat, kisah pengguna ditipu oleh penjual dan peniaga adalah suatu yang lumrah.
Banyak kejadian penipuan ini tidak pun disedari. Mereka ditipu hidup-hidup. Antaranya ialah membeli barang yang tidak berguna, atau kurang kualiti, atau terpedaya dengan iklan.
Malah dalam perubatan alternatif, terutama secara MLM, atau skim cepat kaya tetapi disembunyikan secara perniagaan. Selama 10, 20 atau 30 tahun kejadian penipuan ini berlaku tanpa henti
Bukan itu saja, berapa banyak keluarga Melayu yang tertipu dengan pembantu rumahnya sendiri. Belum dikira lagi bagaimana keluarga-keluarga Melayu tertipu dengan pekerja-pekerja binaan ubah suai rumah.
Begitu juga keluarga-keluarga Melayu yang tertipu dengan para pemaju perumahan.
Tidakkah orang Melayu boleh cerdik sedikit dan celik terhadap hakikat penipuan ini?
Dalam hubungan peribadi, penipuan juga berlaku. Lelaki menipu perempuan. Begitu juga sebaliknya. Kalaulah cerdik sedikit dan beri prihatin kepada sesuatu perkara, mungkin penipuan ini dapat dikesan dan seseorang itu dapat mengelak diri daripada ditipu.
Atau adakah sifat kebanyakan orang Melayu yang mudah bersangka baik walaupun fakta di depan menunjukkan bahawa sesuatu penipuan sedang berlaku?
Atau orang Melayu kurang memiliki kesedaran sains dan matematik hingga mereka mudah ditipu? Umpamanya amalan khurafat dan ajaran sesat adalah kesemuanya merupakan penipuan.
Cuba tingkatkan perasaan syak wasangka sedidit serta memiliki pemikiran kritis bagi mengelak ditipu?
Dari dahulu dan berterusan sekarang, ada saja orang yang hidup atas penipuan, atau con man.
Antaranya yang berlagak hartawan atau menjadi ahli perniagaan memiliki modal yang banyak tetapi sebenarnya hanya berniaga atas angin.
Bagi mereka yang pernah ditipu dalam urusan perniagaan, terutama yang mengalaminya beberapa kali, mereka akan dapat kesan ciri-ciri para penipu.
Usahlah naif, cuba cuak sedikit dan elaklah daripada ditipu.

sumber: arkib utusan malaysia 22/04/2012

Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Murid & Pelajar Sekolah Daerah Kinta Selatan

Insiden banjir terburuk yang dialami di beberapa kampung dua minggu lalu masih segar dalam ingatan penduduk Kampung Baru,Kuala Dipang Kampar. Sebelum ini, baianjir yang berlaku separas buku lali dan mereka sudah biasa dengan keadaan itu, namun tidak menyangka pada kali ini ia memusnahkan rumah yang dibina lebih 30 tahun lalu.
Bagi meringankan beban penduduk, Majlis Belia Malaysia(MBM) dengan kerjasama Majlis Belia Daerah Tapah dan Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan menghulurkan bantuan kepada penduduk setempat berupa pakaian sekolah kepada lebih 200 pelajar yang terdiri dari 7 buah sekolah rendah dan 5 buah sekolah menengah.

Rabu, 25 April 2012

Di manakah hala tuju negara?

Dengan demam pilihan raya yang katanya akan diadakan bila-bila masa sahaja, ahli politik dan media massa kerap mengatakan tentang ke mana hala tuju negara. Kalau kita semua berada di dalam dilema ke mana hala tuju negara, adalah penting untuk kita, rakyat Malaysia untuk terus berada di hala tuju yang jelas.
Di dalam masyarakat yang berbilang kaum di mana perbezaan antaranya kerap dilaungkan, berada di hala tuju yang jelas adalah amat penting.
Untuk terus berada di hala tuju yang jelas, ia hendaklah diisi dengan perkara-perkara asas.
Ia hendaklah merangkumi kehendak dan aspirasi rakyat dan komunitinya. Landasan yang jelas di dalam negara ini hendaklah melangkaui semua jenis etnik dan memahami keadaan negara Malaysia secara keseluruhannya. Satu keadaan di mana rakyat Malaysia mudah untuk memahaminya.
Ada empat hala tuju negara yang memenuhi aspirasi ini iaitu Perlembagaan Negara, Rukun Negara, Wawasan 2020 dan gagasan 1Malaysia.
Keempat-empat ini teramat penting untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira etnik atau pun agama. Keempat-empat perkara ini merupakan kekuatan asas dalam pembinaan negara.
Perlembagaan negara adalah perkara paling utama di antara keempat-empat hala tuju ini. Ia mengiktirafkan akar umbi kemelayuan negara ini melalui perletakan sistem raja berperlembagaan sebagai tunjang utama negara dan perakuan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasminya.
Pada masa yang sama, hak bahasa lain dan agama etnik minoriti tidak diketepikan dan dianggap sebahagian dari keunikan masyarakat Malaysia.
Begitu juga, lima matlamat di dalam Rukun Negara-Masyarakat yang bersatu, demokratik, adil, liberal dan progresif - yang berpandukan lima prinsip: Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada raja dan negara, Keluhuran perlembagaan, Kedaulatan undang-undang dan Kesopanan dan kesusilaan - mudah dihayati oleh rakyat kebanyakan.
Wawasan 2020 dari banyak segi merupakan tambahan kepada Rukun Negara dan mengandungi beberapa cabaran baru seperti masyarakat yang mantap kerohaniannya, masyarakat yang penyayang dan masyarakat yang mempunyai moral yang tinggi dan beretika sebagai sebahagian dari sembilan perkara cabarannya.
Sekali lagi, ia melangkaui perbezaan budaya dan bangsa. Konsep 1Malaysia juga merupakan satu bentuk idea baru yang inklusif yang dapat diterima oleh masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Membentuk

Bagaimana kesemua empat hala tuju negara ini membentuk masyarakat Malaysia sejak negara kita mencapai kemerdekaan 54 tahun dahulu?
Penilaian yang objektif menunjukkan kerajaan cuba mengikuti kesemua empat hala tuju ini, walaupun ia masih boleh diperbaiki. Keseimbangan kaum yang terdapat di dalam Perlembagaan telah memberi satu penanda aras kepada kejayaan kepimpinan Barisan Nasional (BN) dalam mencapai keamanan dalam perhubungan etnik.
Namun, ia boleh dipertingkatkan lagi dengan penekanan terhadap konsep dan amalan kewarganegaraan yang sama.
Pencapaian kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan tegar daripada 49.3 peratus pada tahun 1970 sehingga kepada 3.8 peratus pada tahun 2010 amat membanggakan dari perspektif keadilan dalam Rukun Negara, namun, jurang perbezaan antara kelas atasan dan kelas bawah semakin ketara kebelakangan ini.
Tambahan pula, matlamat-matlamat Rukun Negara jarang diberi keutamaan dalam sukatan pelajaran mahu pun dalam media - perkara yang saya sudah nyatakan sejak 25 tahun lepas.
Umum mengetahui bahawa Wawasan 2020 adalah satu inspirasi untuk mencapai status "masyarakat maju" melalui pendapatan perkapita yang tinggi.
Namun, mencapai masyarakat beretika tinggi adalah sama penting dalam Wawasan 2020. Konsep 1Malaysia mungkin akan memperkukuhkan perasaan cintakan negara, namun ia masih belum menangani cabaran bersifat perkauman yang muncul daripada golongan-golongan tertentu.
Sekiranya ini rekod kerajaan BN, bagaimana pula pandangan pembangkang terhadap hala tuju negara ini? Pihak pembangkang jarang melihat perlembagaan, Rukun Negara, Wawasan 2020 atau gagasan 1Malaysia sebagai perkara asas dalam membentuk perpaduan negara atau membangunkan negara.

Kesalahan

Mereka hanya mencari kesalahan pihak kerajaan jika kerajaan gagal mengotakan janji mereka kepada rakyat berdasarkan prinsip dan nilai empat hala tuju negara tadi.
Tidaklah sukar untuk memahami kenapa Pas tidak merasa komited terhadap hala tuju negara. Mereka hanya komited terhadap negara Islam seperti mana ditafsirkan partinya.
Matlamat ini kurang disenangi oleh 40 peratus bukan muslim di negara ini, walau apa jua definisi negara Islam yang diberikan oleh pimpinan parti itu.
Lagi pun, pengertian dan pentafsiran Pas tentang negara Islam khususnya tentang pelaksanaan syariah, hak minoriti bukan Islam, peranan wanita dalam masyarakat dan sebagainya mungkin tidak dipersetujui oleh sebahagian daripada masyarakat Islam sendiri.
Dalam erti kata lain, matlamat dan hala tuju Pas tidak dapat diterima oleh semua segmen rakyat.
DAP tidak kurang bezanya. Konsep Malaysian Malaysia akan dilihat oleh masyarakat Melayu sebagai percubaan untuk mengubah sejarah dan identiti negara ini.
Sebahagian daripada pendirian parti itu termasuk mahu meletakkan pelajaran dalam bahasa Cina sama taraf dengan pendidikan dalam bahasa kebangsaan menguatkan lagi persepsi ini.
PKR pula lagi mengelirukan. Ia banyak bergantung kepada individu tertentu di dalam parti itu. Dengan gabungan ketiga-tiga parti tersebut yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat, tujuan mereka untuk ke Putrajaya adalah sedikit pelik kerana mereka tidak langsung mempunyai ciri asas persamaan dalam ideologi mereka.
Apa yang menyebabkan mereka bersama apabila DAP terang-terangan menentang idea Pas tentang negara Islam? Apakah daya tarikan antara Pas dan DAP yang berbeza ini? Atau pun, adakah kuasa-nafsu untuk berkuasa-yang menjadi tarikan untuk dua parti politik ini?

DR. CHANDRA MUZAFFAR